Kos sara hidup semakin tinggi. Kebanyakan pasangan suami isteri perlu bekerja untuk menampung kos kehidupan, lebih-lebih lagi bila anak sudah bersekolah.
Kita kadang kala menjadi terlalu pentingkan diri sendiri dari keutamaan menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Kita seakan-akan lupa masa depan yang lebih penting sehingga sanggup berhutang semata-mata untuk kepuasan diri.
Jadi untuk panduan bersama, Penasihat Kewangan Infinite Signature Group, Ariff Ismail memberikan tip bagaimana kita boleh hidup tanpa hutang setelah tidak lagi bekerja.
1. Rekod Duit Keluar Masuk
Untuk mengelakkan kita terperangkap dalam perbelanjaan tidak perlu, rekod setiap duit keluar dan masuk. Pastikan ada resit dan nota. Cara ini dapat mengawal perbelanjaan secara berhemah setiap bulan.
2. Elakkan Hutang Tidak Perlu
Ramai orang muda tanpa sedar mengaktifkan hutang tidak perlu. Sebagai contoh kad kredit dan pinjaman peribadi.
Kad kredit berguna ketika waktu kecemasan, tetapi jika tersalah cara penggunaan akan mengakibatkan komitmen bulanan yang tinggi.
Pinjaman peribadi juga salah satu punca utama masalah kewangan yang sering dialami oleh individu terutama golongan muda. Pinjaman peribadi yang dilakukan biasanya untuk majlis perkahwinan, deposit kereta dan pengubahsuaian rumah. Ini secara langsung akan mengakibatkan kita terjerat dengan hutang tidak perlu.
3. Perbelanjaan Berhemah
Perkara paling sukar untuk dilakukan ialah berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan. Sebagai contoh, ramai yang sanggup berlapar untuk memiliki kereta idaman. Sedangkan itu bukan keperluan.
Bagi ibu bapa muda pula, suka berbelanja mewah untuk anak yang baharu lahir. Tanpa mengira perkara yang lebih penting untuk anak kita. Sebagai contoh mengadakan majlis ulang tahun kelahiran anak secara besar-besaran, sedangkan pelan perlindungan dan pelan perubatan anak tidak diberi perhatian.
Selain daripada tiga tip yang diberikan ini, untuk jangka masa panjang apabila kita sudah tidak bekerja atau isteri seorang suri rumah, anda boleh memilih Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan), Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP).
Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan)membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan, dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan.
Faedah i-Saraan
1) Menyediakan saluran persaraan untuk golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap.
2) Mencarum mengikut masa dan kemampuan kewangan anda serta anda masih boleh membuat pengeluaran
3) Menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan anda
4) Menerima insentif khas sebanyak 15% tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun bagi ahli yang berumur kurang 55 tahun. Insentif khas ini diberikan dari tahun 2018 sehingga 2022.