Ketidakselesaan yang disebabkan oleh masalah hidung bayi tersumbat adakalanya membuatkan anak tidak mahu menyusu dan sukar tidur. Ada ke kaedah rawatan untuk mengatasi masalah ini?
Masalah hidung bayi tersumbat
Situasi hidung tersumbat atau nasal congestion adalah perkara biasa untuk berlaku kepada bayi. Keadaan ini umumnya tidak mendatangkan risiko bahaya, cuma ia akan menyebabkan bayi berasa tidak selesa.
Keadaan hidung bayi tersumbat ini berlaku apabila saluran darah dan tisu di rongga hidung berisi terlalu banyak cecair. Ia boleh menyukarkan bayi untuk tidur dan menimbulkan masalah seperti jangkitan sinus (sinusitis).
Bayi yang berdepan masalah ini mungkin akan mengalami kesukaran untuk menyusu.
Simptom dan punca hidung bayi tersumbat
Bayi yang mengalami hidung tersumbat mungkin akan mengalami gejala seperti:
Lendir/hingus hidung tebal
Hingus berubah warna
Berdengkur atau pernafasan berbunyi semasa tidur
Sniffling – bernafas dengan cepat dan berulang kali
Batuk
Kesukaran untuk menyusu kerana hidung tersumbat menyukarkan pernafasan semasa menghisap
Faktor yang mungkin menjadi punca kepada masalah hidung bayi tersumbat termasuklah:
Alahan
Virus, termasuk selesema
Udara kering
Kualiti udara yang buruk
Deviated septum– ketidaksejajaran dinding nipis (septum hidung) yang memisahkan kedua-dua lubang hidung, menjadikan satu saluran hidung lebih kecil
Kaedah rawatan untuk hidung bayi tersumbat
Oleh sebab anda tidak boleh memberi bayi dan kanak-kanak sebarang ubat selesema, pastinya kaedah rawatan di rumah yang mudah boleh membantu memberikan kelegaan kepada mereka daripada keadaan hidung tersumbat dan berair ini.
Ubat titis hidung dan alat penyedut
Salah satu kaedah rawatan yang selamat dan berkesan untuk membantu mengatasi masalah hidung tersumbat yang dialami anak adalah dengan menggunakan semburan air garam atau ubat titisan hidung.
Produk ini boleh dibeli di farmasi atau kedai ubat tanpa memerlukan preskripsi.
Jika anda menggunakan ubat titisan hidung, letakkan dua titisan ubat pada setiap lubang hidung untuk melonggarkan hingus di dalamnya. Kemudian gunakan alat sedutan dengan segera untuk menyedut air garam dan hingus.
Anda juga boleh meletakkan tuala gulung di bawah bahagian bahu bayi untuk memudahkan anda memegang kepala mereka. Ini bagi memastikan titisan air dapat masuk ke hidung.
Picit alat penyedut sebelum anda meletakkannya pada hidung bayi. Dengan cara ini, apabila anda melepaskannya, ia akan menyedut keluar hingus atau lendir daripada dalam hidung.
IKLAN
Tetapi jika anda menekan alat penyedut ketika sudah berada dalam lubang hidung, ia akan mengeluarkan angin yang hanya akan mendorong hingus dan lendir untuk masuk lebih jauh ke dalam rongga hidung.
Picit keluar lendir yang berada di dalam alat penyedut ke atas tisu.
Lakukan kaedah rawatan ini dalam tempoh 15 minit sebelum menyusukan si manja dan sebelum waktu tidur. Ini akan membantu mereka untuk bernafas dengan lebih mudah ketika penyusuan badan atau menyusu botol, mahupun semasa tidur.
Ketika memilih larutan air garam, perhatikan dengan betul. Ini kerana terdapat beberapa larutan air garam yang mungkin mengandungi ubat. Anda disarankan untuk tidak memilih larutan air garam dengan ubat.
Titisan air garam biasa sudah berfungsi dengan baik untuk si manja. Cuma pastikan anda mencuci dan mengeringkan alat penyedut setiap kali selepas penggunaannya.
Alat pelembap udara
Kaedah rawatan lain dalam mengatasi hidung bayi tersumbat adalah dengan menambahkan kelembapan ke udara. Ia dapat mengelakkan lendir mengering di dalam hidung bayi anda.
