Masih panjang umur! Itulah yang berlaku kepada empat sekeluarga setelah ditemui selamat oleh bomba dalam bilik air di tingkat atas sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Jalan Setia Perdana, Bandar Setia Alam, dekat Shah Alam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, bomba menerima panggilan pada 2.18 pagi dan tiba di lokasi sejauh 18 kilometer itu pada 2.37 pagi.
“Sewaktu bomba sampai, kita dapati kebakaran di tingkat bawah rumah teres dua tingkat dan bomba dimaklumkan ada mangsa, namun tidak tahu jumlahnya.
“Jadi, pasukan dibahagi kepada dua, satu penyelamatan, satu lagi pemadaman. Pasukan penyelamatan buat pemadaman untuk memasuki ke rumah atas dan mencari mangsa,” katanya.
Ditemui berpelukan dalam bilik air
Bomba menemui empat sekeluarga (suami isteri serta dua anak) di dalam bilik air di bilik tidur utama dalam keadaan berpelukan dan basah disebabkan peluh serta hampir sesak nafas.
“Namun, usaha pantas pihak bomba berjaya menyelamatkan semua tanpa sebarang kecederaan serius.
Tiada kedengaran suara mangsa
Hafisham berkata, ketika kerja mencari dan menyelamat, tiada kedengaran suara jeritan meminta tolong atau tangisan kedengaran.
“Mangsa diam saja, kami bertawakal dan berserah pada Tuhan supaya kami dapat temui mereka dalam keadaan selamat dan dimaklumkan keluarga berkenaan kini dirawat di sebuah hospital swasta berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, kerja pemadaman kebakaran selesai sepenuhnya pada 4.20 pagi.
“Operasi membabitkan 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dengan bantuan BBP Kapar dan BBP Sungai Pinang,” katanya.
Sumber: Metro
**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi