Hidup sudahlah daif, seorang nenek di Sandakan, Sabah terpaksa pula menjaga empat orang cucunya yang berusia dua hingga 12 tahun selepas anaknya menghilang sejak berhijrah ke Kuala Lumpur.
Menurut Laporan, Penderitaan Bilani Mutari, 65 bermula sejak sekian lama apabila terpaksa menanggung dua anak selepas suaminya meninggal dunia. Kesulitannya itu bertambah apabila perlu pula menyara empat cucu selepas ditinggalkan ibu mereka, Tina Melda Ulyang, 28 yang berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Mereka anak-anak kepada anak perempuan saya yang membawa diri ke Semenanjung untuk bekerja kerana tertekan dengan kehidupan rumah tangganya, dua tahun lalu.
“Ketika itu, anak bongsunya baru berusia dua bulan. Memang dia ada menghubungi kami, namun kini hilang begitu saja,” kata Bilani, “
Nenek yang hidup dalam serba kekurangan ini tiada pilihan lain dan terpaksa bekerja bagi menampung hidup serta menghantar cucu-cucunya ke sekolah.
Baru-baru ini, cucu saya yang pertama tidak lagi pergi ke sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adiknya selain tidak mempunyai duit yang cukup disebabkan saya sakit.
“Ketika ini, saya hanya bekerja sebagai tukang sapu di Masjid Pangiran Galpam, di sini, dengan bayaran RM200 sebulan selain mendapat bantuan untuk warga emas sebanyak RM300.
“Kalau dulu boleh cari banyak kerja dalam satu masa, tapi sekarang saya sudah uzur. Saya menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan banyak lagi penyakit sehingga setiap minggu terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan,” katanya.
Menurutnya, selama ini mereka sekeluarga juga sering mengharapkan ihsan jiran memberi makanan kerana tidak mempunyai dapur gas untuk memasak.
Lebih menyedihkan rumah yang didiami juga tidak mempunyai tandas dan banyak kerosakan.
“Jika hujan, rumah kami mesti dimasuki air. Kami terpaksa mencari tempat yang kering untuk berlindung. Saya tidak mampu membaikinya kerana tiada duit.
“Kehidupan kami memang susah apatah lagi saya perlu menyara semua ahli keluarga. Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan bantuan,” katanya.
Menurutnya, walaupun tanggungjawabnya berat dia nekad untuk menyara semua cucunya sampai bila-bila.
“Tapi jauh di lubuk hati saya, saya harap Tina pulang ke pangkuan kami sekeluarga. Anak-anaknya sangat rindukan dia. Pulanglah Tina.
“Dua cucu saya tiada sijil lahir kerana belum diurus dan mereka hanya dinamakan sebagai Putri, 12, Amir, 9, Black, 4, dan Inggai, 2,” katanya.
Kisah Bilani mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Jaffari Waliam turut tampil menyumbangkan keperluan harian selain membaik pulih sebahagian rumah keluarga itu.
Jaffari berkata, pihaknya mengetahui kisah kesulitan hidup keluarga itu sejak 2 September lalu selepas cerita mengenai nasib mereka tular di media sosial.
Katanya, pihaknya mengambil inisiatif dengan mengumpulkan bantuan yang diperlukan termasuk kos baik pulih rumah.
“Keadaan rumah keluarga ini amat menyayat hati dengan atap berlubang-lubang dan mereka juga terpaksa tidur berhimpit dalam bilik kecil.
“Kita akan cuba membantu dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui ketika melawat keluarga berkenaan, di sini, kelmarin.
Katanya, hasil perbincangan dengan beberapa NGO, mereka berusaha membaiki rumah keluarga ini.
“Kita secara sukarela melakukan kerja baik pulih di rumah keluarga itu dan dijangkakan rumah mereka dapat disiapkan dengan cepat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang tampil memberi bantuan dan sumbangan dalam usaha mengurangkan bebanan yang dihadapi keluarga ini,” katanya.
“Mama Tak Larat Jaga Anak Kamu!”
Dalam satu laporan lain yang dibuat seminggu selepas kisah nenek dan empat orang cucu ini disiarkan, sekali lagi Bilani merayu kepada anaknya untuk pulang ke pangkuan mereka kerana sudah tidak betah menjaga cucu-cucunya kerana factor kesihatan dan juga faktor ekonomi yang dihadapinya.
“Kini saya sudah terlalu berusia, saya harap Tina pulang ke Sandakan segera. Pulanglah Tina jaga anak-anakmu. Mama selalu sakit sekarang ini,” katanya.
Bilani berkata, tiada siapa akan menjaga cucunya sekiranya dia sakit kuat satu hari nanti.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa Tina dua tahun lalu ketika anaknya pergi bekerja di Semenanjung.
“Apa yang kami tahu dia bekerja di bahagian pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kini saya tidak tahu dia di mana. Saya merayu dia pulang segera. Hubungilah ibu Tina. Semoga kau dilindungi Allah SWT,” katanya.
Bilani berkata, baru-baru ini ada pihak memberikan dia telefon untuk memudahkan perhubungan.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang memberikan saya telefon ini.
“Saya harap Tina dapat hubungi mama di talian 011-13359242 secepat mungkin,” katanya.
Bagi yang ingin membantu Bilani dan cucu-cucunya boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan ke akaun Bank Rakyat beliau 220712162841.
Sumber: Harian Metro