IKLAN
Cara mudah menambahkan kelembapan adalah dengan menggunakan alat pelembap udara (humidifier).
Penggunaan alat pelembap yang akan melepaskan wap sejuk ke dalam bilik biasanya adalah selamat, selagi anda menjauhkannya daripada capaian si manja.
Tetapi ketika anda berada bersama bayi, seperti saat bermain atau semasa menidurkan mereka, letakkan alat tersebut dalam jarak yang cukup dekat agar wap tersebut sampai kepada si manja.
Untuk mengelakkan pertumbuhan kulat atau bakteria, tukar air di dalam alat pelembap udara ini setiap hari. Cuci dan keringkan penyejatnya mengikut arahan pengeluar.
Penggunaan ubat dan vapor rub
Kebanyakan ubat selesema adalah tidak selamat untuk digunakan kepada bayi dan kanak-kanak di bawah usia 4 tahun.
Manakala vapor rub pula selalunya akan mengandungi menthol,eucalyptus atau kapur barus yang berisiko mendatangkan bahaya kepada anak di bawah usia 2 tahun.
IKLAN
Malah, American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan untuk ibu bapa berbincang dengan pakar pediatrik sebelum memberikan sebarang ubat selesema kepada kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun.
Ini kerana masih tiada bukti penggunaan ubat tersebut akan dapat mengurangkan simptom selesema pada anak, bahkan, ia berpotensi mendatangkan bahaya.
Langkah pencegahan
Malangnya, masalah hidung bayi tersumbat atau berair adalah sebahagian daripada proses tumbesaran mereka dan tiada apa yang boleh anda lakukan untuk mencegahnya.
Namun, anda boleh meminimumkan risiko dengan kerap mencuci tangan anda dan si manja. Serta pastikan individu lain yang ingin bersentuhan dengan bayi anda turut melakukan perkara sama.
Tindakan ini sekurang-kurangnya boleh memastikan si kecil terhindar daripada jangkitan.
Pemeriksaan doktor
Hidung tersumbat adalah masalah biasa untuk berlaku kepada bayi dan kanak-kanak. Adakalanya ia disebabkan persekitaran dan faktor genetik. Kaedah rawatan di rumah adalah cukup untuk mengatasi keadaan ini.
Pun begitu, jika keadaan anak tampak semakin teruk sehingga mereka tidak mahu menyusu atau wujud sebarang perkara yang membimbangkan, segera bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kesihatan dan tumbesaran bayi anda adalah sangat penting, terutama dalam tempoh-tempoh akhir kehamilan. Setiap detik adalah sangat berharga. Sebelum anda mula mengambil cuti bersalin untuk berpantang, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebagai persiapan untuk menghadapi proses bersalin.
Secara umumnya, tempoh mengandung yang normal dan mencukupi, akan berlangsung antara 280 hari atau 40 minggu. Bagi bayi pramatang, tempoh kelahiran akan berlaku sebelum cukup 37-minggu dalam tempoh kehamilan anda. Untuk bayi yang sangat pramatang akan dilahirkan antara minggu ke-23 hingga minggu ke-28 kehamilan. Bayi pramatang sederhana pula akan lahir antara minggu ke- 29 hingga minggu ke-33.
Antara minggu ke-34 hingga minggu ke-37, bayi yang lahir dapat tempoh ini dikenali sebagai bagi pramatang lewat. Kebiasaannya, bayi yang lahir sebelum minggu ke-39 kehamilan berdepan dengan risiko yang besar untuk mengalami masalah pernafasan, gula dalam darah, dan masalah lain yang mungkin cenderung menyebabkan bayi anda dimasukkan ke unit perawatan intensif neonatal (neonatal intensive care unit, NICU).
Persediaan yang perlu dilakukan sebelum cuti bersalin
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – kelahiran
Menunggu selama 9 bulan bagi tempoh kehamilan untuk tiba ke masa anda melahirkan bayi anda ke dunia pastinya merupakan detik yang sangat dinantikan, malahan ia pastinya merupakan masa yang dinantikan oleh seluruh keluarga anda. Namun, sebelum itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh bakal ibu untuk memastikan proses kelahiran bayi anda berjalan lancar. Berikut adalah langkah persediaan yang boleh dilakukan sebelum anda bersalin.
Menghadiri kelas persediaan bersalin
Selain mendapatkan maklumat dan pengalaman daripada mereka yang pernah menjadi ibu, anda juga boleh mendapatkan informasi lanjut dengan menghadiri kelas persediaan untuk bersalin. Tujuan kelas ini dijalankan adalah untuk mengetahui lebih lanjut dan spesifik mengenai kelahiran bayi yang akan memudahkan anda membuat keputusan dan mengurangkan perasaan takut serta gementar. Berikut merupakan perkara asas yang akan diajar kepada anda melalui kelas persediaan untuk bersalin:
Petanda kelahiran
Simptom normal kelahiran
Teknik untuk mengawal kesakitan
Bagaimana pasangan anda boleh membantu
Bila waktu anda perlu memanggil doktor atau jururawat
Mencukur bulu ari-ari
Ketika sedang hamil, anda mungkin runsing sama ada perlu mencukur bulu ari-ari anda atau tidak terutamanya jika ini merupakan kehamilan kali pertama. Hakikatnya, kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan memudahkan anda dan doktor untuk melakukan prosedur kelahiran. Ia juga dapat mengurangkan risiko infeksi yang boleh dihidapi sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebetulnya sebelum kelahiran bayi. Oleh itu, pakar perubatan menyarankan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum melahirkan anak untuk tujuan keselamatan dan kebersihan anda dan kandungan.
Mengetahui peringkat proses kelahiran
Setiap wanita mempunyai peringkat proses kelahiran yang berbeza. Tiada siapa yang dapat meneka atau mengenalpasti tempoh peringkat proses kelahiran mereka sendiri. Secara dasarnya, anda akan mengalami tiga peringkat semasa proses kelahiran anda:
Peringkat pertama: peringkat ini bermula apabila otot rahim mula mengecut, mengembang dan kemudian relaks yang akan membantu pembukaan serviks. Fasa ini boleh berlaku beberapa jam sehingga beberapa hari. Anda akan mengalami kontraksi aktif yang kerap dan bertahan selama beberapa minit.
Peringkat kedua: peringkat ini bermula apabila serviks anda mula meluas dan menolak bayi keluar.
Peringkat ketiga: peringkat ini adalah fasa bayi anda sudah dilahirkan. Kontraksi akan terus berlaku sehingga plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Bagi membantu mengawal kesakitan semasa bersalin, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
Urutan perineum: urutan perineum ini adalah teknik yang secara perlahan-lahan dapat meregangkan kulit dan tisu sekitar vagina dan anus anda semasa minggu terakhir kehamilan. Kebiasaannya, anda boleh lakukan urutan ini pada minggu ke-34 kehamilan. Menurut kajian, urutan perineum ini menunjukkan keberkesanan dengan mengurangkan kekoyakan perineum semasa bersalin.
Senaman pelvik atau senaman Kegel: otot pelvik anda perlu untuk meregang dalam usaha menolak bayi anda keluar melalui pelvis. Oleh itu, wanita hamil perlu melakukan senaman pelvik dengan kerap bagi memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Bagaimana mengatasi kerisauan sebelum cuti bersalin?
Bagi ibu yang pertama kali akan melalui pengalaman proses kelahiran bayi, pastinya terdapat beberapa perkara yang menjadi kerisauan dan kebimbangan di hati dan fikiran. Gementar? Takut? Ia adalah rasa yang normal untuk dilalui. Berikut adalah beberapa perkara yang sering menjadi kebimbangan sebelum menempuhi proses bersalin.
Risau terlambat untuk melahirkan
Kebanyakan ibu hamil risau kandungannya akan lahir di tempat selain katil hospital akibat terlambat. Sebenarnya, proses melahirkan anak tidak berlaku dengan secepatnya.
Sekiranya anda pernah melahirkan anak sebelum ini, proses kali kedua ini tidak serumit yang pertama. Berhubung dengan doktor untuk mengetahui tanda-tanda sebenar saat melahirkan semakin dekat agar anda dapat merancang masa dengan sebaik mungkin.
Selain itu, sediakan persiapan yang secukupnya agar anda bersedia untuk ke hospital pada bila-bila masa sahaja.
Risau terhadap kesakitan
Kerisauan ini sememangnya dialami oleh setiap ibu hamil. Jika kerisauan ini berterusan dan semakin teruk, berbincanglah dengan doktor anda tentang pengambilan ubat semasa melahirkan. Menurut pakar, pengambilan ubat semasa melahirkan tidak memudaratkan bayi dalam kandungan dan cuma membuatkan bayi anda berasa mengantuk. Untuk lebih selamat, anda boleh memastikan doktor anda meminimumkan dos ubat demi mengurangkan kesan sampingannya. Anda juga boleh menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil yang boleh mengajar anda teknik pernafasan efektif saat melahirkan. Anda juga perlu percaya terhadap staf profesional yang membantu anda saat melahirkan terutamanya jururawat anda demi menimbulkan perasaan yang lebih tenang dan selamat.
Risau terhadap kesan epidural
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – epidural
Suntikan epidural boleh membantu mengurangkan sakit ketika melahirkan tetapi ibu hamil juga sebenarnya risau terhadap kesan sampingannya. Ini akan menjadikan ibu hamil tidak mahu mengambil suntikan ini. Namun, keadaan ini tidak seharusnya menjadi kerisauan para ibu kerana kesan sampingan yang berlaku akibat suntikan epidural seperti pening kepala boleh dirawat dengan mudah. Selain itu, suntikan ini juga tidak akan mendatangkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih membimbangkan.
Risau terhadap kaedah C-section
Kaedah C-section atau Cesarean adalah proses melahirkan yang sudah menjadi kebiasaan masa kini. Namun begitu, kebanyakan ibu hamil masih risau terhadap prosedur, kesan dan risiko pembedahan ini. Anda boleh bertanya kepada doktor anda jika terdapat sebarang cara untuk mengelakkan pembedahan ini. Sekiranya tiada, anda perlu tenang dan mempercayai doktor anda. Dalam beberapa kes, pembedahan Cesarean adalah jalan yang terbaik sekiranya bayi dalam kandungan anda terlalu besar untuk saiz badan anda atau bayi anda berada dalam kedudukan posisi yang tidak normal semasa melahirkan. Selain itu, bukaan serviks yang tidak cukup juga memerlukan anda melakukan pembedahan ini.
Risau terkeluar najis ketika melahirkan
Meskipun tidak terlalu bahaya seperti kerisauan yang lain, kerisauan ini membuatkan ibu hamil menjadi malu. Kebanyakan Ibu hamil terlalu malu untuk membincangkan perkara ini dengan doktor atau individu lain. Hakikatnya, keadaan ini boleh terjadi dan tidak perlu dirisaukan. Ini kerana keadaan ini adalah sangat normal sekiranya anda bersalin secara normal. Anda juga perlu tahu bahawa pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat sudah biasa dengan keadaan ini yang mereka anggap sudah sebati dalam kehidupan mereka sebagai pakar perubatan.
Apakah perbezaan bersalin secara normal atau pembedahan caeserean?
Setiap individu wanita yang mengandung, mengimpikan proses bersalin atau kelahiran yang mudah dan singkat tanpa sebarang komplikasi – berdepan dengan beberapa kontraksi, proses meneran dan lahirlah seorang bayi yang comel – namun, malangnya, tidak semua proses kelahiran akan berjalan lancar seperti itu.
Sesetengah bayi mungkin terpaksa dan perlu dilahirkan melalui kaedah pembedahan caeser (C-section). Jika anda berharapkan untuk melalui proses kelahiran normal, berikut mungkin dapat membantu anda untuk memahami bagaimana dan mengapa kaedah pembedahan caesar dilakukan dan ia mungkin boleh dianggap sebagai persediaan jika proses bersalin dan kelahiran normal tidak dapat dilakukan seperti yang anda inginkan. Walau apapun proses kelahiran dan bersalin yang perlu anda lalui, adalah yang paling utama adalah keselamatan anda dan bayi, perlu diutamakan.
Apakah itu pembedahan caesarean?
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – caesarean
Pembedahan caesarean atau C-section adalah pembedahan yang dilakukan terhadap wanita hamil dan melibatkan pemotongan perut dan rahim untuk melahirkan bayi. Pembedahan ini dikategorikan kepada dua iaitu:
Pembedahan caesarean elektif
Pembedahan ini adalah dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum anda mengalami sakit bersalin.
Pembedahan caesarean kecemasan
Pembedahan ini tidak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap anda dan juga bayi ketika proses kelahiran.
Dalam kebanyakan kes, pembedahan caesarean ini berlaku tanpa dirancang. Sekiranya anda dimaklumkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan ini, jangan panik dan segera menyiapkan diri untuk melakukannya kerana pembedahan ini mempunyai tahap keberhasilan yang sangat tinggi. Namun begitu, pembedahan ini sebenarnya tidak boleh dilakukan banyak kali kerana akan meningkatkan risiko anda mempunyai masalah kehamilan kelak.
Apakah risiko melakukan pembedahan caesarean lebih daripada satu kali?
Sekiranya anda melakukan pembedahan ini lebih daripada satu kali untuk melahirkan anak, terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku pada anda. Antaranya:
Plasenta previa (uri di bawah)
Plasenta accreta (uri melekat)
Hysterectomy (pembedahan membuang rahim)
Risiko-risiko ini akan lebih tinggi bergantung kepada berapa banyak kali anda melakukan pembedahan caesarean. Selain itu juga, akan berlaku banyak masalah keibuan dan kehamilan selepas melakukan pembedahan caesarean seperti kecederaan usus, sista, pendarahan, ketidaksuburan, kebergantungan kepada mesin ventilator dan kemungkinan dimasukkan ke dalam unit kecemasan hospital (ICU) selepas pembedahan dilakukan.
Dalam pada itu lagi, pembedahan caesarean ini sukar untuk dilakukan sekiranya sudah terdapat parut lama akibat pembedahan yang sama. Pembedahan ini sememangnya akan meninggalkan parut. Semakin banyak pembedahan caesarean pernah dilakukan, semakin banyak parut yang ditinggalkan. Ini akan menyebabkan pembedahan seterusnya menjadi sukar dikendalikan.
Berapa kali pembedahan caesarean boleh dilakukan?
Menurut pakar, pembedahan caesarean yang pertama atau kedua kali tidak akan mendatangkan mudarat yang teruk kepada si ibu. Namun begitu, pembedahan caesarean kali ketiga, keempat dan seterusnya akan mengundang pelbagai risiko kesihatan berkenaan keibuan dan kehamilan. Ini menunjukkan bahawa pembedahan caesarean yang dilakukan banyak kali sememangnya akan mengundang bahaya kepada wanita yang melakukannya.
Sebenarnya, tiada jawapan jelas mengenai angka tepat berkenaan berapa kali boleh melakukan pembedahan caesarean. Namun begitu, sudah jelas bahawa pembedahan ini selamat untuk dilakukan buat kali pertama dan kedua. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk melahirkan anak melalui prosedur ini buat kali ketiga, keempat dan seterusnya, anda wajar berbincang terlebih dahulu dengan pakar perubatan.
Kelebihan dan kekurangan proses kelahiran normal buat ibu
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – bersalin normal
Kelahiran normal atau melalui faraj, turut boleh mendatangkan beberapa risiko kepada ibu. Antaranya, kulit dan tisu sekitar faraj boleh meregang dan terkoyak ketika janin bergerak untuk melalui saluran kelahiran, iaitu faraj anda. Jika regangan atau koyak adalah agak kronik, anda mungkin memerlukan jahitan atau jika tidak, ia boleh meyebabkan kelemahan atau kecederaan pada otot pelvik yang berfungsi mengawal air kencing dan fungsi ususnya.
Terdapat kajian yang mengatakan, individu wanita yang melahirkan bayi melalui faraj atau proses bersalin normal, cenderung untuk berdepan masalah usus atau inkontenensia kencing berbanding wanita yang melalui proses bersalin C-section. Ini kerana mereka akan cenderung untuk membuang air kencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Selain itu, selepas bersalin melalui faraj, mereka juga berkemungkinan akan mengalami kesakitan yang berlarutan pada bahagian perineum, iaitu kawasan antara vagina dan dubur.
Tempoh selepas Bersalin
Selepas melahirkan bayi, anda perlu lebih berhati-hati memandangkan tubuh anda berada pada keadaan paling rapuh semasa tempoh postpartum atau selepas bersalin, terutama jika anda menjalani kelahiran pembedahan C-section. Selain mengalami kesakitan fizikal, emosi anda juga akan melalui beberapa fasa berbeza yang mungkin akan berlangsung beberapa hari atau menghantui anda dalam tempoh yang lama.
Apa itu postpartum?
Semasa minggu pertama selepas anda melahirkan bayi, tubuh anda masih dalam proses penyembuhan dan menyesuaikan diri dengan fasa tidak hamil. Tempoh ini dipanggil postpartum (selepas bersalin), di mana tubuh anda akan melalui pelbagai perubahan sepanjang proses pemulihan badan anda. Antara tempoh 2 hingga 6 minggu selepas kelahiran, doktor anda akan membuat temujanji untuk memeriksa kadar penyembuhan dan kesihatan anda secara keseluruhan.
Apa yang berlaku kepada tubuh anda semasa tempoh selepas bersalin?
Semasa tempoh ini, tubuh anda selalunya akan rasa sakit dan lesu. Anda akan mengambil masa selama 4 hingga 6 minggu untuk kembali pulih dan rasa kembali bertenaga. Walau bagaimanapun, jika anda bersalin secara pembedahan C-section, anda mungkin perlu mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih.
Semasa postpartum, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti di bawah pada tubuh anda:
Bengkak
Pendarahan faraj
Kesakitan faraj
Bengkak payudara
Kekejangan
Masalah pundi kencing
Masalah pergerakan usus
Rambut menipis
Kehilangan pigmentasi kulit
Kemurungan selepas bersalin
Bagaimana untuk anda cepat sembuh, secara fizikal dan juga mental?
Berikut beberapa cadangan untuk membantu anda menangani simptom selepas bersalin:
Jangan terlalu risau
Cuba untuk meridap atau tidur semasa bayi anda tidur
Minta bantuan dan sokongan daripada pasangan melakukan kerja penjagaan bayi dan rumah
Biarkan ahli keluarga anda menjaga anda, melakukan kerja-kerja rumah dan membawakan anda makanan sehingga anda benar-benar pulih dan boleh melakukannya sendiri
Minta bantuan ahli keluarga untuk menjaga anak anda yang lain (jika ada)
Minum banyak air terutama jika anda menyusukan bayi
Bagaimana postpartum boleh menjejaskan emosi anda?
Beberapa minggu terawal selepas kelahiran, anda mungkin rasa teruja dan letih pada masa yang sama. Di samping gembira dengan kehadiran bayi comel anda, anda juga boleh berasa terlalu penat kerana kurang tidur dan juga sedang menyesuaikan diri memikul satu lagi tanggungjawab baharu.
Ramai wanita yang melalui fasa emosi yang dipanggil “baby blues” semasa beberapa hari terawal selepas bersalin. Puncak fasa ini biasanya pada hari keempat dan mereda dalam masa kurang daripada dua minggu. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami blues lebih daripada tempoh tersebut, atau anda berasa ingin mencederakan diri sendiri atau bayi, segera berjumpa dengan doktor anda. Anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin atau meroyan.
Buah naga mempunyai manfaat yang baik bagi mama yang ingin memiliki berat badan yang ideal. Untuk mendapatkan hasil yang cepat, amalkan buah naga sebelum makan. Buah naga merupakan antara buah-buahan dengan kandungan kalori yang sangat sedikit. Oleh itu ia sangat selamat bagi anda yang menjalani program diet.
Buah naga mengandungi nutrien, antioksidan, kalsium, magnesium, fosfor, Vitamin A, B, C dan E, dan beta karoten. Jumlah kandungan nutrisi yang terkandung dalam buah naga membuktikan bahawa buah ini juga mempunyai banyak manfaat seperti baik untuk pencernaan, menjaga kesihatan mata, mengatasi diabetes, mencegah dan mengatasi penyakit jantung.
Mama Yang Nak Diet Boleh Amal Makan Buah Naga
Ya! Buah naga memang sangat membantu mereka yang dalam proses menurunkan berat badan. Melalui perkongsian Norafiza Mahmud dilaman Facebooknya, wanita ini berkongsi tentang kudapan yang diamalkannya bersama seorang rakan semasa tempoh diet.
Hanya dalam tempoh 29 hari, sebanyak 11.5 kg berjaya diturunkan. Walau bagaimanapun ujar wanita ini lagi, ia tentunya memerlukan disiplin dan kesedaran yang tinggi. Ujar wanita ini lagi, sebelum ini rakannya itu selalu mengalami sakit-sakit lutut dan kaki. Badan yang makin bertambah lemak dengan faktor usia yang makin bertambah menjadi pendorong untuk diri dia nekad untuk menurunkan berat badan.
Tak Sampai Sebulan ‘Inci’ Berkurang
Dikongsikan khasiat buah naga untuk menurunkan berat badan:
Melancarkan metabolisme
Sekiranya anda dalam proses diet, anda perlu menjaga sistem metabolisme dalam tubuh agar sesuai dengan program diet yang anda jalani. Agar program diet anda berkesan, sistem metabolisme anda juga mesti lebih cepat dan lebih baik. Pengambilan buah naga dapat membantu melancarkan metabolisme tubuh anda.
Meningkatkan sistem ketahanan badan
Kandungan vitamin C dalam buah naga dapat meningkatkan sistem kekebalan tubuh ketika menjalani program diet. Penting untuk anda memastikan sistem imun anda berada dalam keadaan baik ketika menjalani program diet agar matlamat untuk menurunkan berat badan berjaya mencapai sasaran.
Membakar lemak
Kandungan khasiat buah naga bukan sahaja baik untuk menambahkan nutrien ke dalam tubuh anda tetapi juga dapat membakar lemak dengan lebih berkesan.
Sebagai tambahan pemakanan
Semasa menjalani program diet, anda juga perlu mengambil nutrien tambahan untuk menyokong kejayaan diet anda. Buah naga amat sesuai dijadikan sebagai tambahan pemakanan dalam proses diet anda.
Penghadaman yang lancar
Bagi sebilangan mereka yang sedang menjalani diet, ada yang akan mengalami gangguan pencernaan seperti kesukaran membuang air besar atau cirit-birit. Oleh itu bagi mencegah dan mengatasi masalah ini agar sistem pencernaan anda sentiasa lancar, anda boleh memakan buah naga secara berkala.
Buah naga mempunyai kandungan nutrisi yang sangat baik sebagai menu diet anda. Anda boleh berkarya dengan menu berasaskan buah naga seperti salad atau jus.
Allah sebaik-baik perancang. Setiap apa yang berlaku, semuanya dengan kehendak-Nya. Begitu jugalah dengan kisah pasangan suami isteri ini yang kehilangan anak dan hanya menunggu masa untuk dilahirkan.
Bagi pasangan suami isteri ini, kegembiraan menyambut orang baru bertukar dengan linangan air mata apabila anak kedua yang dinantikan meninggal dunia dalam kandungan. Apa yang menyedihkan, pemergian anak syurga ini kurang 48 jam daripada tarikh bersalin yang dianggarkan doktor.
Melalui perkongsian, Mr Wan Cai Official yang menguruskan urusan anak syurga ini, beliau berkongsi bagaimana kuatnya seorang ibu dan ayah melalui ujian ini walaupun agak perit nak laluinya.
Sepatutnya 27 Oktober tarikh melihat dunia
Kisah kematian anak syurga yang meninggal dunia 9 bulan dalam kandungan ibunya. Mohon kemaafan kerana lewat untuk membuat perkongsian tentang kisah anak syurga yang telah diuruskan oleh kami. Untuk makluman followers MWCO.
Sepatutnya 27 Oktober 2020 adalah tarikh untuk anak syurga ini melihat dunia. Namun tarikh kelahiran itu telah Allah tetapkan sebagai tarikh untuk menguruskan pengkebumian jenazah anak syurga ini.
Ibu mana yang boleh menerima kenyataan apabila mengetahui anak yang dikandung selama 9 bulan sudah tidak lagi bernyawa? Bapa mana yang boleh menahan rasa kesedihan apabila anak yang baru dilahirkan sepatutnya dipangku untuk di azankan tetapi dipangku untuk dibawa ke tanah perkuburan?
