Ibu 7 Anak Kongsi Nasi Berlauk Air Garam Sentuh Hati Aliff Syukri. Hajat Bagi Bantuan Raya

Share

Beberapa hari lepas tular mengenai seorang wanita beserta tujuh orang anak yang hanya cukup-cukup makan dan mengharapkan ihsan jiran untuk menampung hidupnya sekeluarga.

Menerusi laporan dari Malaysia Gazette, wanita yang dikenali sebagai Marsyila Zakaria memberitahu bahawa terpaksa berkongsi nasi berlauk air garam bersama 7 lagi anaknya selepas suaminya ditahan di Pusat Pemulihan. Tambahnya lagi, dia terpaksa menebalkan muka meminta beberapa biji telur ayam daripada jiran bagi mengisi perut anak-anak.

Aliff Syukri bersedia nak tolong

Sehubungan dengan itu, kisah duka keluarga Marsyila telah mendapat perhatian daripada pengasas kosmetik produk kesihatan terkemuka negara, Dato’ Seri Aliff Syukri Kamarzaman. Menerusi Instagramnya, Aliff memberitahu bahawa ramai yang memintanya untuk membantu keluarga tersebut.

Niat beri sumbangan hari raya

Dalam pada itu, Aliff dengan rendah hatinya meminta pertolongan daripada netizen untuk membolehkan bertemu keluarga Marsyila. Menurut Aliff Syukri lagi, dia ingin memberikan sedikit sumbangan berbentuk duit, baju raya dan segala keperluan raya kepada mereka.

Sebelum ini kisah keluarga ini telah mendapat perhatian ramai apabila laporan dari Malaysia Gazette melaporkan ibu yang menyara tujuh anaknya ini hanya berbuka dengan telur hancur goreng untuk mengisi kekosongan perut.

Wanita berusia 35 tahun itu berkata, dia dan anak-anak tiada lagi perasaan teruja untuk menyambut bulan mulia ini apatah lagi Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Pernah Berkongsi Nasi Berlaukkan Garam 

Mereka sekeluarga pernah berkongsi nasi berlaukkan garam selama tiga hari kerana tiada wang membeli makanan.

Namun kerana tidak sanggup lagi melihat nasib anak-anak, Marsyila menebal muka mengetuk pintu rumah jiran untuk meminta telur yang digorengnya hancur-hancur bagi menukar selera mereka.

BAGI DIRINYA, BIAR SEORANG IBU TIDAK MAKAN NAMUN JANGAN SAMPAI ANAK-ANAK KEBULURAN.

Hanya Bekerja Mencuci Pakaian

Marsyila memberitahu dia hanya bekerja mencuci pakaian di rumahnya yang dihantar orang ramai dengan bayaran RM5 sebakul. Katanya baju itu dicuci menggunakan tangan dan sabun basuh sendiri.

Sekiranya tidak menerima baju hari tersebut, dia akan keluar dengan berjalan kaki sejauh 1 kilometer untuk mencari rumah-rumah yang ingin dibersihkan.

Jelasnya, bayaran yang dikenakan hanya RM30 untuk membersih rumah dan pakaian sekali.

Marsyila mempunyai anak berusia antara setahun hingga 15 tahun. Anak sulungnya tinggal di Asrama Asnaf Darul Takwa Sungai Besi di sini.

Dua Anak OKU

Kisah wanita itu menggambarkan antara keperitan hidup masyarakat di ibu kota yang tidak menyangka akan berdepan ujian getir kerana sebelum ini suaminya yang menyara keluarga dengan membuat kerja-kerja pendawaian elektrik dengan pendapatan mencecah RM2,000.

Ini kerana, anak ketiga dan keempatnya dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Tetapi anak ketiganya meninggal dunia enam tahun lalu.

Keluarga ini turut mendapat bantuan barangan asas daripada Baitumal bernilai RM300 seperti beras, susu pekat, minyak dan tepung, selain bantuan ubatan untuk anak OKU sebanyak RM350 daripada Jabatan Jabatan Kebajikan Malaysia.

Anak Masih Menyusu & Memakai Lampin Pakai Buang

“Sebenarnya, kos perbelanjaan saya mencecah RM1,500 sebulan kerana lima anak masih minum susu dan memakai lampin pakai buang serta kos anak OKU yang tinggi.

“Dia tidak boleh lapar dan jika tidak, dia akan mengamuk,” katanya sayu.

Marsyila turut berkongsi kisah sedih tiga hari sebelum Ramadan lalu apabila pengsan ketika keluar mencari rezeki untuk anak-anak.

Sumber: MalaysiaGazette & ig Aliff Syukri

Published by
Wan Amy