Kehamilan

“HB Low” Boleh Bahayakan Ibu & Bayi Dalam Kandungan, Sebab Tu ‘Nurse’ Selalu Bising!

Share

“Alahai, ‘merah’ lagi Hb aku bulan ni. Habislah nanti nurse tanya macam-macam. Apa bahaya Hb rendah ni sebenarnya?”

Bagi ibu-ibu mengandung, istilah ‘Hb low’ atau ‘Hb rendah’ adalah antara aduan yang paling kerap didengari. Adakah anda faham apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Hb rendah’ dan mengapa anda amat disarankan agar menjaga bacaan tersebut setiap kali temujanji?

Dari segi perubatan, anemia berpunca daripada kekurangan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah. Anemia dikesan melalui ujian darah iaitu apabila paras Hb dalam sel darah merah kurang daripada 11gm/dl.

Hemoglobin ini mempunyai fungsi yang amat penting kerana ia bertindak sebagai pengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan.

Semasa hamil, tubuh akan menghasilkan lebih banyak sel darah merah untuk menyokong perkembangan bayi. Kekurangan Hemoglobin boleh menyebabkan tubuh kekurangan kandungan oksigen, sekaligus mendedahkan ibu hamil dan bayi kepada beberapa risiko.

8 BAHAYA HB RENDAH KEPADA IBU MENGANDUNG DAN BAYI

Berikut adalah antara risiko apabila seseorang mengalami kekurangan Hemoglobin dalam darah.

1. Letih & Lesu
Pertama sekali, anemia boleh membuatkan seseorang berasa letih, lesu, dan lemah. Anda akan sering terasa pening, sesak nafas, atau berasa sukar untuk fokus.
Ia berlaku akibat kekurangan oksigen dan nutrien yang amat diperlukan oleh badan. Wajah seseorang juga cenderung kelihatan pucat serta tidak bermaya.

2. Keguguran
Sekiranya anemia berada pada tahap yang serius, tubuh akan tidak berupaya lagi menanggung proses kehamilan, lalu menyebabkan keguguran janin yang dikandungkan.

3. Tumpah Darah Ketika Bersalin
Apabila bacaan Hb anda tidak menunjukkan kemajuan sehinggalah waktu bersalin, apa yang membimbangkan adalah ia berisiko menyebabkan tumpah darah.
Jika ini berlaku, kebarangkalian untuk seseorang memerlukan pemindahan darah (blood transfusion) akan meningkat demi menyelamatkan nyawa.

4. Tumbesaran Bayi Terbantut
Menurut laman kesihatan Web MD, bayi yang dikandungkan juga berisiko mengalami masalah tumbesaran serta keterlewatan perkembangan. Malah, bayi mungkin turut terdedah kepada risiko anemia.

5. Kelahiran Bayi Kurang Berat Badan (IUGR)
Selain itu, bahaya kurang Hb juga memberi kesan kepada kesihatan fizikal bayi, di mana sejak dalam kandungan lagi bayi tidak dapat membesar dengan normal.
Bayi IUGR (IntraUterine Growth Restriction) biasanya lahir dengan berat badan yang kurang daripada normal dan memerlukan perhatian khusus daripada pihak hospital. Kes sebegini juga boleh berpunca daripada kelahiran bayi pramatang oleh ibu yang mengalami anemia.

6. Bayi Meninggal Dalam Kandungan
Komplikasi-komplikasi akibat kekurangan Hb dalam darah boleh menjadi punca bayi meninggal dalam kandungan.

7. Postpartum Depression
Dalam sebuah jurnal kesihatan, kajian oleh Intercollege Physiology Program and the School of Nursing mendapati bahawa wanita yang memiliki bacaan Hb rendah selepas bersalin lebih berisiko mengalami masalah tekanan perasaan / meroyan / postpartum depression.

8. Kematian Ibu
Dalam kes yang paling teruk, anemia yang tidak dirawat boleh menjadi punca kematian ibu hamil.

CARA MENINGKATKAN HB KETIKA HAMIL

Untuk mengurangkan risiko di atas, ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk memperbaiki bacaan Hb.

