Waktu berbuka puasa, isteri adalah orang yang paling sibuk sekali di meja makan.

Menyediakan juadah makanan dan melayan permintaan suami dan anak-anak sampai kadangkala diri sendiri tak sempat nak menjamah makanan dalam keadaan tenang.

Berapa ramai suami yang sanggup biarkan isteri makan dulu dengan tenang sementara dia menjaga dan melayan macam-macam kehendak anak-anak di meja makan?

Perkongsian Encik Andy Sulaiman yang menyaksikan sendiri realiti sebenar di depan mata diharap dapat membuka mata lelaki bergelar suami.

Sedang aku duduk tenang di warung, datang 1 keluarga.

Sepasang suami isteri bersama 3 anak. Aku anggarkan yang paling tua berumur 10 tahun.

Kedua lebih kurang 5 tahun dan paling bongsu setahun lebih mungkin 2 tahun.

Sedang meneliti set seafood grill lambak. Lalu aku terangkan pada mereka satu persatu.

Ada 2 kategori. Set RM67 mengandungi Baby Lobster, Ketam, Sotong, Kerang dan Udang Biasa atau Udang Putih.

Manakala set RM110 pula terdiri daripada 5 item yang aku jelaskan di atas dan bonusnya aku tambahkan 2 ekor Udang Galah Liar.

Mereka diam seketika, berfikir set yang mana harus mereka ambil sebagai hidangan makan malam pada malam ini.

Oh ya, kedua-dua set ini sudah termasuk sekali dengan 4 nasi ya.

Sang suami seperti keliru dan perlukan bantuan. Lalu aku, sebagai pemudahcara barisan hadapan Brojak, aku memudahkan kekusutan sang suami itu.

“Bang, benda-benda lain abang dah senang jumpa. Sotong, ketam, kerang ni semua bersepah kat pasar. Udang Galah susah bang, lebih-lebih lagi jenis liar ni.”

‘Hargai Isteri Di Meja Makan’, Pesanan Lelaki Ini Pada Semua Suami

IKLAN

Sang suami diam. Si isteri turut diam menanti keputusan dari ketua keluarga tersebut.

Aku menambah ‘perisa’ lagi. Memang aku ‘beri’ sedikit demi sedikit perisa ini. Kataku,

“Bang, set RM110 ni siap ada Udang Galah bang. Abang tambah dalam RM40 lebih sikit je dapat 2 ekor bang. Biasa kalau ambil berasingan, 2 ekor ni dalam RM50-RM70 bang.”

Si suami terus tunduk akur. Set RM110 menjadi pilihan.

Setelah segalanya siap dibakar madu di atas arang yang marak membara dan nasi 4 pinggan terhidang di meja, staff aku menghantar set grill lambak ini ke meja mereka.

Bersama semangkuk kuah tom yam pedas, sos stim limau juga semangkuk sos Thai. Gabungan 3 rasa iaitu pedas, masam dan manis ini tidak pernah mengecewakan.

Isteri Sibuk Melayan Anak

Lalu mereka makan bersama. Dan di sini segalanya bermula.

Si suami makan dengan bersungguh-sungguh. Aku memerhatikan betapa kusyuk dia menikmati set itu.

Terdengar bunyi dia pecahkan cengkerang ketam, dia patahkan badan baby lobster juga menghisap rasa yang ada pada sepit udang galah itu. Rasa madu!

‘Hargai Isteri Di Meja Makan’, Pesanan Lelaki Ini Pada Semua Suami

Dan si isteri pula sambil menyuap makan ke mulut sendiri,

IKLAN

“Mak nak udang lagi”

“Mak nak air!”

“Nak cik! Nakk acik!” (Nak nasi! Nakk nasi!)

3 permintaan dari ketiga anaknya dalam satu masa.

Pernah anak mereka minta dari si ayah namun si emak cepat membatalkan permintaan anak itu dengan berkata,

“Abang, jangan kacau ayah makan. Abang nak apa? Cakap mak”

Si ayah suap, suap dan suap. Dan si emak bergilir suap dengan si anak. Sesekali diambil gelas air dan menghulur penyedut minuman ke mulut anaknya.

Ini Pengakhirannya?

Si ayah selesai menjamu selera. Bangun lantas mencuci tangan. Sesudah itu, tidak pulang ke meja. Berdiri di suatu sudut, menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan 3 benda :

IKLAN

Handphone, sekotak rokok dan pemetik api.

Rokok dinyalakan dan saat ini matanya tertumpu ke skrin telefon. Terdengar sedas dua bunyi sendawa beliau dek kekenyangan selepas menikmati satu set grill lambak yang ada Udang Galah, Baby Lobster, Ketam, Udang Biasa, Sotong dan juga Kerang.

Sang isteri masih bergelut suap dengan 3 anaknya. Sesekali memerhati suami yang asyik menghembus asap dan mentelaah skrin telefonnya.

Aku terfikir, apa kah puas si emak menikmati makanan yang hanya ada 1 warung sahaja di Bandar JB ini yang menghidangkan set lambak sebegini?

Adakah kenyang si ibu jika suapan beliau terganggu dek permintaan demi permintaan anak-anak?

Tolonglah Wahai Suami

Wahai suami, Abang, Brother, Tuan.

Di meja makan, raikan isteri mu. Raikan anak-anakmu.

Terutama jika apa yang dimakan itu jenis makanan bercengkerang seperti ketam dan baby lobster yang keras di luar.

Tolong kopekkan ketam dan udang untuk anak-anak. Pecahkan cengkerang ketam dan keluarkan isinya, letak di pinggan isteri.

Cedokkan kuah tomyam dan siramkan nasi isterimu. Hulurkan minuman ke mulut anakmu.

Biarkan isteri menikmati hidangan seafood grill lambak itu dengan tenang. Biarkan anak-anak menikmati saat indah makan bersama si ayah yang sentiasa sibuk seharian bekerja.

Selesai makanmu, segera pulang ke meja dan bantu uruskan anak-anakmu. Biarkan si isteri menikmati makannya pula.

Baru lah kita ini suami romantis. Baru lah kita ini bapa penyayang.

Sebagaimana kami satukan segalanya di dalam satu set, sebegitu juga harapan kami anda bersatu bahagia sekeluarga di meja makan.

Sumber: Andy Sulaiman

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI