Hilang Kekuatan Ibu! Suami & 2 Anak Pergi Bersama. Tangisan Nak Ikut Ayah Petanda Akhir

Share

Ajal bersama tiga beranak. Siapa sangka permintaan dua beradik yang beriya-iya mahu mengikut ayah bekerja berakhir dengan tragedi yang menyayat hati apabila ketiga-tiga mereka dijemput ilahi dalam kemalangan.

Menerusi laporan Bernama, dua kanak-kanak lelaki yang maut selepas lori treler yang dipandu ayah mereka terbabas di Kilometer 10, Jalan Malim Nawar-Kota Bharu, Gopeng (2 November) sebelum ini tidak pernah mahu mengikuti ayah mereka bekerja.

Sempat makan bersama 

Bagaimanapun, keadaan hari kejadian berbeza apabila Muhammad Afeef Rafiqie, 9, serta Arrian Nuh, 6, beriya-iya mahu mengikut ayahnya, Hafize Nizam Ali Supian, 30, yang turut sama maut dalam kemalangan kira-kira pukul 10 malam itu selepas makan tengah hari bersama keluarga di sebuah restoran di Kampar.

Dua beradik menangis-nangis nak ikut ayah 

Normah Khalid, nenek kepada kanak-kanak tersebut berkata sebelum kejadian, menantunya, Hafize Nizam bersama isteri Shamshira Mohd Norizin,31, dan tiga anak mereka datang ke Kampar dari Langkap, Teluk Intan untuk makan di sebuah restoran dengan menaiki kenderaan berbeza.

“Anak saya Shamshira bersama tiga anak termasuk yang bongsu, Adeeb Hud berumur dua tahun naik satu kereta kerana Hafize Nizam mahu meneruskan kerja mengambil muatan simen dengan treler di Gopeng selepas makan.

Gambar kenangan keluarga

“Entah mengapa selepas makan, Muhammad Afeef Rafiqie dan Arrian Nuh menangis-nangis mahu mengikut ayah mereka. Sebelum ini, mereka tidak pernah pun ikut ayah mereka pergi bekerja,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Kampar.

Normah, 66, berkata mereka sekeluarga menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada rakan mangsa kira-kira pukul 10.30 malam dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri kemalangan tersebut.

“Makcik tak sanggup tengok lama-lama, anak makcik (isteri mangsa) pun sudah tidak keruan, menangis dan meraung-raung melihat keadaan treler yang remuk. Apa pun kami reda dan anggap ini sebagai satu ujian Allah,” katanya.

Isteri arwah terpaksa dipapah sebaik proses bedah siasat selesai.

Anak bongsu mula tanya ayah dan abang

Normah berkata anak bongsu mangsa, Adeeb Hud ada bertanyakan di mana ayah dan dua abangnya, namun anggota keluarga hanya mampu mengatakan ketiga-tiga mereka sedang tidur.

Anak bongsu, Adeeb Hud mengesat air mata ibunya ketika menunggu ketiga-tiga jenazah di unit forensik.

“Arwah seorang menantu yang baik dan suka membantu ahli keluarga yang lain, makcik pun memang rapat dengan cucu-cucu sebab dari pagi hingga ke malam mereka selalu datang bermain di rumah makcik di Chenderong Balai, Teluk Intan,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Balai, Teluk Intan.

Sebelum ini, media melaporkan treler jenis Volvo itu dipercayai terbabas di lorong kiri dan melanggar tiang elektrik dan juga besi penghadang jalan sebelah kiri jalan.

Akibat daripada itu kesemua mangsa cedera parah kerana tersepit dalam treler dan maut di tempat kejadian.

— BERNAMA

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy