Mohamed Neqayl atau lebih dikenali sebagai Ney Ney, anak kepada pasangan Nora Danish dan Boss Ned dan Nora Danish pernah dikecam netizen kerana didakwa tidak comel seperti bayi yang lain semasa beberapa bulan dilahirkan.
Bagaimanapun, Nora Danish mengambil sikap untuk tidak melayan kata-kata negatif itu. Ada sebahagian peminatnya menyatakan biasalah bayi kecil dan belum lagi besar.
Kini menjengah usia setahun (22 Februari) ternyata NeyNey terus menjadi perhatian. Semakin besar lagi handsome dan senyuman pun manis.
Nora Danish juga menceritakan saat manis dikurniakan NeyNey dalam hidupnya dan suami serta menjadi pelengkap keluarga selepas berkahwin dengan Bos Ned.
Kehadiran Ney Ney menambah keceriaan kepada dua abangnya dan bukti cinta antara mereka sekeluarga.
Mengimbas kembali saat bersalinkan Ney Ney, pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan menyatakan anak lelakinya ini dilahirkan pada usia 8 bulan seberat 2.97 kilogram.
IKLAN
Sejak dari awal kelahiran hingga sekarang, setiap perkembangan Ney Ney sentiasa ditunggu. Dari berguling, merangkak, berdiri dan belajar berjalan momen itu antara yang terindah.
Selain dua abang, Ney Ney antara yang istimewa di hati mommy dan daddynya dan tak sabar nak lihat si manja ini membesar. Semoga Ney Ney akan membesar dengan sihat dan menjadi anak soleh.
Sumber: ig Nora Danish
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memang seronok kalau susu ibu anda terlalu banyak atau ‘oversupply’ sebab ramai ibu berfikiran tentu bayi akan puas menyusu dan tiada masalah untuk mengumpul stok susu.
Biasanya ibu-ibu akan susah hati kalau susunya sedikit atau berkurangan. Tapi sebenarnya kalau ibu mempunyai susu yang oversupply, ia boleh menjadi satu masalah besar dan mimpi ngeri! Bila menghasilkan terlalu banyak susu (atau susu memancut terlalu laju) ia boleh mencemaskan ibu dan bayi. Kenapa?
1. Bayi boleh tersedak susu
2. Bayi boleh tercekik dan tercungap ketika menyusu
3. Bayi mungkin akan menolak payu dara ibu terutama pada permulaan penyusuan
4. Bayi akan menjadi cerewet, kuat meragam atau kolik
5. Bayi sukar bernafas dan menelan susu
6. Bayi boleh mengalami selesema
7. Ibu mungkin merasa sakit di puting payudara kerana bayi asyik menarik, mencubit atau mencengkamnya ketika menyusu kerana cuba mengurangkan pengaliran susu yang terlalu laju
8. Pertambahan berat badan bayi sangat banyak (lebih daripada 900g sebulan)
9. Bayi kerap menyusu tetapi tidak puas
10.Bayi mengeluarkan najis yang berair dan berwarna kehijauan (sepatutnya kuning)
Beberapa keadaan di atas boleh menyebabkan risiko bayi lemas ketika menyusu dan mungkin membawa maut. Bahkan sesetengah bayi enggan menyusu atau menolak payudara apabila mereka tidak boleh mengatasi masalah aliran susu yang laju. Ini membuatkan mereka meragam kerana lapar tapi enggan menyusu.
Bagaimana masalah pengeluaran susu ibu berlebihan boleh berlaku?
* Pada awalnya, pengeluaran susu ibu didorong oleh paras hormon yang tinggi. Kemudian, kadar payudara mana menghasilkan susu ditentukan oleh berapa banyak susu kekal dalam payudara di antara waktu menyusu. Mengosongkan payudara dengan kerap menjadikan susu lebih laju.
* Bayi tidak menyusu dengan efektif. Dia sukar mendapat kadar lemak susu dengan betul. Kemudian cuba menggantikan dengan kerap menyusu, meningkatkan pengeluaran susu ibunya.
