Nak membina keperibadian anak-anak sememangnya perlu bermula dari awal usia. Apabila mempunyai keperibadian yang baik, perkembangan minda mereka juga akan lebih baik. Dalam hal ini ibu dan ayah memainkan peranan dalam membentuk peribadi si kecil dari usia dini.
Dalam satu perkongsian oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, beliau senaraikan 10 tip buat ibu dan ayah praktikkan buat si kecil tersayang bagi menjadikan mereka lebih pintar dan mempunyai keperibadian yang tinggi.
Ini yang dikongsikan oleh beliau:
Pendidikan awal kanak-kanak sangat dekat di hati saya sebab saya belajar kaunseling dan percaya perkembangan minda dan peribadi kanak-kanak itu bermula dari pendidikan awalnya.
Saya ingin kongsikan 10 untuk menjadikan anak lebih pintar dan berperibadi yang tinggi.
1. Jaga Pemakanan
Berikan makanan yang halal dan bernutrisi (toyyiban). Makanan yang natural dan dimasak sendiri. Galakkan mereka minum air mineral dan makan sayur/buah. Elakkan makanan yang mempunyai kalori yang tinggi (manis) seperti kek, coklat dan minuman dalam kotak.
2. Banyak Berkomunikasi Dengan Anak
Banyaklah berkomunikasi dengan mereka. Bicara dengan penuh emosi. Jangan malu untuk berkomunikasi dengan cara mereka. Bercakap dengan nada, mimik muka, ketawa dan suara-suara yang mencuit hati mereka.
3. Bermain Dengan Anak
Bermain dengan mereka. Mereka ibarat anak-anak singa yang memerlukan pergerakan fizikal untuk menguatkan otot-otot tubuh mereka. Kita perlu pantau, dan bukan hanya berada di sisi. Memerhatikan keselamatan dan melihat perkembangan mereka. Mereka juga perlukan permainan minda. Soal jawab dengan mereka dan kita akan kagum dengan jawaban mereka. Kita bukan mahu jawaban yang betul, tetapi jawaban yang logik pada tahap pemikiran mereka.
Cuba bertanya "Kenapa kenapa kentut kita busuk?" Tentu kita dapat jawaban yang mencuit hati kita.
4. Menyanyi Bersama-sama
Bernyanyi bersama mereka. Dalam perjalanan yang jauh bersama keluarga kita boleh nyanyi bersama-sama, sama ada lagu kanak-kanak, lagu nasyid atau lagu patriotik. Mereka pasti mengenangkan pengalaman ini apabila mereka dewasa.
"Lagu ini lagu kesukaan bapa saya. Kami pernah nyanyi bersama-sama dalam kereta. Itu saat manis yang saya ingat. Selepas itu ayah saya sentiasa sibuk dan tiada lagi masa untuk saya"
5. Ajar Anak Ilmu Baru
Bawa anak berjalan dan ajarkan ilmu baru. Ajak ke tepi rumah dan tunjukkan tumbuhan/haiwan kecil yang tidak pernah dia lihat. Berjalan di waktu malam, dan bertanyakan "mengapa bulan itu bulat?" Temani anak menonton TV. Bila anak menonton TV, luang masa bersama mereka walaupun hanya cerita kartun. Luangkan sedikit masa 10-15 min untuk melayan emosi mereka kita menonton.
6. Tutur Perkataan Yang Baik-baik
Ucapkan perkataan yang baik-baik saja di hadapan mereka. Tegur mereka jika mereka menggunakan perkataan yang buruk. Selalu sebutkan perkataan "terima kasih, saya sayang awak" apabila dia melakukan perkara yang baik walaupun kecil. Ajar mereka dengan minta mengulangi perkataan baik depan kita.
7. Selalu Peluk & Cium Anak
Selalu memeluk dan mencium anak. Peluk dan cium mereka paling kurang sehari sekali. Apabila kita baru balik rumah dan mereka telah tidur, peluk dan cium mereka juga. Jadikan rutin hidup. Mulakan dari kecil. Anak yang sentiasa dipeluk dan dicium selalunya akan mengikut kata kita.
8. Beri Perhatian Pada Anak
Dengar rintihan mereka dan beri perhatian. Apabila mereka takut, kita dengar dan bantu. Tidak semua kanak-kanak akan memberikan respon yang serupa. Ada kanak-kanak yang menjadi kuat bila dibiarkan, ada kanak-kanak yang semakin lemah.
9. Perhatikan Bakat & Kebolehan Anak
Perhatikan kebolehan anak dan apa bakat dan kekuatan dia. Ada anak yang cemerlang dalam akademik, ada yang cemerlang dalam kemahiran pertukangan, ada yang cemerlang dalam komunikasi, ada yang cemerlang dalam sukan. Jangan memaksa anak untuk memenuhi cita-cita kita. Tetapi bantu anak memenuhi cita-cita mereka.
10. Ajar Lebih Dari Satu Bahasa
Perkenalkan lebih dari satu bahasa. Bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, french, Spain etc. Mereka mudah mengingat perkataan-perkataan itu. Otak mereka seperti sponge.
Yang terakhir selalu doakan anak untuk menjadi manusia yang terbaik. Baca doa depan mereka supaya mereka dapat dengar.
Kecerdasan anak-anak tidak hanya bergantung kepada faktor genetik, tetapi cara kita mendidik mereka. Semoga bermanfaat.
-Dr Zubaidi Hj Ahmad
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad