Anggota kumpulan Drama Band, Daus atau nama sebenarnya, Mohd Nor Firdaus Abu Bakar, 30, meminta semua pihak agar mendoakan anak keduanya, Nurul Adni Nuha yang kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang.
Nuha yang baru sahaja dilahirkan pada 11 April lalu mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Semasa Nuha dilahirkan, dia seorang bayi yang sihat dan memang tidak menghidap sebarang penyakit. Nuha juga tidak mengalami demam kuning.
“Selepas dua bulan, pada 16 Jun lalu, Nuha tiba-tiba diserang demam, batuk dan selsema.
“Nuha semakin lemah hingga mula batuk teruk dan sesak nafas sehingga dikejarkan ke Hospital Serdang pada jam 6.30 pagi dan dia terus dirawat di zon kritikal,” katanya kepada Gempak.
Tambah Daus, selepas itu, Nuha terpaksa menggunakan tiub oksigen untuk membantu pernafasan.
“Dia terlalu penat dan tak mampu bernafas sendiri dengan baik sehingga terpaksa menggunakan tiub oksigen.
“Pada 4.30 petang, Nuha dipindahkan ke wad ICU dan doktor telah mengesahkan terdapat jangkitan kuman di dalam paru-paru.
“Jangkitan itu membuatkan paru-paru Nuha tertutup dan oksigen tidak sampai ke paru-paru. Sehingga sekarang, Nuha masih di ICU dan membantu bantuan oksigen untuk bernafas oksigen.
“Saya bersama isteri bertabah menghadapi ujian ini dan kami berharap Nuha segera disembuhkan.
“Saya juga meminta peminat dan semua pihak agar mendoakan anak kedua kami cepat sihat seperti selalu,” katanya lagi.
Daus yang merupakan bassist Drama Band turut berkongsi perkembangan anaknya di laman Instagram dan rata-rata peminat serta rakan artis mendoakan agar Nuha kuat melawan penyakitnya.
Daus mendirikan rumah tangga dengan isteri tercinta, Nurul Aswani Zain, 30, pada 15 Mei 2015 dan mereka turut dikurniakan seorang lagi anak, Muhammad Na’im Irfan yang kini berusia tiga tahun.
Sumber: Gempak