Sedangkan lidah lagi tergigit, apa lagi suami isteri. Berselisih faham dalam rumah tangga itu adalah perkara normal. Setiap pasangan pasti akan melaluinya. Cara terbaik untuk menyelesaikan konflik dengan pasangan adalah dengan berbincang. Sesetengah wanita atau lelaki, cenderung untuk memberitahu tentang masalah perkahwinan di media sosial. Bukankah ia umpama membuka aib sendiri?
Meluahkan rasa tidak puas hati dengan pasangan secara terbuka di media sosial adalah HARAM kerana ia boleh menyebabkan salah faham serta fitnah tersebar. Bahkan keadaan juga semakin bermasalah dan menjadi keruh. Menurut pendakwah bebas, Noraini Mat Din atau lebih dikenali sebagai Ustazah Nony berkata tindakan meluahkan perasaan dengan niat memohon pendapat berkenaan rumah tangga di media sosial bukanlah jalan terbaik buat suami mahpun si isteri.
Memetik sebuah artikel di Sinar Harian, Ustazah Nony mengatakan kemudaratan yang lebih besar bakal berlaku daripada tindakan itu. Misalnya keaiban pasangan dan ahli keluarga mereka akan menjadi bualan ramai. Salah faham begitu akan mengakibatkan salah faham serta prasangka buruk yang menyebabkan orang ramai menghukum tanpa mengetahui kisah sebenar.
Bimbang juga jika ada pihak yang mengambil kesempatan dalam situasi ini sekali gus menjadi punca kepada keretakan yang lebih besar, termasuklah boleh menyebabkan kecaman netizen dan menjadi sebab kepada mengumpat serta mencela beramai-ramai
MENGURUS KONFLIK
Menurut Ustazah Nony lagi, kesan daripada perbuatan itu, ia bukan sahaja memberi persepsi buruk kepada pasangan bahkan ia juga mengundang kepada reaksi negatif pelbagai pihak dan boleh membarah dalam masyarakat.
Justeru katanya, tindakan berkongsi masalah di media sosial berkenaan hal rumah tangga amatlah ditegah.
“Oleh itu, carilah jalan penyelesaian dan perdamaian dengan cara bersemuka antara satu sama lain dan bukannya melalui atas talian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pelbagai kaedah yang digariskan Islam kepada suami isteri sebagai persediaan menempuhi gerbang perkahwinan, antaranya ialah kematangan dalam kerangka berfikir pasangan berkenaan.
Menurutnya, ia merangkumi cara berfikir, membuat keputusan, perbuatan dan tindakan, komunikasi serta pergaulan.
“Suami dan isteri mestilah matang dalam berbincang, membuat keputusan, menjalankan tanggungjawab dan hak, menguruskan konflik dan menguruskan rumah tangga.
“Kematangan suami dan isteri ternilai daripada cara mereka menguruskan konflik,” katanya. Kekalkan keharmonian rumah tangga.
Menurutnya, Islam mengajar umatnya beberapa cara untuk kekal harmoni dan mengatasi masalah dalam rumah tangga.
Ads
“Pertamanya, berkomunikasilah. Suami dan isteri mesti memahami pasangan masing-masing.
“Contohnya, apabila suami tidak gemar tindakan isteri maka ajaklah berbincang dan mohon isteri membuat semakan dan tegurlah secara berhemah,” katanya.
Menurutnya, suami dan isteri juga perlu meningkatkan amal ibadat dan sentiasa saling menasihati berkenaan agama.
“Ibadah sempurna akan memandu rumah tangga sekali gus menjadikan hubungan sentiasa terjaga,” katanya.
TIP BAGI MEREKA YANG BERHADAPAN KONFLIK RUMAH TANGGA
* Suami dan isteri yang mempunyai masalah ataupun tidak, mesti saling berkomunikasi secara berhadapan.
* Komunikasi melalui atas talian tidak mempunyai nada, mimik muka dan sukar untuk dibuat penjelasan maka elakkan meregangkan kekusutan antara pasangan melalui atas talian.
* Suami dan isteri mestilah duduk berbincang terutamanya apabila berhadapan konflik rumah tangga.Melarikan diri, atau mewakilkan orang untuk berbincang dan menyelesaikan masalah sebenarnya tidak membantu meregangkan konflik bahkan boleh menyebabkan ia lebih buruk.
* Sekiranya perlukan orang tengah untuk membantu komunikasi dan perbincangan antara suami isteri maka ajaklah saudara. Sama ada daripada sebelah suami atau sebelah isteri atau kedua-duanya untuk memurnikan dan memberi pendapat, atau suami isteri boleh membawa hal ini berjumpa bahagian kaunseling rumah tangga.
Seperti mana makanan ada tarikh luputnya, barang-barang semakin buruk dan rosak, begitu jugalah dengan kita sebagai manusia. Itulah lumrah kehidupan yang tidak boleh dielakkan. Seorang suami pasti akan perasan akan perubahan si isteri selepas berkahwin. Lebih ketara lagi sesebuah perubahan itu dapat dilihat ketika isteri sudah melahirkan anak.
Mustahil isteri akan kekal cantik seperti zaman mudanya. Masih cantik, tetapi dengan caranya sendiri mengikut peredaran usia. Kudratnya mungkin juga semakin berkuarangan, emosi juga mungkin semakin mudah terganggu. Perubahan fizikal, itu sudah pasti. Anda sebagai suami, jangan hanya bijak merungut. memberi komen tentang bentuk badannya atau kulit wajah yang semakin hilang serinya.
Katakan seorang suami mengeluh tentang isterinya yang semakin mengendur dan tidak ‘sehebat’ dahulu, pernahkah anda terfikir adakah isteri itu getah tali? Boleh anda tegangkan atau kendurkan sesuka hati?
Sebagai seorang suami yang bertanggung jawab dan bertoleransi, perubahan fizikal seharusnya tidak menjadi hal besar kepada anda. Seperti mana dia menerima anda, begitulah juga sebaliknya. Anda juga semakin berusia dan mungkin juga tidak ‘segagah’ dahulu.
Sentiasa beringat, melalui fasa menjadi tua itu sesuatu yang pasti. Tenaga yang semakin berkurangan juga normal. Benar, di luar banyak dipertontonkan gadis cantik dan ‘bergetah’, tetapi sedarkah anda bahawa itu sebua ujian untuk menguji keimanan anda sebagai suami?
Sebaik mana pun wanita lain, hukumnya tetap haram. Haram bukan hanya tidak boleh disentuh bahkan dilihat atau dibayangkan juga tidak boleh. Walhal di rumah sudah ada isteri terbaik yang halal, yang menerima anda seadanya.
Lebih teruk lagi jika suami langsung tiada ihsan dan membuat kenyataan memalukan tentang isteri menerusi media sosial. Tindakan suami apabila memalukannya dengan menyentuh bentuk badan atau fizikal adalah jenayah body shaming. Apakah itu body shaming? Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
Body shaming atau perbuatan menghina rupa fizikal seseorang di mana-mana perkhidmatan aplikasi boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (b), Akto Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Kesan kepada mangsa atau isteri:
1. Stres dan gangguan emosi. Dia akan mula merasa insecure tentang dirinya sendiri dan mula berubah dari segi perwatakan. Kalau sebelum ini isteri seorang yang ceria, mungkin akan menjadi pendiam dan lebih suka memencilkan diri.
2. Kehilangan keyakinan diri. Isteri akan mudah merasa malu dan mungkin tidak mahu keluar rumah bersama suami kerana merasakan hanya akan membuat suaminya tidak suka keluar dengannya.
3. Kecelaruan pemakanan. Isteri cenderung mencuba pelbagai jenis diet yang mungkin tidak selamat untuknya. Lebih bahaya, untuk kurus secara drastik, isteri sanggup mengambil pil kurus dan sebagainya.
4. Kemurungan. Hal ini boleh menjadi begitu teruk sehingga isteri merasa kemurungan dan mungkin akan mula berhalusinasi. Apabila ini berlaku, isteri cenderung untuk buat perkara-perkara yang tidak dijangka.
5. Kejadian bunuh diri.
‘Body shaming’ telah diklasifikasikan sebagai jenayah buli siber dan mangsa yang terkena perbuatan ini boleh membuat laporan polis atau kepada SKMM.
Mengikut Seksyen 233 (1) (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) , jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang ibu enam anak didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencampakkan anaknya berusia setahun ke dalam longkang tahun lalu.
Tertuduh, Sharifah Norain Mohd Zali, 33 tahun membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya, dihadapan hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai hak pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan telah menyebabkan mangsa didedahkan dengan cara yang mungkin boleh mengalami kecederaan fizikal apabila cuba mencampakkannya ke dalam longkang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, tertuduh turut didakwa telah mendedahkan mangsa sama kepada kecederaan dengan cara dia membawa mangsa bersama-sama melompat dari motosikal ke atas jalan raya.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8.40 malam hingga 9.40 malam di Jalan Pandan, Taman Pandan Maju dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Julai tahun lalu.
Justeru, wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Sebagai tambahan hukuman jika disabitkan hendaklah menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dengan apa-apa syarat yang difikirkan perlu oleh mahkamah.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Goh Chin Han merayu hukuman rendah memandangkan tertuduh mengalami kemurungan ketika kejadian kerana tidak mempunyai pekerjaan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal bagaimanapun dalam hujahannya berkata, tertuduh tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan menjadikan kemurungan sebagai alasan.
Tertuduh juga sudah mempunyai pengalaman menjaga lima anaknya yang lain apatah lagi mangsa baru berusia kurang dua tahun ketika kejadian.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau tiga tahun penjara jika gagal bayar.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan bon berkelakuan baik sebanyak RM5,000 tanpa cagaran selama dua tahun.
Banjir UM Reda! Menerusi kenyataan media menerusi facebook rasmi universiti berkenaan, Universiti Malaya ingin memaklumkan bahawa keadaan banjir sekitar kampus telah reda manakala semua laluan telah dibuka semula.
Universiti Malaya juga mengesahkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam kejadian ini.
Semua staf, pelajar dan pelawat kampus dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan diri dan harta benda terperangkap dalam banjir.
Pihak universiti akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kampus terpelihara.
Terdahulu, Tular sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X, air banjir sudah memasuki kawasan kampus dan dilaporkan agak tinggi parasnya.
Video berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang pegawai keselamatan memberi amaran untuk tidak menggunakan laluan ‘gate’ Kuala Lumpur untuk memasuki Universiti Malaya ekoran paras air tinggi.
Sikap prihatin lelaki berkenaan memberitahu situasi terkini di UM itu membantu kepada pengguna dan pelajar yang bercadang menggunakan laluan berkenaan. Berlatar belakang air banjir, lelaki itu memberi tahu info semasa meredah banjir.
“Kepada semua warga kampus pelajar dan pengguna, jangan masuk melalui ‘gate’ Kuala Lumpur ke dalam UM di sebalah Masjid Ar Rahman kerana banjir yang di paras agak tinggi.
“Air banjir juga turut melimpah di hadapan fakulti undang-undang dan di jambatan lingkungan budi,” katanya
INFO:
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pagi Selasa di beberapa kawasan dalam negara. Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Bandar Baharu, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau), Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru), Sarawak: Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis). Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam