Hari Ke-11 Dalam Pantang, Bayi Hanya Dapat Rasa Sekejap Susu Ibu, Isteri Dah Pergi Selamanya

Share

Hanya sempat peluk dan susukan bayi 11 hari dalam pantang, kegembiraan sepasang suami isteri tidak berpanjangan apabila isteri dikasihi meninggal dunia setelah baru menerima cahaya mata 28 Ogos lalu.

Status pemilik Facebook Hamijan Mijan itu mengundang sayu netizen.

“Wajahmu sentiasa didalam ingatan ku (aku) disusuli dengan doa buat mu isteri tercinta, walau awak jauh dimata sayang tapi awak tetap dekat dihati saya, (saya) sayang awak sampai bila-bila,” tulisnya.

Al-Fatihah buat isteri tercinta, Siti NurHidayah Mohd Saad, 23.

Malah, wanita itu juga dikatakan sempat memuat naik status terakhir di facebook sehari sebelum pemergiannya dengan tidak sabar mengajak suami untuk bercuti ke Cameron Highland setelah habis pantang pada hari ke-45.

Namun impian itu tidak kesampaian apabila dia akhirnya dahulu dijemput Ilahi.

Hamijan Jalaludin berkata, dia tidak menyangka isterinya pergi secara tiba-tiba kerana NurHidayah tidak menunjukkan sebarang tanda, bahkan, beberapa jam sebelum kejadian mereka masih sempat berbual seperti biasa.

“Lepas subuh, saya tidur sampai pukul 11, saya (hanya) tersedar apabila anak menangis.  Saya bangun buatkan susu anak dan memanggil isteri tetapi tidak dia tidak menyahut.  Jadi saya pergi dekat dan menarik selimut, dan melihat tangan arwah sudah kebiruan,” kata Hamijan.

Panik dengan keadaan isterinya yang sudah tidak sedarkan diri, dia terus memanggil ambulans dan membawa isterinya ke hospital.

“Namun sampai di hospital, isteri disahkan meninggal dunia,” kata Hamijan.

Menurut Hamijan, doktor mengesahkan terdapat darah beku di peranakan isterinya yang menjadi punca kepada kejadian tersebut, selain mengalami hipoglisemia (bacaan gula dalam darah rendah) kerana mengalami diabetes semasa mengandung.

Bagaimanapun, keputusan penuh dari doktor masih belum diketahui.

Meskipun sedih, namun dia reda dengan pemergian isteri tercinta dan janjinya akan menjaga zuriat, tanda cinta mereka yang telah diberi nama Muhammad Hud Hayyan dengan baik.

“Saya akan menjaga bayi kami dengan penuh kasih sayang atas bantuan keluarga,” katanya.

Facebook: Hamijan Mijan & Sinar Harian

 

 

Published by
Wan Amy