Tanggal enam November pastinya menjadi hari yang begitu bahagia buat penyanyi Azmi Saat dan isterinya kerana bakal menyambut kelahiran bayi yang sekian lama ditunggu.
Pernah melalui detik duka sebaik kelahiran bayi sulungnya tidak lama dulu, kini Azmi dan isteri sekali lagi diberikan rezeki Allah untuk menimang zuriat sendiri.
Menurut perkongsian Azmi menerusi media sosialnya sebentar tadi, isterinya, Nazira Muhammad sudah pun dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan melahirkan cahaya mata mereka petang ini.
“Hari ini harinya yang kami tunggu-tunggu. Kami dah masuk ke wad.
“Insya-Allah petang ini akan buat pembedahan untuk melahirkan anak kedua,” tulis Azmi.
Azmi juga turut meminta doa dari semua agar kelahiran cahaya matanya ini dipermudahkan malah sihat sempurna seperti bayi yang lain.
“Mohon doa kawan-kawan moga prosesnya dipermudahkan dan diberikan keselamatan untuk Puan Nazira Muhammad dan anak kami. Amin,” tambah Azmi lagi.
Rakan-rakan selebriti dan pengikut Azmi turut meninggalkan pelbagai komen malah mendoakan agar kelahiran anak kecil yang ditunggu itu dipermudahkan Allah SWT.
Terdahulu, Azmi mendedahkan isterinya Nazira Muhammad hamil dan bakal menimang cahaya mata kedua mereka selepas kehilangan anak pertama mereka, Khairul Afnan, dua tahun yang lalu.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!