Hidung Kerap Berdarah Mungkin Tanda Anak Ada Resdung. Ini Mak Ayah Boleh Buat Kalau Tiba-tiba Hidung Anak Berdarah Lagi!

Share

Bagi golongan dewasa, gejala seperti selesema, hidung tersumbat dan berair, sakit kepala, rasa sakit di kawasan dahi dan muka (terutama ketika dalam keadaan menunduk) merujuk kepada gangguan sinus atau resdung yang serius.

Begitupun, semua simptom dan rasa sakit ini mudah disampaikan kepada doktor yang merawat. Berbeza dengan kanak-kanak, gejala sinus hanya boleh dikenal pasti dan disahkan dengan melakukan pemeriksaan terperinci termasuk imbasan sinar-X dan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Dalam satu perkongsian oleh Dr Ezairy M Sallih, Doktor Telinga, Hidung & Tekak (ENT), jika tanda-tanda seperti kerap bersin, hidung tersumbat dan kadang kala berlaku pendarahan pada hidung, ibu ayah boleh lakukan perkara-perkara seperti yang disarankan. Ia mudah, selamat dan amat penting sebelum membawa si kecil anda ke klinik atau fasiliti kesihatan yang berdekatan.

foto: pexels.com

Anak Baru Lima Tahun, Nampak Sihat Tapi Hidung Selalu Berdarah

Anak ini baru berusia lima tahun. Aktif. Berlari-lari. Nampak sihat luarannya. Namun, ada satu masalah yang tidak pernah hilang pada beliau.

Setiap kali ia berlaku, mana-mana ibu pasti akan berasa panik, bimbang, risau dan takut. Hampir setiap bulan, hidung anak kecil ini akan mengeluarkan darah. Tiba-tiba. Tak ada hujung pangkalnya. Tidak semena-mena.

Apabila saya tanya lebih dekat dengan si ibu, bagaimana sejarah keluarga, apakah ada masalah lain yang berlaku, bagaimana pula dengan telinga, hidung, mata dan keseluruhan tahap kesihatan anak itu, barulah saya mendapat jawapan.

Anak Sering Bersin, mata berair, kadang pendengaran juga terganggu

Setiap pagi anak ini akan mengalami gejala bersin yang sukar untuk diberhenti. Hidungnya akan sering tersumbat, mata kerap berair, jika keadaan lebih teruk, pendengaran juga akan terganggu.

Setiap bulan juga akan berlaku pendarahan daripada hidung. Kadang-kadang malam, ada itu waktu siang. Boleh juga berlaku secara tiba-tiba ketika sedang tidur. Pendek cerita, masalah resdung yang tidak terkawal memang boleh menyebabkan pendarahan hidung berlaku!

Jika ini berlaku kepada anda, apa kalian akan lakukan di rumah?

“Saya akan bawa anak saya ke sinki atau bilik air, basuh hidungnya bersih-bersih. Kemudian, suruh dia dongakkan kepala supaya darah itu tidak lagi keluar.” Jawab ibu muda ini.

foto: pexels.com

Ikut Langkah Ini Jika Si Kecil Anda Diserang Resdung Yang Serius

Ibu-ibu, ayah-ayah atau cikgu-cikgu di luar sana, apabila kejadian ini berlaku di depan mata anda, sama ada di rumah, di sekolah atau di mana-mana sahaja, lakukanlah langkah-langkah bijak ini. Mudah, selamat dan amat penting sebelum pesakit dibawa ke fasiliti kesihatan terdekat.

  1. Bertenang. Ini amat penting supaya anda mampu melakukan dan bertindak mengikut langkah seterusnya. Kalau anda gelabah, apa-apa perkara pun tidak akan jadi.
  2. Tekan atau ‘pinch’ bahagian luar hidung pesakit. Lakukan selama sepuluh minit tanpa henti. Minta pesakit bernafas melalui mulut. Langkah ini akan menghalang darah daripada terus keluar daripada depan hidung.
  3. Tundukkan kepala pesakit. Ini penting bagi mengelakkan darah daripada mengalir ke belakang, masuk ke saluran pernafasan dan seterusnya disedut ke paru-paru. Jangan dongakkan kepala. Ini amat berbahaya!
  4. Letak ais pada bahagian dahi pesakit. Ini juga bertujuan bagi mengawal pendarahan daripada terus berlaku.
  5. Ulang langkah-langkah ini jika pendarahan semakin berkurang.
  6. Jika tiada tanda-tanda pendarahan akan berhenti, segera bawa pesakit ke hospital. Langkah kecemasan perlu dilakukan oleh doktor.

Semoga tip ini berguna untuk kita semua. Jom kita saling berpesan. Sebarkan ilmu ini supaya lebih ramai mendapat manfaat.

Dr Ezairy M.Sallih
Doktor telinga, hidung & tekak (ENT)

Sumber: Dr Ezairy M. Sallih

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
SAHR