“Hargailah Dia.” Suami Menyesal, Isteri Dah Tak Ada Baru Menangis Tak Sudah!

Share

Sudah menjadi tanggung jawab seorang suami, untuk menjaga dan menghargai isteri. Berilah layanan terbaik kepadanya, sesungguhnya banyak pengorbanan yang dia lakukan untuk kebahagiaan rumah tangga. Jangan diabaikan perasaan seorang isteri, kelak sesal di kemudian hari.

Seperti yang dikongsikan lelaki ini, dia menyesal kerana mengabaikan perasaan si isteri. Akhirnya dia sesal kerana berlaku sesuatu yang tak mungkin dia lupakan sehingga bila-bila.

Isteri Cantik, Orangnya Baik

Saya Azhar, berusia 36 tahun. Saya seorang suami dan mempunyai dua orang anak yang comel. Tapi itu dulu, sekarang saya seorang duda. Dan saya menyesali perkara itu. Kerana saya tidak bersabar dan mengikut nafsu, saya kehilangan isteri tercinta dan anak-anak.

Isteri saya (saya gelarkan sebagai Aliya), dia seorang yang baik. Cukup sempurna. Semasa awal perkenalan kami, dia seorang yang langsing. Mukanya cerah, manis dengan senyuman. Sangat cantik pada pandangan mata saya. Waktu itu, bukan saya seorang yang mahukan perhatian Aliya. Ada beberapa orang lain yang sukakan dia, tapi dia memilih saya. Sungguh, saya bersyukur.

Apabila cukup duit, saya ajak Aliya berkahwin. Selepas tiga tahun kami bercinta, rasanya elok saya halalkan perhubungan kami. Alhamdulillah, Aliya bersetuju. Keluarganya juga memberi restu. Majlis perkahwinan kami langsungkan dengan meriah. Di hari pernikahan kami, Aliya cukup cantik. Tak ada wanita lain yang dapat menandinginya.

Selepas empat bulan berkahwin, Aliya disahkan mengandung anak sulung kami. Saya sangat bahagia. Aliya pun bukan main berseri-seri. Semakin cantik semasa mengandungkan anak kami. Kehamilan dia pun dipermudahkan, tak ada sebarang masalah.

Lepas Bersalin, Tak Cantik Macam Dulu

Selepas bersalin, saya lihat ada perubahan pada Aliya. Entah kenapa dia sudah hilang serinya. Wajahnya kusam. Perutnya menggeleber. Sudah saya nasihatkan, waktu berpantang jagalah elok-elok. Saya terlupa, saya bekerja mengikut syif. Memang jarang dapat bantu Aliya.

Ibu Aliya sudah lama meninggal dunia, jadi tiada siapa yang dapat menjaganya ketika berpantang. Ibu saya pula tidak boleh membantu kerana terpaksa menjaga anak-anak asuhannya. Jadi Aliya terpaksa berpantang sendiri. Pernah dia suarakan untuk mengupah confinement lady (CL), tapi saya tak benarkan. Ya, salah saya. Saya bodoh!

Anak belum pun setahun, Aliya mengandung semula. Waktu tu, saya gembira. Tapi boleh tengok Aliya macam sedih. Dia tak bersedia lagi untuk hamil semula. Tapi saya marah dia, saya kata itu rezeki. Kenapa perlu dipertikaikan? Saya lupa, dia lah yang terpaksa menanggung segala kesusahan sepanjang berpantang. Waktu malam, dia juga yang bangun untuk susukan anak. Sedangkan saya, tidur tak bangun-bangun.

Cukup masa, Aliya melahirkan anak kedua kami. Terpaksa berpantang sendiri, dengan dua orang anak kecil memang memberi kesan kepada Aliya. Emosinya tak stabil dan dia selalu marah-marah. Waktu itu saya alpa, bila dia marah, saya tengking dia semula. Apa hak dia nak marah pada saya? Dia seorang isteri!

“Eh, awak kalau tak marah satu hari tak boleh ke? Saya bosanlah. Dengan bising anak-anak ni menangis. Rumah bersepah. Awak pulak asyik nak marah-marah. Cuba awak cermin diri tu. Dahlah makin gemuk, dah tak cantik. Gelilah saya dengan awak ni!.” Lepas saya cakap macam tu, saya keluar rumah. Langsung tak peduli apa perasaan Aliya.

Kalau Tak Kurus, Saya Ceraikan Awak!

Lebih teruk lagi, saya bagi dia masa. Saya kata dalam tempoh dua bulan kalau dia tak kuruskan badan saya akan ceraikan dia. Entah apa yang merasuk saya waktu itu, tergamak ungkapkan kata-kata macam tu pada dia. Isteri yang dahulunya saya sayang, saya hina sampai macam tu.

Saya nampak usaha isteri saya untuk kurus. Dia mula tak makan. Kadang-kadang, bila hari minggu dia minta izin untuk keluar berjoging. Saya biarkan saja. Asalkan dia kurus, itu saja yang saya fikirkan.

Keluar Tak Balik-Balik

Suatu hari itu, dia nak keluar beli barang dapur. Dia minta saya tengokkan anak-anak. Tapi saya tak mahu. Saya minta dia bawa mereka sekali. Saya nak rehat, hari minggu sajalah saya dapat tidur lama sedikit. Saya tahu Aliya sedih, tapi dia bawa keluar juga anak-anak kami bersama.

Selepas dua jam keluar, pelik juga Aliya masih tak balik. Selalunya tak lama sangat Aliya keluar kalau bawa anak-anak bersama. Saya hubungi dia, tapi tak berangkat. Selepas dua tiga kali saya call isteri, baru ada yang menjawabnya.

“Eh, awak ke mana? Dah lama sangat keluar?”. Saya ingat lagi, itulah yang saya tanyakan pada dia. Tapi waktu itu, bukan dia yang jawab panggilan saya. orang lain yang angkat phone, memberitahu yang Aliya kemalangan.

Bergegas saya ke hospital. Waktu saya sampai, saya diberitahu pihak polis yang anak-anak saya meninggal dunia di tempat kejadian. Isteri saya pula mengalami kecederaan parah. Selepas dua jam berada di dalam OT, doktor mengatakan isteri saya tidak dapat diselamatkan.

Dah Tak Ada, Baru Nak Menyesal

Kini sudah enam bulan isteri dan anak-anak meninggalkan saya. Menurut laporan dari pihak polis, sebuah treler melanggar kereta arwah isteri saya kerana tidak sempat brek. Tidak sempat mengelak kerana treler tersebut datang dari belakang.

Benarlah kata orang, bila ada depan mata kita tak hargai. Dah tak ada, baru nak meratap kesedihan. Satu per satu saya terbayangkan layanan buruk saya padanya. Tambah ralat, saya tak sempat nak minta maaf. Inilah hukuman yang harus saya terima, kerana saya tidak menjaga amanah dari Allah SWT ni dengan baik. Tak pedulikan dia, sesuka hati menyakitkan hatinya.

Untuk para suami, tolonglah hargai isteri anda. Jangan sampai dah jadi macam saya, baru nak menyesal. Tak ada gunanya lagi. Betapa saya rasa bersalah, tapi tak mampu nak buat apa dah. Sekarang, saya hanya banyakkan berdoa untuk arwah Aliya dan anak-anak kami. Ya Allah, ampunilah kekhilafan hamba-Mu ini.

Sekiranya anda mahu berkongsi sebarang cerita dan pengalaman menarik, klik di KONGSI CERITA.

Published by
Emy H