Amanah Allah yang paling besar buat ibu bapa adalah mendidik anak untuk berjaya dalam hidupnya sama ada dalam pelajarannya, adab dan sahsiah serta dapat mendoakan kita apabila dah tiada nanti.
Disebabkan itulah, ramai yang berazam untuk mencorakkan hidup anak-anak sejak dari lahir hinggalah mereka besar. Percayalah melalui didikan dan contoh yang baik, anak kita akan menjadi individu yang boleh menjadi kebanggaan ibu bapa.
Baru-baru ini menerusi satu video yang telah viral menunjukkan seorang anak yang berusia 3 tahun dah boleh mengimamkan solat. Walaupun video itu sekadar suka-suka ternyata didikan dari ibu bapanya mampu membuatkan kanak-kanak ini mempunyai keyakinan tinggi.
Menurut ibunya, Nurzuhaili Shamsudin, ada cerita disebaliknya sehingga anaknya, Adam nak jadi imam setiap kali solat.
Apabila diajak berjemaah, Adam asyik nak jadi imam. Katanya, Papa baca laju. Adam tak sempat nak catch up.
Jadi, apa yang kami buat, kami akan solat dahulu. Kemudian, Papa akan berpura-pura solat sekali lagi dengan Adam. Kali ni, Adam akan jadi imam.
Buat Pelbagai Teknik Untuk Didik Anak
Ramai juga berharap untuk mendidik anak mereka agar menjadi seperti Adam suatu hari nanti.
Izinkan saya berkongsi sedikit cara saya mendidik anak-anak. Untuk makluman, saya hanya mempunyai 2 orang anak, seorang 7 tahun (Safiyya) dan seorang 3 tahun (Adam).
Sebagai ibu muda, saya banyak melakukan eksperimen semasa mendidik anak. Cuba sesuatu teknik, jika tak sesuai, saya akan ubah.
Untuk tanamkan minat membaca, setiap malam sebelum tidur, saya akan bacakan cerita kepada mereka. Kami juga selalu bermain kuiz, teka teki, membuat aktiviti ‘art’, mengemas rumah dan solat bersama-sama. Gadjet? Mereka dibenarkan bermain gadjet, tetapi bersyarat.
Sebagai ibu bekerja, masa bersama anak sangat terhad. Jadi, saya carikan guru yang bagus untuk mengajar mereka. Seawal 3 tahun, mereka telah ke tadika. Saya pilih tadika yang merangsang perkembangan anak-anak. Mereka belajar melalui bermain. Mereka belajar solat dan hafalan surah beramai-ramai. Mereka belajar adab dan bagaimana mengurus diri.
Di Tadika Volunteer Jadi Imam
Sejuk perut ibu Adam, di sekolah pun dia selalu imamkan rakan-rakannya solat berjemaah.
Ibunya turut menyatakan, Adam sangat suka untuk solat. Seolah-olah satu keseronokan buatnya. Kalau tak jadi imam pun, dia nak jadi bilal dan nak iqamatkan.
Malah doa mamanya juga adalah untuk melihat Adam membesar menjadi pemimpin yang berilmu dan beriman.
Sumber: Nurzuhaili Shamsudin