Keibubapaan

Hidap Cerebral Palsy, Kanak-kanak Perempuan, ‘Impi’ Nak Berjalan, “Mama, Bila Kakak Boleh Berjalan?”

Share

Hidap Cerebral Palsy, kanak-kanak perempuan, ‘impi’ nak berjalan, “Mama, bila Kakak boleh berjalan?” Tiada yang memilukan hati apabila Nor Nazlia Yusoff ditanya sebegitu oleh anak perempuannya, Puteri Irfa Mikayla Saiful Nizam, 5, yang menghidap Cerebral Palsy (CP) Diplegic.

Hidap Cerebral Palsy,Kanak-kanak Perempuan, ‘Impi’ Nak Berjalan

Pertanyaan itu pastinya membuatkan ibu berusia 35 tahun itu tersentak mendengarnya. Namun Nor Nazlia dari Bukit Rangin, Kuantan berkata, dia tidak dapat menunjukkan kesedihan di depan Puteri Irfa Mikayla sebaliknya perlu memberi semangat kepada anak sulungnya itu supaya tidak berasa kekurangan.

“Mama, Bila Kakak Boleh Berjalan?”

“Kalau tak nak dia berasa ‘down’, saya akan beritahu dia kakak (nama panggilan buat anak) insan terpilih dan istimewa, sebab itu tak sama macam orang lain.

Alhamdulillah, anak faham dan bila pergi sekolah (tadika) dan ada kawan tanya, dia akan beritahu kakinya sakit dan dia istimewa cuma sejak akhir-akhir ini kerap juga dia bertanya.

“Sebagai ibu, saya tak boleh ‘down’ depan dia tapi kena pastikan anak kuat semangat dan setakat ini, penerimaan guru dan murid terhadap anak baik malah tiada rakan mengejeknya,” katanya.

Bercerita lanjut, Nor Nazlia berkata, Puteri Irfa Mikayla dilahirkan pramatang iaitu ketika kandungan berusia 28 minggu hingga ditahan selama dua bulan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) selepas kelahirannya.

Nor Nazlia bersama suami, Saiful Nizam dan Puteri Irfa Mikayla serta anak bongsu, Putera Irfan Mikhael. Foto: ihsan Nor Nazlia Yusoff.

Menurutnya, pada awalnya, doktor tidak dapat mengesan kelainan pada Puteri Irfa Mikayla namun dia dan suami, Saiful Nizam Zakaria, 38, menyedari ada tidak kena ketika anak mereka berumur enam bulan.

Katanya, ketika itu, dan suami nampak perkembangan Puteri Irfa Mikalya tidak seperti bayi seusianya kerana masih belum dapat merangkak sebaliknya berguling dan sengetkan badan untuk bergerak.

“Tapi ketika kakak berumur setahun, baru kami dapat pengesahan doktor yang dia menghidap CP Diplegic akibat kecederaan pada otak dan kelahiran pramatang.

“Keputusan itu pun diperoleh hasil ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan memang sedih bila dapat tahu kerana lapan tahun saya dengan suami tunggu kehadiran anak pertama.

“Bagaimanapun, kesedihan itu tak lama kerana akhirnya dapat terima dan keluarga banyak beri semangat untuk kuat membesarkan kakak walaupun tiada pengalaman menjaga anak istimewa,” katanya.

Nor Nazlia berkata, penyakit dihidapi menyebabkan Puteri Irfa Mikayla tidak dapat berjalan seperti biasa dan bergerak menggunakan alat bantu berjalan atau ‘walker’ dan tongkat.

Katanya, Puteri Irfa Mikayla dilatih menggunakan ‘walker’ sejak berumur setahun lagi dan kini membiasakan diri berjalan dengan tongkat.

“Dia memang tak kuat berjalan sendiri jadi kena berpaut pada ‘walker’ dan tongkat atau berlutut.

“Tapi di sekolah, kakak terang hati kerana cikgu beritahu bacaannya dalam Iqra’ lancar berbanding murid lain, dia pun sudah boleh membaca buku murid enam tahun.

“Selain bacaan al-Fatihah, doa makan dan naik kenderaan, kakak juga sudah menghafaz tiga Qul, doa solat Duha, Qunut Nazilah dan surah al-Mulk yang akan dipasang sebelum tidur,” katanya.

Sebagai ibu, Nor Nazlia hanya mengharap yang terbaik buat Puteri Irfa Mikayla malah akan terus berdoa semoga ada keajaiban buat anaknya itu berjalan seperti insan normal satu hari nanti.

Dia juga berharap impian Puteri Irfa Mikayla menjadi doktor tercapai apabila dewasa nanti.

“Penyakitnya tiada penawar namun saya dan suami cuba ikhtiar selagi termampu. Salah satu rutin dilakukan kini adalah berdiri satu jam sehari di atas alat khas (standing frame) untuk membantunya berdiri.

“Nampak ada perkembangan positif walaupun proses itu mengambil masa namun terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mendoakan kakak terutama pengikut TikTok kerana ada juga dari Indonesia.

“Bagi saya, kakak anugerah terindah dalam hidup saya dan suami sesuai dengan makna namanya iaitu anugerah Allah SWT yang membahagiakan serta sangat senang dijaga sejak kecil hingga kini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Baca artikel lain juga: Anak Hidap Cerebral Palsy, Bapa Raikan Hari Jadi Anak Syurga Dengan Aktiviti Lasak

Pengasuh Suka Lambung & Biarkan Menangis Lama& Kini Azfar Disahkan Cerebral Palsy

 

 

 

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!

Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my

 

 

 

 

 

Published by
Has