Baru usia dua tahun langsung tak kekok untuk memasak dan melakukan kerja-kerja rumah. Macam tak percaya tapi ini adalah realiti buat si cilik, Syazwi Nufail bin Syazwan yang sekarang ini berusia 2 tahun 6 bulan.
Menurut ibunya, Nurul Nazireen Khazali, minat dan bakat Syazwi ini mula nampak sebelum usianya dua tahun dan tak sangka dia sangat minat dan gembira bila dapat memasak dan membuat kerja rumah bersama.
“Ini kerana, dari awal lagi saya tak membiasakan Syazwi melihat gajet atau televisyen untuk menghabiskan masa terluangnya. Prinsip kami mendidik Syazwi, selagi ayah belum balik kerja, tiada hiburan.
“Jadi waktu dia dengan saya adalah lakukan aktiviti bersama. Sama ada buat aktiviti kerja rumah, memasak, bermain dan belajar. Usia ini saya lebih tekankan untuk lakukan kemahiran kendiri demi masa depannya sambil melayan apa sahaja pertanyaan,” katanya.
Kongsi Nurul Nazireen lagi, ramai juga yang bertanya saya adakah tak risau ajak anak masuk sekali di dapur ketika memasak? Bagi saya, jika kita niatkan yang baik untuk anak dan sentiasa peka serta rancang apa nak buat, insyaAllah dipermudahkan.
“Lagipun anak-anak ni mereka mudah faham jika kita cakap elok-elok. Yang menjadi masalahnya adalah kita sendiri halang anak masuk ke dapur dengan cara yang mungkin menyebabkan dia tertanya-tanya kenapa tak boleh.
“Itu sebabnya, bila jadi macam ni anak akan curi-curi masuk dan mencuba sesuatu yang mungkin boleh membahayakan dirinya,” ujarnya.
Tambah Nurul Nazireen, sebelum dua tahun Syazwi dah pandai baking bersama saya. Selain itu, setiap kali masak dia datang nak tengok dan tolong masukkan semua bahan.
“Ramai juga yang mungkin anggap saya ambil risiko, tapi semua itu saya buat tanpa lalai. Lagi satu ketika usianya lingkungan dua tahun memang kena dukung untuk bantunya masukkan bahan-bahan dalam periuk.
“Jadi untuk mudah dan juga keselamatannya terjamin, kami belikan kerusi learning tower untuk dia. Alhamdulillah sejak dari itu, dia makin cepat belajar dan dengan sendirinya dia tahu aspek keselamatan di dapur,” katanya.
Berikut saya kongsikan aktiviti memasak saya bersama Syazwi @ Chef Wi. Saya kongsikan beberapa tips berdasarkan pengalaman saya sendiri. Mungkin tidak sama untuk anak-anak anda. Cuma boleh nak cuba, asalkan sentiasa dalam pemantauan kita.
1. Pastikan anak-anak faham apa itu bahaya. Bila berada di dapur, kita terdedah dengan pelbagai jenis bahaya seperti minyak panas, terpecik dan sebagainya. Sentiasa awasi anak anda.
2. Sediakan kerusi atau peralatan yang sesuai. Untuk kerusi memasak Syazwi, saya beli dengan ig: dinamitoys
3. Untuk peralatan tajam seperti pisau, ibubapa lebih tahu keupayaan anak-anak. Mulakan dengan pisau plastic terlebih dahulu. Jika anak sudah pandai mengawal baru bertukar ke pisau yang lebih ‘advance’. Syazwi menggunakan pisau dari Ikea.
4. Jangan paksa anak jika mereka tidak minat. Syazwi sejak kecil memang minat untuk membantu. Dia terasa sangat dihargai bila saya masak dan panggil dia untuk turut serta.
Antara kebaikan apabila anak-anak turut serta dalam aktiviti memasak, mereka belajar benda baharu. Selain itu dapat kenal nama bahan-bahan dan sayur-sayuran yang digunakan.
Aktiviti memasak ini juga adalah kemahiran yang dapat membantu anak-anak di masa hadapan mereka (survival skills). Aktivti memasak tidak hanya terhad kepada anak perempuan.
Lumrah anak-anak ialah meneroka dan mencuba benda baharu. Kita sebagai ibu bapa perlu yakin dan percaya pada anak namun pada masa yang sama juga perlu meletakkan had pada mereka.
Nak tengok lebih banyak aktiviti Syazwi di rumah, boleh ke Ig: @syazwi.nufail
Kredit: Nurul Nazireen Khazali
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)