“Hanya Mampu Genggam Tangan, Tak Cakap Apa-Apa.” Isteri Pergi Bersama Kandungan

Share

Hasrat Muhammad Fadzli Ahmad untuk menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian apabila isteri, Farha Mohd Sabri dan bayi dalam kandungan meninggal dunia, Jumaat lalu.

Lebih menyedihkan apabila Muhammad Fadzli, 33, sempat melihat Farha, 34, bertarung nyawa sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisinya.

Kini, hanya anaknya, Falisha yang berusia setahun empat bulan menjadi peneman Muhammad Fadzli, malah dia terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai bapa dan juga ibu kepada puteri sulungnya itu.

Gambar kenangan Muhammad Fadzli yang mendukung Falisha di sisi Farha.

Sempat keluar bersama sehari sebelum pergi

Berkongsi kisah memilukan itu, Muhammad Fadzli berkata, Farha tidak menunjukkan sebarang tanda untuk meninggalkannya malah, mereka sempat keluar bersama sehari sebelum pemergian mengejut itu.

Bagaimanapun, katanya, beberapa hari sebelum kejadian, isterinya yang mengandung tiga bulan 28 hari ada mengadu sakit perut dan sudah dibawa ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya tidak berlengah dan terus membawanya ke klinik apabila dia mengadu sakit dan pertama kali kami ke klinik pada Selasa minggu lalu (2 Ogos) serta dimaklum doktor bahawa isteri mengalami kencing kotor sahaja.

“Kali kedua ke klinik pada Khamis (4 Ogos) yang mana doktor ketika itu beritahu ada angin dalam badan tetapi katanya kandungan dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi.

Tiba-tiba alami pendarahan

Menurutnya, penjelasan doktor melegakan mereka untuk seketika hinggalah Farha tiba-tiba mengalami pendarahan pada keesokan harinya.

Tanpa berlengah, Muhammad Fadzli terus membawa Farha bersama Falisha ke Hospital Pontian namun, takdir Allah SWT menetapkan wanita kesayangan itu meninggal dunia sebelum mereka sempat tiba di hospital.

“Saya masih ingat lagi, saya genggam tangan isteri ketika dalam perjalanan ke hospital dan pada mulanya genggaman itu kuat. Lama kelamaan, tangannya jadi sejuk dan saya tahu ketika itu isteri sudah tiada lagi. Saya tetap membawanya ke hospital untuk pengesahan.

“Semuanya terjadi begitu pantas malah isteri tidak sempat mengungkap sepatah kata pun sebelum menghembuskan nafas terakhir kerana dalam kesakitan yang teramat,” katanya yang memberitahu isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Pengkalan Raja, Pontian, kira-kira 6 petang Jumaat.

Masih terasa kehilangan arwah

Menurutnya, dia tidak kuat untuk menziarahi pusara isteri kerana kehilangannya sangat dirasai, malah tidak sanggup pulang ke rumah mereka di Taman Pulau Hijauan, Kangkar, Pulai disebabkan kenangan indah bersama.

“Sebelum ini kami bertiga dan bakal menimang anak yang mana kandungan isteri sudah cukup sifat. Kini hanya tinggal saya dan Falisha sahaja,” katanya yang menetap sementara di rumah mentua di sini.

Kredit: Harian Metro

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Ayuh, belajar cara didik anak untuk menyimpan sejak mereka kecil. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

Published by
Wan Amy