Bagi yang pertama kali hamil, banyak hal yang belum diketahui lantaran tiada pengalaman.  Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim, doktor pakar O&G di Hospital UMRA, Shah Alam membantu anda dengan mendapatkan jawapan tepat tentang beberapa persoalan yang biasa menjadi pertanyaan

  1. Bilakah masa yang sesuai patut wanita membuat ujian kehamilan. Selepas berapa hari tidak haid dan waktu bilakah ujian patut dibuat?

Bergantung kepada kitaran haid. Kalau tahu dan boleh ramal bila sepatutnya haid semula, maka pada hari yang sepatutnya haid, lakukanlah ujian.

Ambil sampel air kencing pertama di awal pagi, memandangkan ia lebih pekat. Lakukan ujian kehamilan seawal yang boleh kerana langkah-langkah tertentu boleh diambil untuk mengelakkan mudarat kepada kandungan.

Jika hasil ujian negatif, itu tidak bermaksud anda tidak mengandung, HcG mungkin terlalu rendah. Anda boleh mengulangi ujian yang sama pada hari berikutnya. Dalam pada itu, adalah lebih baik jika anda dapatkan kit penguji kehamilan yang sensitif agar dapat mengesas serendah 15u/l HcG.

  1. Selepas kit ujian mengesahkan kehamilan, apa langkah seterusnya wanita ini perlu lakukan?

Setelah sah hamil, jaga kandungan. Jangan lakukan aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kandungan. Sekiranya menghidap penyakit tertentu seperti darah tinggi, diabetes, tiroid dan epilipsi, pastikan doktor dimaklumkan mengenainya agar ubat yang perlu anda ambil seharian diubah dos pengambilannya.

Pengambilan asid folik memberi banyak manfaat. Apa yang dimakan di trimester pertama memberi kesan sepanjang tempoh kehamilan dan selepas kelahiran. Jaga pemakanan dengan tidak terlalu mengambil terlalu banyak karbohidrat dan gula kerana dibimbangi ia menjadi salah satu faktor autisme.

Jangan lupa untuk jalani pemeriksaan antenatal untuk pastikan kandungan benar-benar berada di dalam rahim. Hasil ujian imbasan yang dilakukan di awal usia kehamilan paling tepat untuk mengetahui usia sebenar kandungan.

IKLAN
  1. Apa yang patut wanita ini jangkakan tentang alahan yang mungkin dia alami dalam tempoh kehamilan?

Semua wanita hamil akan alami alahan tetapi berbeza jenisnya. Ia perkara biasa kerana berlakunya perubahan hormon sewaktu kehamilan.

Terima sahaja apa jua bentuk alahan yang dialami. Tiada apa-apa yang salah dengannya. Alahan sebenarnya melindungi bayi. Ia bagus kerana apabila anda loya dan muntah lalu teringin makan sesuatu, bererti tubuh kekurangan kandungan nutrien dan ia boleh diperoleh daripada makanan yang diidamkan itu.

  1. Makanan apakah yang patut diberi tumpuan demi memastikan kesihatan dirinya dan kandungan sentiasa dalam keadaan baik?

Amalkan pemakanan yang sihat iaitu tinggi serat, kurang karbohidrat dan lemak. Lebihkan sayur-sayuran hijau dan kurangkan gula.

Karbohidrat yang diambil berlebihan akan memberi kesan kepada kandungan. Adalah dinasihatkan agar anda turut kurangkan kafein dan adalah lebih baik jika anda ambil makan dan minuman yang tidak bergula.

IKLAN
  1. Sekiranya wanita ini sedia ada masalah kesihatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, apa yang perlu dijangkakan dan bagaimana untuk dia mengawalnya agar tidak menimbulkan komplikasi semasa hamil dan bersalin kelak?

Jika sedia ada masalah kesihatan sebelum hamil, beritahu doktor segera.  Doktor pasti akan menasihatkan anda unuk mengubah cara dan dos pengambilan ubat agar sesuai dengan kegunaan ibu hamil. Hal ini penting bagi memastikan tahap kesihatan anda terkawal. Berbincanglah dengan doktor berkenaan hal ini.

Dalam pada itu, optimumkan kesihatan tubuh dengan melakukan senaman untuk mengurangkan impak masalah kesihatan. Sebenarnya, anda perlu pastikan diri benar-benar sihat sebelum mengandung.

6. Berkenaan ujian imbasan, apakah ada ujian imbasan khas yang perlu dilalui selain daripada ujian imbasan yang biasa dilakukan setiap kali melakukan pemeriksaan antenatal?

Semua wanita hamil dinasihati menjalani ujian imbasan nucheal transluscency pada minggu ke-11 hingga 14 bagi mengukur bahagian belakang bayi dalam kandungan. Cecair yang sangat tebal pada bahagian berkenaan boleh menjadi petanda bahawa bayi bermasalah.

IKLAN

Hasil kajian mendapati 50% mengalami masalah kromosom, 25% tidak dapat dijangka masalahnyadan 30% bayi akan lahir normal selepas ujian ini dilakukan.

Selain itu ujian amniosentosis boleh mula dilakukan selepas usia kandungan 15 minggu di mana jarum khas digunakan untuk mengambil air ketuban untuk pemeriksaan selanjutnya di makmal.

  1. Di Malaysia kini hampir semua ibu hamil melalui ujian MGTT. Pada minggu keberapa perlu diambil? Bagaimana jika wanita itu tiada sejarah atau risiko diabetes, perlukah dia mengambilnya juga?

Bukan semua ibu perlu melakukannya ujian MGTT. Biasanya yang berumur 35 tahun ke atas, BMI terlebih berat badan dan ada sejarah keluarga wajib melakukannya.

Namun, jika didapati berat badan bertambah berlebihan semasa hamil, anda perlu melakukan ujian ini walaupun tiada faktor risiko yang dinyatakan. Dahulu apabila kandungan berumur 28 minggu ke atas, ujian ini boleh dijalankan. Kini, sebaik sahaja anda tidak lagi mengalami alahan muntah atau loya, maka bolehlah menjalani ujian ini.

  1. Ada wanita tertentu yang kurang prihatin dengan pengambilan asid folik. Apa yang patut diketahuinya tentang hal ini?

Perlu diingati bahawa asid folik sangat penting untuk diamalkan semasa hamil. Banyak kajian membuktikan ia mengurangkan risiko neural tube defect, membantu dalam pembentukan otak, muka, bibir dan saraf tunjang bayi.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI