“I Love Mamajee As Big As A Mountain Dan Banyak Macam Stars Atas Sky Tu.” Tiada Lagi Video Fatimah Dan Adik Beradiknya Bersama Chef Adam Selepas Ini

Share

Pagi ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian chef selebriti, Adamdidam atau nama sebenarnya Adam Mahamed Ismail. Berita tersebut dikongsikan oleh sepupunya, Natasha Amran menerusi laman Instagram pada pagi Ahad. Perwatakannya yang bersahaja dan tutur kata yang lembut membuatkan Allahyarham Adam sangat disenangi ramai.

Kehilangan ini bukan sekadar dirasai keluarga serta teman-teman terdekat Chef Adam tetapi juga anak-anak saudaranya yang merupakan adik beradik popular; Fatimah, Ali & The UK Family. Mereka dikatakan rapat dengan Mamajee mereka. Suatu ketika dahulu, pernah ada video yang menunjukkan Fatimah dan Ali menjawab soalan tentang Mamajee mereka.

Menurut Fatimah, pakciknya itu tidak garang. Hanya akan marah apabila mereka buat salah sahaja. Tambah Ali di dalam video tersebut, jika marah pakciknya itu seperti singa. Jika mereka ada buat salah, mereka akan ke biliknya dan meminta maaf. Kemudian mereka akan memeluk pakcik mereka. Tidak cukup dengan itu, kata Fatimah lagi dia akan bersalam dan ‘pinky promise’ dengan Mamajee lantas mengatakan I Love You kepada pakciknya itu.

Di dalam video itu juga Fatimah memberitahu dia sedih jika Mamajee harus pulang ke Malaysia selepas melawat mereka di United Kingdom kerana mereka sering tidur, berenang dan ke perpustakaan bersama-sama. Mereka juga sering memasak bersama-sama. Fatimah melahirkan rasa rindu terhadap pakciknya di dalam video itu. Apabila ditanyakan seberapa banyak dia menyayangi pakciknya, Fatimah berkata, “I love Mamajee as big as a mountain dan banyak macam stars atas sky tu.”

Menonton video itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan betapa Adamdidam sangat disenangi oleh anak-anak saudaranya. Selain itu, terdapat juga video di mana Fatimah membuat kuih akok bersama Mamajeenya.

Menurut sumber (saudara terdekat Adamdidam), chef ini meninggal dunia sekitar jam 5.00 pagi kerana jangkitan paru-paru. Pihak keluarga telah lama mengetahui keadaan kesihatan Adam sejak sekian lama. Tambahnya lagi, sejak bulan Februari yang lalu keadaannya sudah mulai merosot.

Adam meninggal dunia di kediaman ibu bapanya di Kota Bharu, Kelantan dan solat jenazah akan diadakan di Masjid Telipot. Allayarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas selepas solat Zohor.

Ucapan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Adamdidam dari Pa&Ma. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Sumber: Mstar dan Facebook Adamdidam

 

Published by
Emy H