Mama papa perlu tahu 12 perkara bayi suka buat ini. Terutama sekali mama dan papa kali pertama. Ilmu ini perlu anda ketahui!
Sukar diungkap dengan kata-kata momen pertama melihat dan menyentuh bayi yang dikandung selama 40 minggu. Kini dia berada dalam dakapan anda. Jari jemarinya yang halus, kulitnya yang mulus, malah bau ‘syurga’ bayi ini melekat di minda hingga ke hari ini.
Bagaikan tidak percaya, namun itulah keajaiban Allah yang menganugerahkan permata yang tidak ternilai harganya buat seorang mama dan papa. Dia bayi yang hebat!
#1 MENGGELIAT
Geramnya ketika melihat bayi kecil ini menggeliat lembut. Ada sesetengah bayi menggeliat sehingga badannya membentuk seperti huruf ‘S’ (dalam posisi mengiring). Boleh hilang segala lelah dibuatnya. Comel sangat!
Semasa bayi menggeliat, ia akan menggerakkan punggung yang kecil dan badan yang lembut akan bergerak ke kanan dan kiri. Kata orang tua-tua, bayi yang suka menggeliat cepat membesar. Namun tidak pasti sejauh makan kebenarannya. Ketika bayi menggeliat, pantau agar kulit mukanya tidak dicakar kukunya.
#2 MENGHISAP JARI
Damainya hati ibu kala melihat bayi menghisap jari. Comelnya permata hati mama setiap kali menghisap jarinya. Tangan dan jari ialah permainan pertama si manja. Sebab itu bayi suka memasukkan jari ke dalam mulut.
Bagaimanapun ibu perlu pastikan jari si kecil anda itu sentiasa bersih agar tidak terkena sebarang jangkitan ketika menghisap jarinya. Apabila tiba masanya, latihlah si kecil anda itu untuk meninggalkan tabiat itu.
#3 MENYUSU SUSU IBU
Sejak hamil, ibu nekad untuk susukan bayi selama yang mungkin. Dan pastinya bayi anda sangat bertuah kerana mendapat ‘titisan emas’ daripada seorang ibu yang sentiasa menyayangi dan melindunginya.
Tahukah anda bayi anda juga sangat suka menyusu secara langsung daripada anda kerana banyak kebaikan yang diperolehi terutamanya dari segi sentuhan kulit ke kulit.
# 4 BUAI/DITEPUK/ZIKIR/LAGU LEMBUT SEMASA TIDURKAN BAYI
Alunan suara anda memberikan ketenangan kepada bayi. Ia termasuk zikir atau lagu dodoi yang anda nyanyikan. Begitu juga dengan buaian dan tepukan akan memberikan rasa tenang dan selesa kepadanya.
Malah bayi juga gembira bermain dengan anda walaupun anda menyanyi dengan suara yang agak sumbang. Walaupun anda lihat dia sangat kecil untuk memahami apa yang anda lagukan, namun percayalah lama-kelamaan dia akan faham jua. Bayangkan betapa indahnya saat si kecil terlelap dalam dakapan mahupun ribaan anda.
#5 DIPELUK DAN DICIUM
Tahukah anda bayi sangat suka dipeluk, dicium dan disayang? Dan dia sangat gembira jika anda berdua melakukannya. Pelukan yang kerap juga akan membantu merangsang perkembangan emosi dan fizikalnya. Anak-anak yang kerap dipeluk dan disentuh dipercayai lebih yakin diri, berasa diri sentiasa selamat dilindungi oleh ibu bapanya. Malah anda juga akan merasa magis sentuhan kasih sayang antara anda dan si anak. Jadi, pesanan penting untuk ibu dan ayah, luangkanlah masa sebanyak mungkin bersama si kecil anda itu.
#6 BERSEMBANG ‘BAHASA ‘NYA
Seronoknya mendengar bayi anda berceloteh dengan bahasa bayi dengan lenggok yang tersendiri sampai meleleh-leleh air liurnya. Memang terhibur melihat reaksi comel itu. Dan anda sebagai ibu bapa perlu rajin bercakap dan memberi respons kepada bayi anda. Ketika bercakap dengan bayi, pandang ke dalam matanya.
Fasa babbling ini melatih bayi dalam kawalan suaranya. Berinteraksi dengan bayi akan membantu mengoptimumkan kecerdasan dan merupakan langkah awal untuk pembentukan peribadinya. Ingat ya ibu, sentiasa bercakap dengan lembut dengan bayi anda itu.
#7 SENYUM DAN KETAWA
Dunia bayi dan kanak-kanak adalah satu dunia yang penuh warna-warni dan menghiburkan. Hidup mereka seharusnya tidak punya tekanan. Dan kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab memberi kebahagiaan buat mereka. Melihat dan mendengar gelak tawa si anak antara yang paling dirindu ibu bapa.
Walaupun bayi anda masih ‘merah’, mereka juga pandai tersenyum apabila diagah dengan pelbagai intonasi suara dengan mimik muka anda yang menghiburkan. Jadi, ibu dan ayah usahlah terlalu serius apabila berdepan dengan si kecil anda yang memang suka ketawa. Ada kala kita pula yang ketawa melihat dia ketawa.
#8 SUKA MENIRU
Bayi memang suka mengajuk apa yang kita lakukan misalnya meniru mimik muka kita. Cuba anda berdua duduk di depan cermin atau komputer riba dengan memasang kamera. Buat mimik muka dan anda akan lihat si kecil anda itu menirunya dan anda berdua akan ketawa. Tukar mimik muka yang lain dan dia akan mengikutnya juga.
Begitu juga kalau anda buat muka sedih dan menangis tipu-tipu, bayi anda juga akan turut menangis. Aksi-aksi lucu ini akan meninggalkan momen indah untuk anda berdua. Malah ia satu ‘permainan’ yang sangat menghiburkan.
#9 BERMAIN
Bayi dan kanak-kanak memang sangat suka bermain. Luangkan masa bermain dengan anak mengikut kesesuaian usianya. Bola, permainan yang mempunyai muzik, anak patung dan lain-lain antara yang disukai. Sebaik-baiknya pilih alat dan kaedah permainan yang mampu merangsang pertumbuhan mental dan fizikalnya.
#10 MASUK JARI TANGAN DAN KAKI KE DALAM MULUT
Tidak cukup satu jari, kalau boleh 10 jari mahu dimasukkan ke dalam mulutnya sendiri. Malah jari kaki pun nak digigitnya. Ini ialah salah satu perkembangan baik di mana bayi mula menyedari kewujudan kakinya. Memang seronok melihat gelagat si kecil ini namun pastikan jari-jemarinya sentiasa bersih.
#11 MENANGIS
Bayi menangis merupakan perkara biasa, namun jika berpanjangan anda perlu meredakan bayi. Bayi menangis ada banyak sebab antaranya mungkin tidak selesa, kembung perut, lapar atau penat dan mahu tidur. Untuk menenangkannya cuba dukung, peluk atau memberinya susu. Anda juga boleh cuba mendodoikannya dan secara beransur bayi akan menghentikan tangisannya.
#12 BAYI MENGUAP
Bayi juga kerap menyuap. Situasi ini begitu ‘menakjubkan’ apabila melihat mulut mungil bayi terbuka luas. Namun, jangan lupa itu untuk menutup dengan tangan anda. Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka.” Riwayat Imam Muslim. yang datang daripada permata hati anda. Justeru,anda harus segera menutup mulutnya jika bayi menguap.