1. Memakan Makanan Kaya Zat Besi

Antara sumber makanan kaya zat besi yang baik terdiri daripada beberapa kumpulan makanan berikut:

Sumber haiwan
daging,hati, ayam, limpa, kerang, ikan, sotong, ikan bilis

Sumber sayuran
pegaga, pucuk paku, kangkung, bayam, kailan

Pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya 1 jenis makanan dari sumber haiwan setiap hari.

2. Mengambil Pil Hematinik / Suplemen Yang Dipreskripsikan Oleh Doktor

Sekiranya anda didiagnos dengan masalah Hb rendah ketika hamil, doktor akan mempreskripsikan ubatan khas untuk mengatasi masalah ini. Di klinik kesihatan kerajaan, selalunya pil hematinik akan diberikan, di mana ia terdiri daripada 4 jenis pil iaitu:

  • Pil zat besi
  • Pil asid folik
  • Pil vitamin C
  • Pil vitamin B kompleks

Selain 4 jenis pil ini, anda juga mungkin dipreskripsikan dengan ubat lain seperti Zincofer atau Iberet. Pastikan anda mengambil pil ini setiap hari mengikut dos yang disarankan oleh doktor.

3. Elakkan Kafein / Makanan Yang Menghalang Penyerapan Zat Besi

Untuk memastikan penyerapan zat besi berlaku dengan lebih efisyen, elakkan meminum atau memakan bahan yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, minuman berkola, atau minuman bercoklat, terutamanya dalam tempoh 2 jam selepas pengambilan pil zat besi yang dipreskripsikan.

Selain makanan berkafein, susu juga mampu menjejaskan penyerapan zat besi pada tubuh, seperti yang dilaporkan oleh LiveStrong dan juga Buku Kesihatan Ibu Mengandung KKM. Sungguhpun ia merupakan sumber kalsium, tapi anda perlu menjarakkan pengambilannya sekurang-kurangnya 2 jam selepas memakan ubat.

4. Lebihkan Makanan Yang Membantu Penyerapan Zat Besi

Makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi terdiri daripada makanan yang kaya dengan vitamin C. Oleh itu, anda digalakkan untuk makan pil hematinik bersama air kosong atau jus buah-buahan untuk penyerapan yang optimum.

Selain itu, lebihkan buah dan sayur yang kaya dengan vitamin C dalam hidangan harian. Antaranya jambu batu, limau, betik, tomato, dan sebagainya.

5. Mematuhi Rutin Temujanji Kehamilan Setiap Bulan

Akhir sekali, pastikan anda sentiasa mematuhi rutin temujanji kehamilan supaya keadaan anda dapat dipantau dengan kerap. Jika anda tergolong dalam kes anemia atau Hb rendah semasa hamil, biasanya anda perlu datang ke klinik lebih kerap, iaitu setiap 2 minggu.

APAPUN, JANGAN TERLALU RISAU

Untuk makluman anda, kira-kira 1 daripada 5 kehamilan adalah berisiko mengalami anemia. Namun ia tidaklah bermakna anda akan menghadapi semua komplikasi yang dinyatakan di atas.

Dengan pantauan doktor dan langkah keselamatan yang diambil sejak awal, tidak mustahil anda boleh melahirkan bayi secara normal. Jadi, pastikan anda menjaga kesihatan fizikal serta mental dengan baik seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

Yang penting, jangan terlalu stres ya!

Nak tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu, jom join webinar PERCUMA Ya, Aku Mampu Susukan Anak! secara ONLINE pada 29 Oktober 2022. Daftar nama anda di https://toko.ideaktiv.com/product/ya-aku-mampu-susukan-anak/


Jom, kongsikan foto comel si manja anda bertemakan Jungle Cuties di SINI! Ada hadiah menarik menanti.(https://www.majalahpama.my/pencarian-bayi-pilihan-pama/)

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa