Pada sekitar bulan Mac sekitar tahun 2004, seorang wanita berusia 31 tahun bernama Luzaida Cuevas telah pergi menghadiri sebuah parti majlis hari jadi anak rakannya. Semasa berada pada majlis parti itu, ada seorang tetamu kanak-kanak yakni seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan usia 6 tahun benar-benar menarik perhatian Luzaida.
Matanya langsung tidak lekang daripada memerhatikan gerak-geri kanak-kanak perempuan tersebut. Manakan tidak, wajah kanak-kanak perempuan yang diperhatikan Luzaida itu hampir mirip dengan wajahnya. Sudah menjadi lumrah naluri seorang ibu tidak pernah salah, Luzaida begitu yakin bahawa kanak-kanak perempuan tersebut adalah Delimar Vera iaitu anak perempuan kandungnya yang telah hilang pada enam tahun sebelumnnya.
[ BACA: Rawatan ‘Best’, Snek Pantang Sedap! Suraya Mother Care & Beauty Tawarkan Servis Terbaik ]
Kisah sebenarnya bermula pada 15 Disember 1997 apabila rumah dua tingkat milik Luzaida yang terletak di Philadelpia telah dilanda kebakaran. Luzaida dan dua orang lagi anaknya bagaimanapun terselamat dalam kebakaran itu. Cuma apa yang sangat menyedihkan Luzaida, dia tidak sempat untuk menyelamatkan Delimar Vera yang baru berusia 10 hari pada waktu tersebut.
Selepas api kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba, jasad Delimar Vera gagal untuk ditemui. Rentetan daripada perkara tersebut, pihak berkuasa membuat kesimpulan jasad Delimar Vera berkemungkinan besar telah pun hancur sepenuhnya akibat disambar api yang terlampau panas. Luzaida tidak mempercayai perkara itu kerana dia yakin anaknya telah hilang dari rumah sebelum kejadian kebakaran berlaku. Kebakaran tersebut pula dipercayai berpunca daripada masalah elektrikal.
Berbalik dengan cerita pada majlis parti hari jadi, kanak-kanak perempuan yang Luzaida percaya sebagai Delimar Vera itu didapati bernama Aaliyah. Yakin dengan nalurinya, Luzaida pun mendekati Aaliyah lalu memberitahu kanak-kanak perempuan tersebut bahawa terdapat gula-gula getah melekat pada rambutnya.
Kesempatan itu pun terus diambil Luzaida dengan mencabut beberapa helaian rambut Aaliyah di mana helaian rambut tersebut kemudian dihantar kepada pihak makmal yang berkenaan bagi tujuan pemeriksaan DNA. Hasil keputusan ujian makmal, Aaliyah telah disahkan sebagai Delimar Vera. Susuhan pengesahan identiti Delimar Vera itu, dia terus diletakkan di bawah jagaan pihak polis buat sementara waktu.
Pada masa sama, pihak polis tidak melengahkan masa mereka untuk melakukan serbuan ke rumah penculik Delimar Vera selama enam tahun tersebut yang dikenal pasti sebagai Carolyn Correa, 41 tahun. Namun sewaktu serbuan itu dibuat, Carolyn telah melarikan dari rumah dengan meninggalkan tiga orang anaknya akan tetapi dia menyerah diri kepada pihak polis pada keesokan harinya.
Mengenai Carolyn, dia sebenarnya adalah saudara jauh kepada bekas teman lelaki Luzaida. Sehari sebelum insiden kebakaran berlaku, rumah Luzaida telah dilawat oleh Carolyn. Pada hari kejadian, Carolyn kembali semula ke rumah Luzaida dengan alasan beg duitnya tertinggal.
Carolyn pun mengambil kesempatan ini untuk memulakan api kebakaran di rumah Luzaida. Sesudah berbuat sedemikian, dia pun membawa lari Delimar Vera tanpa Luzaida sedari. Carolyn menculik Delimar Vera kerana dia melakukan pembohongan terhadap teman lelakinya tentang dirinya yang sudah pun hamil hasil perhubungan mereka.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Carolyn yang menerima pertuduhan melakukan jenayah penculikan dan kebakaran telah dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun.
Delimar Vera akhirnya disatukan semula dengan Luzaida dan mereka sekeluarga kini hidup dengan bahagia.
Kredit: kidspot.com, jack lester
Jom, kongsikan foto comel si manja anda bertemakan Jungle Cuties di SINI! Ada hadiah menarik menanti.(https://www.majalahpama.my/pencarian-bayi-pilihan-pama/)
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI