Kehamilan

Hamil & Menyusu Dalam Bulan Ramadan, Yuyu Puasa Selang Seli. Kongsi Pengalaman Dalam Pa&Ma TV

Share

Hamil dan menyusu dalam bulan Ramadan tentu tidak mudah. Pengalaman yang diceritakan oleh blogger dan instafamous Yuyu Zulaikha ini boleh dijadikan panduan.

Yuyu yang kini sedang hamil anak ketiga muncul dalam rancangan TV Pa&Ma episod 11: Puasa & Hamil. Ibu ini rupanya sudah menempuhi pengalaman dua kali kehamilan dalam bulan puasa iaitu ketika hamil anak kedua & yang terkini anak ketiga.

 

ALAMI TEKANAN DARAH RENDAH & MUDAH PITAM

“Yuyu pernah ada pengalaman hamil masa bulan puasa sebanyak dua kali. Tapi pada kedua-dua kehamilan saya alami darah rendah & mudah pitam. Jadi agak sukar untuk berpuasa,” kata Yuyu.

Ketika hamil anak kedua, Yuyu cuba untuk menunaikan rukun Islam ketiga ini. Katanya sayang untuk meninggalkannya. Dia mahu merealisasikannya dan mencuba.

“Saya cuba berpuasa pada hari pertama, boleh. Namun pada hari kedua Ramadan, terus jadi macam nak pitam. Hari ketiga pun sama. Doktor pun nasihatkan supaya saya tak berpuasa sebab hb rendah dan darah rendah, “ kata Yuyu mengimbau Ramadan tiga tahun yang lalu.

RAMADAN KALI INI, YUYU CUBA PELBAGAI TIPS

Pengalaman lalu mengajarnya untuk lebih bersedia menempuhi cabaran berpuasa. Ibu kepada Habib Muhammad dan Affan Muhammad kini sedang sarat hamil anak ketiga turut berkongsi tip yang diamalkan selain makanan seimbang.

“Jadi, untuk kandungan ketiga ini saya cuba puasa juga. Sekarang ni saya dapat banyak tips. Contohnya orang cakap minum susu, makan pisang, kurma dan roti untuk dapatkan tenaga yang berpanjangan. Itu antara yang saya amalkan semasa sahur. Tapi kalau tak boleh saya tak paksa diri. Saya juga nak jaga diri dan kandungan,” kata Yuyu.

MENYUSU & HAMIL DI BULAN RAMADAN

Selain itu, Yuyu juga ada pengalaman menyusukan anak pertamanya ketika hamil anak kedua dalam bulan puasa. Apa yang dilakukan ialah dia cuba untu berpuasa berselang seli untuk menggandakan jumlah penghasilan susu ibu.

“Bila saya berpuasa setiap hari susu jadi drop. Saya cuba untuk berpuasa secara berselang seli. Hari ini puasa, esok tak. Sebab dulu tak biasa dan tak tahu tips. Jadi pada kehamilan kali ini saya prepare awal.

SUAMI JAGA ANAK & URUS RUMAH

Blogger ini juga mengakui suami, Izwan Safuan banyak membantu sepanjang di bulan Ramadan. Apatah lagi kandungan ketika ini kandungan semakin sarat.

“Suami menjaga sendiri anak-anak. Kebanyakan kerja rumah juga suami yang lakukan buat sepanjang bulan Ramadan,” kata Yuyu tentang suaminya ketika melalui kehamilan kali ini.

“Kita sebagai suami kalau boleh bantu isteri ringankan segala beban. Kalau saya, sebolehnya sepanjang bulan puasa saya nak isteri saya rehat. Tapi bagi suami yang keluar bekerja, boleh bantu sedikit selepas balik kerja. Misalnya kemas rumah, cuci pinggan mangkuk, supaya isteri tak perlu banyak bekerja dan boleh berehat,” kata Izwan.

PEMAKANAN DIPANTAU SUAMI

Bertuah Yuyu kerana suaminya bukan sekadar menguruskan anak dan kediaman, malah suaminya turut memantau pemakanannya.

“Dari segi pemakanan, sayalah yang akan sentiasa pantau. Saya akan tengok apa yang dia makan. Pagi apa yang dia makan. Petang tu kita dah siap awal-awal. Memang isteri nak cuba puasa tapi jaga-jaga dari awal supaya kita tak terlambat.

“Manalah tahu dia tak larat saya sediakan makanan siap-siap. Sebab waktu tak larat, isteri saya akan terus rasa nak pengsan,” kata Izwan.

Bagi anda yang ingin mengetahui lanjut tentang puasa dan kehamilan, pandangan daripada pakar serta perkongsian daripada ibu bapa yang lain, boleh ikuti siaran ulangan rancangan TV Pa&Ma jam 9.00 malam, 21 Mei 2019 di Astro Prima & Astro Prima HD.

Published by
Azma ML