* Menukar payudara sebelum payudara pertama kosong sepenuhnya.
* Faktor hormon membawa kepada kecenderungan menghasilkan banyak susu.
* Rutin mengepam, atau mengepam kerana berpisan pada minggu pertama. Ini boleh membuatkan pengeluaran berlebihan.
Apa ibu patut lakukan?
* Susukan bayi dengan kerap membantu melegakan bengkak – payudara juga lebih selesa dan aliran susu kurang laju serta boleh ditangani oleh bayi.
* Susukan bayi sebelum dia lapar atau bila dia belum betul-betul terjaga dari tidur. Ini boleh membantunya menyusu lebih tenang, perlahan dan menerima aliran susu yang perlahan dan kurang menelan udara.
* Habiskan sebelah payudara terlebih dahulu. Ikut isyarat bayi dan tukar payudara bila dia kelihatan puas menyusu dan payudara anda rasa lebih lembut dan selesa. Kalau lepas berhenti seketika bayi kelihatan lapar balik, susukan semula dengan payudara yang sama jika belum kosong. Kemudian baru susukan di sebelah lagi payudara.
* Betulkan kedudukan dan pelekapan bayi. Jika aliran susu terlalu laju, cuba menyusukan sambil berbaring, jadi kepala dan kerongkong bayi akan lebih tinggi daripada puting anda. Atau, berbaring mengiring supaya bayi boleh membenarkan susu untuk menitik dari mulutnya bila ia keluar terlalu laju.
* Lembutkan payudara. Jika payudara anda terlalu penuh dan keras, cuba urut lembut secara terbalik untuk menggerakkan susu dari kawasan puting, jadi bayi boleh melekap lebih mudah. Anda juga boleh memerah sedikit susu dengan tangan jika perlu. Kalau guna pam payudara, pilih laras rendah untuk mengepam.
* Bantu bayi melepaskan payudara seketika supaya dia boleh menarik nafas. Bayi perlu dibantu untuk bernafas dengan betul supaya dia tidak tersedak.
* Sentiasa pastikan tangan anda menyokong bawah bahu dan leher bayi untuk mengelakkan dia memusingkan kepalanya.
* Anda juga mesti sentiasa memegang tuala di tangan untuk mengelap lelehan susu berlebihan. Bayi akan mudah menyusu jika aliran susu lebih perlahan.
Apa yang ibu mesti elakkan?
* Puting kosong dan botol susu.
* Mengepam susu dengan kerap sehingga alirannya perlahan. Walaupun ia kadangkala berguna, tetapi bila dilakukan dengan kerap boleh menyebabkan masalah terlebih pengeluaran susu.
* Mengepam susu mengikut rutin.
* Megepam susu lebih daripada yang diperlukan oleh bayi.
Jangan terlalu bangga bila susu terlalu banyak atau memancut sangat laju kerana ada risiko bahaya yang boleh mengancam nyawa bayi jika ibu tiada sebarang ilmu mengenainya.
Kenapa bayi tidak digalakkan tidur mengiring atau meniarap? Mama dan papa kena tahu dan faham corak tidur bayi baru lahir & langkah keselamatan yang perlu diambil.
Bayi baru lahir, banyak tidur daripada waktu jaga. Dia akan lebih tidur pada waktu siang dan malam hari, dan hanya akan terjaga apabila tiba waktu lapar untuk menyusu. Ini berlaku kerana bayi yang baru lahir tidak dapat membezakan siang atau malam.
Pada usia sekecil ini, mereka boleh tidur dengan purata 16 jam sehari, di mana dalam tempoh dua hingga empat jam terus-menerus di antara waktu menyusu!
FAHAMI RUTIN TIDUR BAYI BARU LAHIR
Mama papa perlu tahu bahawa bayi baru lahir tiada ada jadual tidur yang tetap. Pada biasanya, bayi akan mula mengenali waktu malam ketika berumur 3 bulan dan lebih kurang 90% bayi pada peringkat ini akan tidur sepanjang malam iaitu 6 hingga 8 jam.
Kadangkala bayi akan menangis atau membuat bising jika tidak dapat tidur nyenyak. Mereka akan terbangun dengan sendirinya semasa tidur di waktu malam dan tidak tidur. Mama papa tidak perlu risau pada ganggguan tidur kerana bayi perlu belajar untuk berada dalam keadaan ini.
Namun sekiranya bayi menangis berterusan selama beberapa minit, maka anda perlu memberi perhatian. Dia mungkin lapar, basah, sejuk, tidak sihat atau sakit. Beri perhatian dengan segera tanpa berlebihan kerana bayi perlu meneruskan tidurnya.
POSISI TIDUR
American Academy of Paediatrics mencadangkan posisi tidur yang sihat bagi bayi adalah tidur terlentang dan bukan meniarap atau mengiring. Kejadian kematian bayi secara mengejut (Sudden Infant Death Syndrome-SIDS) telah berkurangan ke 50% semenjak posisi tidur ini dicadangkan pada tahun 1992. Posisi ini dikecualikan bagi bayi yang mengalami kecacatan pada bahagian kepala atau mempunyai lidah besar yang akan menyekat penafasan.
TIP KESELAMATAN BAYI DI TEMPAT TIDUR
Tidurkan bayi secara terlentang di atas tilam yang padat dan kemas di katil bayi mengikut tahap keselamatan terkini.
Jangan menggunakan bantal, pelapik tilam, selimut, permainan yang ada bahagian-bahagian kecil dan penghadang katil yang tidak selamat.
Jika menggunakan selimut, pastikan kaki bayi berada di penghujung palang katil.
Selimutkan bayi dengan selimut yang nipis ke paras dadanya sahaja.
Pastikan kepala bayi tidak tertutup dengan selimut apabila tidur.
Jangan tidurkan bayi atas tilam air, sofa, tilam yang lembut, bantal atau di permukaan yang lembut yang boleh menyebankan dia tenggelam.
PASTIKAN TIDUR TERLENTANG
Selain itu, pastikan bayi memakai pakaian yang nipis semasa tidur dengan suhu bilik yang sesuai. Elakkan menyelimut bayi secara berlebihan dan pastikan suhu badan bayi tidak panas.
Bayi sepatutnya tidur terlentang. Bayi boleh di tiarapkan ketika dalam keadaan jaga untuk menggalakkan perkembangan otot, mata dan bagi mengelakkan belakang kepala bayi menjadi leper.
LANGKAH KESELAMATAN BERKAITAN TEMPAT TIDUR BAYI
Seboleh-bolehnya, elakkan bayi daripada berkongsi katil dengan orang lain kerana ia boleh membahayakan bayi
Boleh tempatkan katil/ kot bayi berdekatan dengan katil ibu untuk memudahkan penyusuan susu ibu dan memudahkan ibu untuk menyentuh bayi.
Sekiranya anda ingin menyusukan bayi di atas katil, pastikan bayi tidak ditidurkan dalam posisi meniarap di permukaan tilam yang lembut atau cadar yang tidak kemas atau longgar. Ini sebagai langkah untuk mengelakkan bayi lemas.
Katil anda perlu dijauhkan dari dinding atau perabot untuk memastikan bayi tidak mudah tersepit.
Orang dewasa dan kanak-kanak selain dari ibu bapa dan bayi tidak boleh berkongsi tempat tidur dengan bayi untuk mengelakkan risiko bayi tersepit atau tertindih.
Ibu atau bapa yang berkongsi tempat tidur dengan bayi perlu dipastikan tidak boleh merokok, menggunakan dadah atau mengambil alkohol yang mungkin akan membahayakan penjagaan bayi.
5 TIP BANTU BAYI TIDUR
Tidurkan bayi bila tiba masa yang sesuai untuk tidur dan sediakan tempat tidur yang selesa dan selamat untuknya.
Elakkan memberikan rangsangan yang berlebihan ketika menyusukan bayi di waktu malam dan ketika menukar lampin apabila bayi dalam waktu tidur.
Gelapkan bilik dan pastikan bilik adalah selesa dan senyap.
Pangku bayi sebelum tidur dan letakkan bayi ke atas katilnya sebelum bayi tertidur. Dengan cara ini bayi boleh belajar untuk tidur dengan sendiri tanpa didodoi atau
Mainkan muzik/ zikir yang berirama perlahan bila tiba waktu tidur. Ini boleh membentuk rutin tidur untuknya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidur diketahui amat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang cukup bukan sahaja akan berasa letih, tetapi juga akan membuatkan mereka hilang tumpuan.
Begitu juga dengan tidur siang, ia sama pentingnya dengan tidur malam. Teruskan membaca artikel ini bagi mengetahui manfaat tidur siang dan mengapa ianya penting untuk kanak-kanak.
Mengapa tidur siang penting?
Bukan orang dewasa sahaja memerlukan tidur siang, tetapi kanak-kanak juga amat memerlukannya. Tidur siang atau meridap merupakan kunci untuk memastikan kanak-kanak mendapat rehat yang sepatutnya diperlukan oleh mereka setiap hari. Bukan itu sahaja, manfaat tidur siang juga adalah untuk pembangunan fizikal dan mental di alam kanak-kanak.
Manfaat tidur siang
Terdapat beberapa manfaat tidur siang atau meridap. Antaranya adalah:
Membantu anak belajar- Satu kajian ke atas kanak-kanak prasekolah mendapati bahawa tidur siang dapat membantu mereka melakukan lebih baik ketika bermain mainan yang melibatkan memori.
Kanak-kanak kekal cergas- Beberapa kajian mendapati kanak-kanak cenderung untuk makan lebih banyak, terutama makanan yang tidak sihat, apabila mereka tidak mendapat tidur yang cukup. Justeru, ia membuatkan mereka cenderung mendapat obesiti. Kanak-kanak yang cepat letih juga tiada cukup tenaga untuk bergerak aktif dan bersenam.
Mood lebih baik jika tidur cukup- Anak yang tidak cukup tidur akan menunjukkan tantrum dan meragam. Malahan, ada kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang melangkau meridap akan kurang gembira dan menunjukkan reaksi yang teruk pada kejadian yang mengecewakan.
Berapa lama tidur siang yang anak anda perlukan?
Keperluan meridap kanak-kanak adalah berbeza mengikut peringkat usia.
Bayi baru lahir- 3 bulan: Bayi perlu tidur sehingga 18 jam sehari, dan berjaga sekitar satu atau dua jam.
Bayi sehingga usia 12 bulan: Memerlukan 2-4 jam tidur siang sehari.
Kanak-kanak 1-3 tahun: Perlu tidur 12-14 jam sehari, termasuk tidur siang (1-3 jam).
Kanak-kanak prasekolah: Memerlukan 11-13 jam tidur sehari termasuk meridap.
Kanak-kanak sekolah 5- 12 tahun: Waktu tidur malam antara 10 hingga 11 jam. Namun, biasanya selepas anak usia 5 tahun, mereka sudah tidak memerlukan tidur di siang hari. Jika boleh, hadkan tidur siang anak kepada 30 minit sahaja supaya tidak mengganggu waktu tidur malam mereka.
Keputusan untuk melangkau meridap boleh dibuat berdasarkan tingkah laku kanak-kanak dan jumlah tidur malam mereka. Berikut adalah keadaan bila ibu bapa boleh melangkau anak tidur pada waktu siang:
Jika anak anda mudah terlelap di malam hari.
Anak nampak cukup rehat pada siang hari.
Kanak-kanak jarang tertidur semasa dalam kereta ataupun ketika menonton TV.
Tidur siang adalah perlu untuk setiap bayi dan kanak-kanak, tetapi ibu bapa juga perlu tahu akan keperluan tidur siang mengikut peringkat usia anak mereka. Jika anda dapati anak kerap letih dan seperti tidak cukup tidur, maka mungkin anda perlu mengajar anak untuk tidur siang.