Suasana pilu dan sedih masih lagi menyelubungi seluruh ahli keluarga Syed Umar Mokhtar Syed Mohd atau Abam yang meninggal dunia pada Isnin yang lalu terutama bagi adiknya Ali Puteh.
Tapi kuasa Allah itu memang cukup hebat, selang beberapa hari Sang Pencipta menjemput abangnya, Ali dikurniakan rezeki yang tidak pernah dijangka. Isterinya, Melati Fitri Abdullah disahkan hamil enam minggu.
Tentunya berita tersebut sedikit sebanyak mengubat kedukaan setelah kehilangan abang tersayang dan juga sebelum ini dia yang pernah kehilangan anak keduanya, Ainul.
Pemergian Allahyarham Abam yang dirasakan oleh setiap ahli keluarga bakal digantikan dengan kehadiran seorang lagi cahaya mata buat Ali.
“Syukur padaMu ya Allah… sesungguhnya Dialah sebaik-baik perancang.
“Hanya itu yang mampu saya ungkapkan buat masa ini. Di kala saya sedang berduka, Dia berikan kegembiraan buat kami sekeluarga.
“Betapa hebatnya aturan Allah, Dia gantikan arwah Ainul dalam masa yang tidak terduga ini.
“Cuma, kalau arwah Abam ada dia pasti sangat gembira dan teruja,” katanya penuh sebak seperti dilaporkan portal hiburan Gempak.
Allahyarham Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd meninggal dunia dalam tidur pada usia 32 tahun.
Sebaik mendapat tahu isterinya hamil lagi, Ali memaklumkan akan membawa isteri ke klinik dan menjalani pemeriksaan ibu hamil yang biasa dilakukan sebelum ini.
Memandangkan sejarah kehamilah dan kelahiran anaknya yang pernah berdepan penyakit jantung berlubang, maka kandungan kali ini akan diberikan perhatian sebaiknya.
Artikel Berkaitan: {Kami Sayang Abam! Tak Sampai 3 Bulan Anak Pergi, Ali Puteh Diuji Kehilangan Abam}
“Apa pun terima kasih kepada anda semua yang telah banyak mendoakan kami sekeluarga. Hanya Allah SWT yang dapat membalasnya. ”
Sebelum ini, anak kedua Ali dijemput Ilahi kerana masalah jantung berlubang dan injap jantung terbalik. Selepas 17 hari dirawat di hospital, anaknya itu menghembuskan nafas terakhir ketika usianya baru tiga bulan.
Pemergian Abam mengejutkan seluruh industri hiburan tanah air serta peminat-peminatnya kerana Allahyarham sangat terkenal sebagai seorang personaliti yang memiliki keperibadian yang menawan.
Ribuan orang memberikan penghormatan terakhir ketika Allahyarham Abam dikebumikan dan kenalan-kenalan rapatnya banyak berkongsi kerja-kerja kebajikan yang dilakukan pelawak itu ketika hayatnya.
Sumber: Astro Awani, Ali Puteh