Kehamilan

Hamil Luar Rahim Boleh Akibatkan Pendarahan Banyak. Doktor Ingatkan Scan Minggu 6-8 Pastikan Kedudukan Kandungan

Share

Hamil luar rahim sangat bahaya kerana boleh akibatkan pendarahan banyak. Turut mengingatkan untuk scan pada minggu 6-8 pastikan kedudukan kandungan.

Kehamilan luar rahim atau ectopic pregnancy adalah situasi yang banyak berlaku di awal kehamilan. Ia mungkin tidak dapat disedari oleh para ibu kerana kerap terjadi pada peringkat awal kehamilan.

Perkongsian daripada Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak ini mengenengahkan isu hamil luar rahim membincangkan lebih lanjut tentang simptom, ibu yang berisiko, diagnosis serta rawatan yang akan diberikan.

Bahaya ke Kehamilan Luar Rahim (Ectopic pregnancy ) ?

Kehamilan luar rahim adalah kehamilan yang terjadi dan membesar di luar rahim. Nisbah 1 dalam 90 kehamilan adalah kandungan luar rahim. Wanita yang mempunyai sejarah kehamilan luar rahim mempunyai risiko yang tinggi untuknya berulang.

Kehamilan luar rahim sangat berisiko dan berbahaya kepada wanita.

Secara normalnya, telur wanita yang telah disenyawakan akan digerakkan masuk ke dalam rahim melalui Tiub Fallopian, di dalam rahim inilah telur yang disenyawakan menempel dan berkembang menjadi janin dan seterusnya bayi. Jika keadaan ini tidak berlaku, telur yang disenyawakan ini akan menempel di luar rahim dan terjadinya kandungan luar rahim.

KEHAMILAN LUAR RAHIM BERBAHAYA

Kehamilan luar rahim berbahaya kerana apabila kehamilan ini berkembang dan menjadi besar, ianya boleh pecah menyebabkan kesakitan yang amat, dan pendarahan di ruang abdomen.

Kebanyakkan kehamilan luar rahim terjadi pada tiub Fallopian (Tubal Pregnancy), walaupun begitu, 3-5 % kehamilan luar rahim boleh juga berlaku di tempat lain.

Dari Facebook Dr Muhammad Izzat.

KEHAMILAN YANG TIDAK DIKETAHUI LOKASINYA

Apakah maksud kehamilan yang tidak diketahui lokasinya (Pregnancy of Unknown Location)?

Bermakna seseorang wanita itu disahkan hamil, walau bagaimanapun kehamilan itu tidak kelihatan melalui pemeriksaan Ultrasound.

Boleh terjadi atas beberapa sebab :

Kehamilan masih terlalu awal, berada dalam rahim tapi terlalu kecil untuk dilihat melalui pemeriksan ultrasound

Ketidakpastian ini menyebabkan anda berasa stress, begitu juga dengan ahli keluarga anda yang lain. Ianya memerlukan sedikit masa untuk doktor membuat diagnosis yang betul sebelum doktor memberikan jenis-jenis rawatan yang ada.

Anda akan dinasihatkan untuk menjalani ujian darah untuk memeriksa paras hormon kehamilan dan rawatan susulan akan ditentukan berdasarkan keputusan darah ini, pemeriksaan ultrasound dan pemeriksaan klinikal.

TANDA-TANDA HAMIL LUAR RAHIM

Apakah simptom-simptom kehamilan luar rahim ?

Setiap wanita yang mengalami masalah ini mempunyai gejala yang berbeza-beza. Ada yang tiada langsung simptom, ada yang mempunyai beberapa simptom, malah ada yang ada pelbagai simptom.

Lazimya wanita akan mempunyai simptom pada minggu ke 6 kehamilan ( selepas 2 minggu tak datang haid ). Anda mungkin sedar atau tidak sedar anda sebenarnya mengandung lebih-lebih lagi jika haid tidak teratur atau pun kaedah perancangan keluarga anda gagal/tidak berjaya.

Simptom yang berbeza antara individu ke individu menyebabkan ianya bukan perkara yang mudah untuk membuat diagnosis kehamilan luar rahim.

Simptom-simptom yang biasa diperhatikan termasuklah :

#1: Sakit di bahagian bawah perut – Kadang-kadang sakit ini datang tanpa sebab musabab, dan datang secara tiba-tiba untuk beberapa hari, dan boleh terjadi pada sebelah bahagian sahaja.

#2: Pendarahan pada alat kelamin/vagina -tompokan darah mungkin kelihatan, ataupun anda mengalami pendarahan yang bukan seperti haid anda yang biasa.

#3: Sakit pada bahu ( shoulder tip pain ) – sakit ini disebabkan darah yang terkumpul di dalam ruang abdomen akibat kehamilan luar rahim yang telah pecah. Anda boleh mengalami sakit perut yang amat dan boleh pengsan secara tetiba, akibat kehilangan darah yang banyak. Dalam keadaan kecemasan ini, seharusnya berjumpa kakitangan kesihatan/doktor dengan segera.

5 IBU BERISIKO ALAMI KEHAMILAN LUAR RAHIM

Adakah saya berisiko untuk hamil luar rahim?

Semua wanita dalam umur reproduksi ( child bearing age ) boleh mengalami kehamilan luar rahim. Risiko ini meningkat sekiranya :

  1. Anda mempunyai sejarah kehamilan luar rahim terdahulu
  2. Anda mempunyai tiub Fallopian yang rosak, sama ada pernah mengalami pembedahan pada tiub Fallopian, termasuklah pembedahan mengikat tiub Fallopian ( tubal ligation ) atau mempunyai jangkitan pada tiub Fallopian (pelvic inflammatory diseases )
  3. Anda mengandung walaupun telah memakai alat dalam rahim ( Intrauterine Device ) atau anda memakan pil perancangan keluarga yang mengandungi hormon progesteron sahaja ( mini Pill)
  4. Kehamilan kali ini adalah melalui in vitro fertilisation (IVF) atau intracytoplasmic sperm injection (ICSI)
  5. Anda merokok.

5 CARA UNTUK DIAGNOSIS HAMIL LUAR RAHIM

Bagaimana kehamilan luar rahim dikenalpasti ?

Hampir kesemua kandungan luar rahim dijangka berlaku pada tempoh kandungan 6 hingga 10 minggu. Walau bagaimanapun kehamilan luar rahim boleh dikesan cepat.

Perlu diingat, sekiranya masih berada di peringkat awal kehamilan, doktor boleh mengambil masa yang sedikit lama untuk membuat diagnosis kehamilan luar rahim.

Diagnosis dibuat berdasarkan :

Pemeriksaan doktor – doktor akan menanyakan beberapa soalan berkaitan serta sejarah perubatan kemudian melakukan pemeriksaan kepada abdomen anda. Dengan kebenaran anda, doktor akan melakukan pemeriksan vagina dengan kehadiran female chaperone – untuk menemani anda sepanjang pemeriksaan.

Ujian kehamilan – jika ujian kehamilan belum dilaksanakan, sampel kencing akan diminta untuk melakukan ujian ini. Jika keputusan nya negatif, biasanya ianya bukanlah kehamilan luar rahim.

Pemeriksaan ultrasound – alat ultrasound akan dimasukkan secara perlahan ke dalam alat kelamin/ vagina ( transvaginal scan ) kerana pemeriksaan jenis ini lebih tepat berbanding dengan scan yang dilakukan ke atas abdomen ( transabdominal scan ). Maka anda akan diberikan cadangan untuk melalui pemeriksaan transvaginal ultrasound untuk mengenalpasti lokasi sebenar kehamilan anda. Walaupun begitu, ianya bukan mudah untuk mengenalpasti kedudukan kehamilan lebih-lebih lagi pada peringkat awal kehamilan, dan anda mungkin perlu mengulang pemeriksaan ini selepas beberapa hari.

Pemeriksan darah – untuk memeriksa paras hormon kehamilan ( beta- HCG). Lazimnya, pemeriksaan darah ini akan dijalankan setiap 48 jam. Jika hormon ini meningkat sebanyak 63% setiap 48jam ( doubling time ) maka kehamilan selalunya berada di dalam rahim. Sebaliknya , jika paras hormon in rendah dan tidak meningkat seperti sepatutnya atau kekal pada nilai yang sama, berkemungkinan besar anda mengalami kandungan luar rahim.

Laparoskopi – jika keadaan masih tidak pasti dan masih tidak dapat mengenalpasti lokasi kehamilan, sejenis pembedahan akan dilakukan, anda akan diberikan bius penuh. Beberapa lubang kecil akan dilakukan pada abdomen supaya kamera dan peralatan lain boleh dimasukkan. Jika kandungan luar lahim sudah dikenalpasti, rawatan membuang tiub yang mengandungi kandungan luar rahim akan dilakukan dengan kebenaran anda, sebelum pembedahan ini dilakukan, melainkan dalam keadaan kecemasan yang boleh meragut nyawa.

ADAKAH IA BOLEH BERULANG?

Bagaimana dengan kehamilan berikutnya ?

Peluang untuk hamil seterusnya bukanlah satu masalah buat anda, walaupun anda mempunyai satu tiub Fallopian tiub sahaja.

Untuk kebanyakkan wanita, kehamilan luar rahim ini terjadi sekali sahaja. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya peluang anda mendapat sekali lagi kehamilan luar rahim meningkat 7-10% jika dibandingkan nisbah 1 dalam 90 dalam populasi amnya.

BERJUMPA DOKTOR AWAL & SCAN PADA MINGGU 6-8 KEHAMILAN

Anda seharusnya berjumpa doktor awal bila mengetahui anda sebenarnya hamil. Pemeriksan ultrasound akan dilakukan awal dalam 6 hingga 8 minggu kehamilan untuk memastikan kandungan anda kali ini berada dalam rahim.

Jika anda belum lagi bersedia untuk hamil, boleh dapatkan khidmat nasihat perancangan keluarga dari klinik perancangan keluarga ataupun doktor sendiri kerana ada jenis-jenis perancangan keluarga yang lebih sesuai selepas mengalami kehamilan luar rahim.

Sumber: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

IKLAN