Kehamilan

“Haram Ke Tidak, Ambil Pil Perancang Kalau Nak Jarakkan Kehamilan?” 10 Info Ini Kena Ambil Tahu

Share

Apabila ada yang memutuskan ingin menjarakkan kehamilan, bukan bererti rezeki mahu ditolak. Ia lebih kepada usaha merancang masa depan diri, keluarga dan anak-anak dengan sebaik mungkin.

Masa kini, terdapat pelbagai jenis kaedah perancang kehamilan yang boleh menjadi pilihan. Berbanding kaedah implan, alat dalam rahim dan suntikan, pil kontraseptif atau lebih dikenali sebagai pil perancang merupakan cara mencegah kehamilan yang popular di kalangan wanita di Malaysia.

Walaupun begitu, ramai wanita yang masih sangsi tentang cara dan keberkesanan penggunaannya. Hal ini mungkin disebabkan golongan berkenaan kurang arif dengan fakta sebenar pil perancang, akibat salah tanggapan terhadapnya.

Oleh sebab itulah, sering kedengaran keluhan seperti “Patut atau tidak, ambil pil perancang?, Apa kesan sampingan kalau makan? Haram tak kalau guna? Haid nanti jadi banyak tak? Kalau nak mengandung semula, lambat ke nak subur semula?. Inilah antara dilema wanita yang berteka-teki mahu memilih kaedah perancang kehamilan yang sesuai dengan dirinya. 

Demi membantu anda membuatkan keputusan yang betul, ini adalah antara perkara yang patut anda tahu tentang pil perancang.

  1. Mengandungi hormon

Selain dinamakan sebagai pil perancang, pil kontraseptif juga digelarkan sebagai pil hormon. Hal ini kerana terdapat hormon estrogen di dalamnya. Ada juga jenis pil perancang yang turut digabungkan dengan hormon progestin.

 

 

2. Hentikan ovulasi

Fungsi utama pil perancang ialah menghentikan proses ovulasi. Dengan yang demikian, ia membuatkan anda menjadi tidak subur buat sementara waktu.

Hormon yang terdapat dalam pil perancang akan menghalang telur (ovum) daripada berjaya keluar daripada ovari. Jadi, tiada telur yang boleh disenyawakan walaupun sperma mungkin berjaya memasuki rahim.

Selain daripada itu, ia turut bertindak menebalkan mukus yang terdapat pada pangkal rahim (serviks). Kesannya, ia akan menyukarkan sperma untuk menembusinya, lalu sukar untuk sampai ke rahim.

3. Dapatkan nasihat doktor dahulu

Biarpun sesetengah jenis pil perancang boleh dibeli di farmasi, sebaik-baiknya anda dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu jika erhasrat untuk memulakan pengambilannya.

Sewaktu anda membawa bayi ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan berkala, biasanya jururawat mahupun doktor akan bertanya sama ada anda mahu merancang kehamilan seterusnya.

Oleh itu, jangan segan bertanya lanjut bagi membolehkan anda mendapatkan maklumat tepat tentang kaedah pencegahan kehamilan yang selamat.

4. Mulakan pada hari ke-5

Sebelum mengambil pil perancang, anda perlu benar-benar memastikan diri tidak hamil! Oleh sebab itulah, anda disarankan mula mengambil pil perancang semasa hari ke-5 kitaran haid. Jika mendapati diri hamil ketika memakannya, hentikan pengambilannya serta-merta dan segera dapatkan pemeriksaan doktor.

5. Jangan ambil jika ada penyakit

Kebanyakan wanita yang normal dan sihat tubuh badan boleh mengambil pil perancang. Namun  begitu, sekiranya merokok, mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kanser ataupun mengalami kesihatan seperti migrain atau sawan, anda dilarang sama sekali untuk mengambilnya.

6. Kesan sampingan bersifat sementara

Sememangnya, pil perancang mempunyai kesan sampingan yang tersendiri. Namun, kesannya adalah bersifat sementara. Antara kesan sampingan yang lazim dialami di awal pengambilannya ialah seperti mual, loya, kegatalan, kurang berahi, ketegangan payudara dan keguguran rambut. Dalam pada itu, kitaran haid juga mungkin menjadi tidak tetap dan jumlah darah haid yang keluar selalunya berkurangan.

Dikatakan, ini adalah antara respon tubuh anda yang sedang dalam proses menyesuaikan diri. Jika terdapat tanda serius seperti sesak nafas, batuk berdarah, gangguan penglihatan dan pendarahan, hentikan pengambilannya dan rujuk masalah ini kepada doktor.

Sementara itu, setelah mula mengambil perancang, anda dinasihatkan untuk meneruskan penggunaan pil perancang yang sama jenis selama 3 bulan sebelum membuat keputusan untuk mencuba jenis pil perancang lain pula.

7. Boleh hamil semula selepas hentikan pengambilan

Setelah menghentikan pengambilannya, anda boleh kembali hamil kerana pil perancang adalah pencegah kehamilan yang bersifat sementara. Pada asasnya, ia hanya boleh bertahan selama 24 jam. Atas sebab inilah anda perlu memakan pil pada jam yang sama setiap hari.

Sehubungan itu, apabila anda berhenti daripada mengambil pil perancang setelah beberapa ketika, tubuh boleh menjadi sangat subur berbanding sebelum ini.

8. Berkesan sehingga 99%

Kebanyakan pil perancang yang dijual di pasaran boleh memberi kesan optimum sehingga 99%. Perlu diingatkan bahawa ia hanya akan berkesan sekiranya diambil pada waktu yang sama setiap hari.

Oleh itu, anda harus mengelakkan diri daripada terlupa mengambilnya. Jika anda tergolong sebagai selalu lupa makan ubat mengikut watu yang sepetunya diambil, maka pertimbangkan cara pencegahan kehamilan lain yang lebih selamat dan berkesan buat diri anda.

9. Hukum harus pengambilannya

Kebanyakan ahli ilmuan Islam berpendapat hukum mengambil pil perancang adalah harus dengan syarat mendapat kebenaran suami. Islam tidak mengharamkan kaedah pencegahan kehamilan yang tidak kekal. Ini termasuklah pil perancang, suntikan atau penggunaan kondom. Menurutnya, ia hanya berperanan melewatkan kehadiran cahaya mata agar pasangan suami isteri lebih bersedia daripada semua segi dan ia bukannya bersifat kekal.

10. Dua jenis pil

Pil perancang boleh didapati dalam dua jenis. Ia adalah pil kombinasi di mana mengandungi hormon estrogen dan progestin. Ia adalah pil perancang yang paling biasa digunakan. Antara jenama yang terdapat di pasaran ialah Oralcon, Mercilon, Marvelon, Loette, YAZ dan Yasmin.

Satu lagi jenis pil perancang ialah pil mini. Pil ini biasanya diberi oleh doktor kepada anda yang menyusukan bayi. Jenama yang biasa didengar ialah seperti Norriday dan Cerazette. Berbeza daripada pil kombinasi, pil jenis ini tidak boleh dibeli sewenang-wenangnya di farmasi kerana boleh memudaratkan diri jika disalahguna. Hal ini kerana ia memberi tindak balas jika digunakan dengan ubat yang lain seperti antibiotik, ubat sawan, arthritis dan ubat tidur.

Published by
Intan Jastina