Kehilangan seorang wanita berumur 38 tahun dan juga ibu kepada dua anak berusia tiga dan empat tahun yang tidak pulang ke rumahnya di Taman Saujana Kota Tinggi sejak Isnin lalu, terjawab dengan penemuan mayat mangsa di dalam tong air biru di kawasan ladang serai di Bandar Penawar, Johor.
Lebih menyayat hati, anak-anak kehilangan ibu mereka atas tindakan tidak bertanggungjawab bapa sendiri yang dipercayai menembak ketika sedang tidur dengan menggunakan senapang angin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kes tersebut bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di rumah mereka.
Jelasnya, susulan daripada laporan kehilangan wanita berkenaan yang dibuat oleh jirannya, suami wanita terbabit berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan rakannya berumur 32 tahun ditahan pada Selasa.
“Siasatan awal yang dijalankan ke atas suami mangsa, mendedahkan berlaku perselisihan faham antara mereka pada Isnin lalu sebelum mangsa keluar rumah pada Isnin lalu kira-kira jam 2 pagi.
“Berdasarkan siasatan, suami mangsa telah mengaku membunuh isterinya di rumah mereka dengan menembak menggunakan senapang angin dan selepas itu mayat isterinya dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor.
Ads
“Suspek memberitahu mayat isterinya yang diletakkan di dalam tong biru telah dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Suspek juga menggunakan jengkaut untuk menggali tanah bagi menanam mayat isterinya sedalam kira- kira 2 meter,” katanya.
Ayob Khan berkata turut dirampas selaras senapang angin, selaras senapang patah dan 54 butir peluru penabor 12 “bore” dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero bersama kunci dan sebuah jengkaut.
Ads
“Siasatan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pemilikan senjata api terbabit dan polis masih menjalankan siasatan dari mana suspek mendapatkan senjata api tersebut.
“Suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan pemilikan senjata dan mendatangkan kecederaan,” katanya.
Jelasnya, proses bedah siasat masih berjalan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula Khamis sehingga 10 Mac.
Ads
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
“Sementara anak mangsa hasil perkahwinan yang didirikan selama lapan tahun itu akan dijaga oleh keluarga mangsa terbabit,” katanya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang bayi lelaki berusia sebulan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumah keluarganya di Taman Nusari Bayu 1, Sendayan Seremban, semalam.
Menurut laporan Metro, dalam kejadian jam 6.15 pagi, ibu bayi berkenaan berusia 20-an menyedari bayinya tidak bernafas dengan mukanya menjadi kebiruan di atas katil.
Sumber polis berkata, terdahulu wanita berkenaan menyusukan anaknya dalam posisi mengiring sebelum tertidur, 12.15 tengah malam.
“Apabila terjaga daripada tidur pada 6.15 pagi, wanita itu cuba mengejutkan bayinya namun, dia tidak bergerak dan pemeriksaan kemudian mendapati dia tidak bernafas.
“Dia dan suaminya yang berusia 29 tahun segera membawa anak mereka ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini,” katany.
Kata sumber itu, pemeriksaan dilakukan pakar perubatan HTJ mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.
“Pemeriksaan pada tubuh bayi tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah. Bapanya memaklumkan, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak mempunyai sebarang penyakit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, menurut Kaunselor Laktasi Bertauliah, Noor Fazila Abdul Rahman, beliau menyatakan posisi mengiring untuk menyusukan bayi tak salah.
Bagaimanapun, ibu kena tahu cara yang betul jika benar-benar ingin menggunakan cara itu. Paling penting ibu kena pastikan jenis tilam yang digunakan sama ada tenggelam atau tidak dan juga saiz bayi.
Mungkin bagi bayi yang terlalu kecil posisi mengiring belum sesuai untuknya dan setiap bayi tak sama.
Lagi satu dalam hal ini, bayi yang menyusu dengan susu ibu paling lama akan bertahan dalam tempoh dua jam. Ini kerana susu ibu mudah di hadam dan anak cepat lapar.
Jika selepas dua jam anak tak memberi apa-apa respon, ibu kena periksa bayi dan jangan dibiarkan begitu sahaja.
Penting juga untuk ibu atau penjaga sendawakan bayi walaupun rasa penat atau mengantuk kerana ini cara terbaik untuk memastikan bayi tidak mengalami masalah tersedak susu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Isu doula yang tular sekarang menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat terutama ibu mengandung. Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang lengkap dan jelas daripada sudut pandangan agama Islam diharap meredakan kekeliruan yang berlaku dan selepas ini bakal ibu bapa lebih bijak membuat pilihan mengenai perkara yang melibatkan nyawa manusia iaitu ibu yang melahirkan dan bayi yang dilahirkan.
Mukadimah
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula. Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”. Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1] Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula iaitu doula antepartum, doula labor, dan doula pospartum. Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung. Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin. Manakala, doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional. Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih. Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih. Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut. Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi. Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.” Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT. Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Sepanjang musim PKP ni pelbagai aktiviti yang dilakukan di rumah. Antara aktiviti yang wajib dan sentiasa dibuat 24 jam adalah aktiviti makan. Anak-anak pun asyik minta makanan sahaja. Duduk di rumah semua jadi lapar.
Jadi kalau nak seimbangkan aktiviti makan anak-anak dan juga si bapak, mama boleh cuba aktiviti yang dikongsi oleh Puan Nadzirah Razali. Boleh makan tapi kena selesaikan tugasan yang diberikan, selesai tugasan akan diberi upah dan seterusnya boleh lah membeli makanan yang diinginkan dengan hasil upah.
Aktiviti ini sangat bagus sebab boleh membantu anak untuk melatih diri agar berjimat, berusaha untuk mendapatkan sesuatu dan belajar nilai duit yang digunakan. Dan yang paling penting belajar bertangungjawab.
Kedai Runcit ibu Buka pukul 10am Tutup 8pm
Nak beli kat kedai ibu kena kerja dahulu untuk dapatkan duit…..contoh kerja , ada dah ibu list kan dlm gambar tu. nanti dapat gaji. dengan duit gaji tu anak-anak boleh beli di kedai ibu. Tak ada duit, tak boleh beli….. hehehhe
Sebelum nak masuk kedai ibu, mesti cuci tangan dgn hand sanitizer dahulu ya anak-anak…
0psss buat ayah Muhammad Khairi Azri Samsuddin kalau nak, kena beli jugak yaaaa. tak ada free-free hahahaah.
Rata-rata netizen terkejut dengan senarai harga di kedai runcit ibu. Lawak pun ada sebab ramai yang menyeru KPDNKK untuk memantau harga jualan di kedai runcit. Netizen pun menghiburkan betul!
“Tak boleh hutang” so kena la kerja ya anak-anak dan bapak kalau nak beli di kedai ibu. No malas-malas.
Ini antara senarai tugasan yang perlu dilakukan untuk mendapat upah duit gaji. Duit tersebut boleh digunakan di kedai runcit ibu. Duit tu sebenarnya duit mainan je tau. Ramai yang tertipu nasib ibu ada bagitahu di gambar seterusnya.
Kedai runcit ibu hanya dibuka 10am sehingga 8pm sahaja. Betul-betul patuh pada arahan PKP walaupun berniaga dalam rumah.
Inilah wang yang digunakan di kedai runcit ibu. Boleh dapatkan secara online, anak-anak pun rasa real je shopping dengan duit mainan tu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.