Tidak boleh digambarkan dengan kata-kata kesedihan yang dilalui oleh pasangan suami isteri yang juga ibu bapa kepada anak syurga tersebut.
24 Oktober dah rasa, tapi belum ada bukaan
Pada 24 Oktober jam lebih kurang 02.00 pagi si suami telah membawa isterinya ke hospital. Ini kerana si isteri terasa anak di dalam kandungannya ada tanda tanda seperti hendak dilahirkan.
Tetapi doktor memaklumkan belum ada bukaan atau tanda tanda awal anak di dalam kandungan si ibu akan dilahirkan. Doktor juga memaklumkan kepada si ibu anak di dalam sihat lalu menyuruh si ibu pulang ke rumah.
25 Oktober, anak tak bergerak
Pada 25 Oktober pula ketika bangun dari tidur si ibu dapat merasakan anak di dalam kandungannya tidak bergerak. Ini bermaksud tiada langsung pergerakan bayi yang berlaku di dalam perut si ibu.
Lalu si isteri telah memaklumkan kepada suaminya. Si suami terus membawa isterinya untuk keluar bersarapan dengan harapan selepas makan anak di dalam kandungan akan bergerak dan aktif semula.
Kebiasaannya sebelum ini jika anak di dalam kandungan tidak bergerak si ibu akan terus makan atau minum. Tujuannya supaya anak di dalam kandungan akan sentiasa bergerak dan aktif. Setelah makan dan minum si ibu mendapati anak di dalam kandungannya tetap sama tidak bergerak seolah olah seperti ada yang tidak kena.
Tanpa melengahkan masa si suami terus membawa isterinya ke hospital untuk mendapatkan kepastian tentang keadaan anaknya itu.
Doktor sahkan bayi dah tiada
Setelah pemeriksaan dilakukan doktor telah mengesahkan bahawa anak dalam kandungan si ibu sudah lagi tidak bernyawa.
Punah harapan si suami disusuli dengan suara tangisan si isteri selepas mengetahui anak yang menunggu masa untuk dilahirkan telahpun pergi buat selama-lamanya.
Kalau diikutkan tinggal kurang daripada 48 jam untuk si ibu melahirkan anaknya mengikut pada kiraan hari yang diberi oleh pihak doktor.
26 Oktober, masukkan ubat untuk keluarkan bayi
26 Oktober 2020 ketika berada di katil wad bersalin. Si ibu perlu melahirkan anak syurganya walaupun sudah tidak lagi bernyawa. Dalam tempoh 48 jam doktor berusaha untuk membantu si ibu. Dua kali ubat dimasukkan bertujuan untuk mengeluarkan anak syurga dari kandungan secara normal.
27 Oktober, terpaksa operate, ibu dah tiada tenaga
27 Oktober tepat jam 12.00 tengahari doktor terpaksa membuat keputusan untuk mengeluarkan anak syurga yang ada di dalam kandungan menggunakan cara pembedahan.
Ini kerana risiko si ibu melahirkan secara normal tanpa tenaga selepas 48 jam dan hanya akan membahayakan nyawanya. Pada pukul 01.30 petang selepas dibedah akhirnya anak syurga tersebut telah berjaya juga dikeluarkan oleh doktor. Alhamdulillah. Allah bantu permudahkan urusan si ibu dari menghadapi kesulitan yang sedang dilalui selepas kematian anak syurganya itu.
Tunggu masa tarik ibu bapanya ke syurga!
Jenazah anak syurga ini telah kami kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang. Salam takziah untuk si ibu dan si bapa. Biarpun niat untuk menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian. Tetapi percaya dengan percaturan yang telah Allah tetapkan. Belum masa Allah izinkan untuk mempunyai zuriat.
Jangan ada rasa kecewa atau marah. Kerana setiap kejadian yang berlaku punya hikmah tersendiri. Salam takziah untuk ibu dan bapa kepada anak syurga tersebut. Aulian Arsy bin Mohamad Fariz nama anak syurga diberi. Menunggu masa untuk menarik ibu dan bapanya ke dalam syurga kelak nanti!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!