Hidung berbau busuk dan kerap berdarah kena hati-hati kerana ia mungkin mengundang bahaya kepada hidung anda. Jika dibiarkan pesakita akan mengalami masalah hidung berterusan. Masalah ini sebenarnya dikenali sebagai ‘rhinolith’.
Dr Ezairy M.Sallih, Pakar Bedah Telinga, Hidung & Tekak, Surgeri Kepala & Leher, memaklumkan seorang pesakit berusia 23 tahun datang dengan aduan hidung kiri yang kerap berdarah dan berbau busuk.
Walaupun tidak menunjukkan tanda-tanda biasa resdung atau kanser, pemeriksaan lanjut mendapati sesuatu yang tidak disangka. Mari kita selami lebih dalam kisah ini dan fahami tentang penyakit yang mungkin ramai tahu iaitu rhinolith.
HIDUNG KERAP BERDARAH DAN BERBAU BUSUK
Menurut Dr Ezairy, pesakit berusia 23 tahun mengalami masalah hidung kiri yang kerap berdarah dan berbau busuk, meskipun telah mencuba pelbagai jenis ubat.
Walaupun tiada tanda-tanda resdung seperti bersin atau gatal hidung, dan leher tidak menunjukkan sebarang pembengkakan yang mungkin mencadangkan kanser, pesakit tersebut masih mengalami masalah hidung yang berterusan.
Pemeriksaan doktor menggunakan nasal endoscope mendapati hidung kiri pesakit hampir tertutup dengan kotoran hitam berbau. Setelah pembersihan dilakukan, doktor menemui sesuatu yang mengejutkan – pesakit tersebut disahkan menghidap penyakit rhinolith.
“Saya periksa hidung beliau. Saya gunakan nasal endoscope bersama skrin tv, hidung kirinya sudah hampir tertutup. Ada kotoran hitam berbau di situ. Perlahan-lahan saya bersihkan hidung beliau, sehingga saya menjumpai sesuatu yang tidak saya sangka.”
“Kawan-kawan.. jika anda ada tanda dan gejala seperti ini, anda mungkin bukan mengalami resdung, ia juga mungkin bukan disebabkan kanser. Tetapi ia mungkin sejenis penyakit dipanggil sebagai ‘rhinolith’.”
“Apa itu rhinolith? Rhinolith ini berlaku di dalam hidung apabila sesuatu objek atau apa-apa pun foreign body duduk lama dalam hidung akhirnya akan membentuk sebatian seperti batu rhinolith. Pesakit akan mengalami gejala hidung berbau, mengeluarkan cecair, sesetengah kes boleh mengakibatkan jangkitan!”
Doktor mengingatkan orang ramai yang mempunyai gejala serupa untuk tidak mengabaikan tanda-tanda tersebut kerana ia mungkin bukan resdung atau kanser, tetapi rhinolith.
Sumber: Dr Ezairy M.Sallih