Memang meriah jika kita mempunyai anak yang ramai tapi boleh jadi juga sangat meletihkan jika hanya kita sahaja yang menguruskan anak tanpa bantuan pasangan. Selepas melahirkan anak, kebanyakan doktor akan bertanya sama ada kita ingin merancang ataupun tidak dan kebiasaanya ibu-ibu akan dinasihatkan supaya merancang agar dapat berehat untuk beberapa tahun.
Mungkin ada yang merancang, tapi Tuhan yang menentukan rezeki tiap-tiap hambanya. Jika anda mempunyai anak yang ramai, sama-samalah bantu pasangan untuk menjaga anak-anak. Penglibatan kedua-dua ibu bapa sangat penting untuk emosi anak-anak. Emosi pasangan pun akan berada dalam keadaan yang baik jika ada penglibatan pasangan dalam rumah tangga.
Seorang sahabat, anaknya rapat-rapat. Kagum juga sebab beliau berniaga, jadi tanyakan kalau boleh ambil ibrah untuk amalkan. Tapi, dia balas penuh rendah diri.
“Kita tak hebat langsung la awak, suami yang banyak sangat bantu. Sediakan keperluan anak-anak, bantu uruskan keperluan saya juga.
Suami selalu buat lauk frozen, siap tampal sticker tarikh. Apa yang saya teringat nak makan, saya ambil panaskan.”
Ya Allah.
Kadang kita nampak kecil sangat tapi sebenarnya bantuan pasangan sangat besar maknanya.
Ada ibu seronok anak rapat-rapat sebab pasangan yang sangat mengambil peranan untuk sama-sama uruskan anak.
Bila anak berak langsung tak segan cebokkan.
Bila anak mengamuk tak tumpang mengamuk.
Bila anak sakit sama-sama berjaga malam.
Bila anak lapar tolong uruskan.
Sama-sama.
Tak cerewet bila rumah bersepah, asalkan bukan kotor. Ada beza sepah dan kotor.
Tapi, ada juga isteri yang diuji anak ramai jarak dekat tanpa bantuan pasangan dalam masa yang sama ‘haramkan’ untuk ambil perancangan keluarga kerana menyekat rezeki Tuhan katanya.
Dalam dia duk mentazkirah isteri pasal sekat rezeki, dia tak peduli pun berak kencing anak, solat dan mengaji anak-anak entah ke mana, bila anak sakit elok saja berdengkur macam tak ada apa.
Sungguhlah,
Perkahwinan bukan sahaja berkenaan apa hak kita dari pasangan tetapi perlu ingat apa tanggungjawab kita pada pasangan, dalam pada kita menunaikan hak dan tanggungjawab perlu ada ihsan dan belas kasihan.
Kenapa masa bercinta seronok sangat tapi dah berumahtangga rasa pudar cinta, jadi menyampah?
Sebab… perkahwinan ada tanggungjawab yang perlu dibuat, ada hak yang perlu dilunasi, ada nyawa manusia lain untuk disantuni dan kesemuanya itu memerlukan pengorbanan dan hati yang empati.
Sepertimana dosa pasangan yang belum bernikah, sebesar itu jugalah pahala buat mereka berumahtangga.
Beri senyum dan membuat orang senyum juga boleh jadi ibadah.
Semoga, sama-sama saling membantu bina Syurga dunia sebelum Syurga yang dijanjikan Nya bagi orang bertakwa.
Ummu Amir,
Be Kind. Always.
Kredit:Insyirah Soleha
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI