Sepanjang tempoh enam bulan, klinik menjadi destinasi wajib kunjung buat Jamilah Mohd Yusof untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil ubatan yang dipreskripsikan bagi merawat masalah batuk berkahak serta demam berpanjangan.

Ibu Anak Dua Tak Sedar Dijangkiti Penyakit Tibi. Alami Masalah Demam Berpanjangan & Batuk Berkahak

Menderita sepanjang tempoh berkenaan, wanita berusia 34 tahun itu sering tidur bersendirian pada waktu malam kerana bimbang batuk tanpa henti mengganggu lena suami dan anak.

Alami Demam Waktu Petang Hingga Subuh

Bukan itu saja, Jamilah sering mengalami demam waktu petang hingga menjelang Subuh sambil diiringi dengan menggigil, rasa berdebar-debar dan berpeluh pada waktu malam.

Gesaan suami supaya mendapatkan rawatan terperinci termasuk melakukan imbasan sinar-X, akhirnya membawa Jamilah ke Institut Perubatan Respiratori (IPR) sebelum disahkan sebagai pesakit tibi.

Ibu Anak Dua Tak Sedar Dijangkiti Penyakit Tibi. Alami Masalah Demam Berpanjangan & Batuk Berkahak

Kemungkinan Tibi Berada Dalam Tubuh Sejak 20 Tahun Lalu

Ibu kepada dua cahaya mata itu tidak pernah menyangka isu kesihatan dialami adalah gejala utama penyakit berjangkit, tuberkulosis atau batuk kering (tibi), yang pernah dihidapi ibu serta dua kakaknya, sekitar 1999.

 

Jamilah tidak menyangkal kemungkinan besar, kuman tibi sudah berada dalam tubuhnya sejak 20 tahun lalu dan hanya menyerang sekarang kerana sistem pertahanan badannya menjadi lemah

Berada di wad hospital lebih dari dua minggu, wanita ini mengakui penyakit batuk kering membuatkan mudah berasa penat, sakit di bahagian dada dan kaki tangan kebas.

Mengalami penurunan berat badan ketara, Jamilah bimbang dengan kesihatan keluarganya yang terdedah kepada kuman Mycobacterium tuberculosis sepanjang tempoh enam bulan berkenaan.

“Kelenjar manusia bertindak sebagai kilang penapis jangkitan pelbagai jenis penyakit. Sekiranya kita dijangkiti kuman, selalunya bahagian kelenjar menunjukkan tindak balas lebih cepat seperti kelenjar membengkak.

“Sebagai contoh kelenjar di tengkuk, sekiranya ditekan, ia terasa membengkak dan satu daripada puncanya adalah jangkitan kuman.

“Bukan saja kuman tibi, tetapi kuman lain juga, namun paling dibimbangi adalah Mycobacterium tuberculosis.

Tibi aktif, tibi terpendam 

“Simptom penyakit batuk kering terbahagi kepada dua, tibi aktif atau tibi terpendam. Gelaja paling biasa kurang selera makan dan berat badan. Sentiasa berpeluh dan demam berpanjangan pada waktu malam.

“Oleh kerana tibi boleh berlaku pada mana-mana organ atau kelenjar, adanya pertambahan simptom seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, ‘rigors’ (menggigil walaupun tidak kesejukan), sakit perut, cirit dan sebagainya.

“Bagi tibi terpendam, selalunya individu ini memiliki tubuh yang sihat namun terdedah kepada Mycobacterium tuberculosis yang disebarkan melalui batuk, bersin, ketawa pesakit tibi.

“Oleh kerana sistem imun yang kuat, tubuh dapat mengawal kuman berkenaan. Namun begitu, golongan ini sangat berisiko menjadi pesakit tibi aktif sekiranya sistem pertahanan badan mereka menjadi lemah.

“Antara faktor yang meningkatkan potensi kepada tibi aktif adalah masalah penyakit kencing manis tidak terkawal, pesakit kanser, mereka yang dijangkiti kuman lain seperti HIV dan hepatitis B dan C, pesakit menjalani prosedur pemindahan organ serta mereka yang sering terdedah kepada pesakit tibi seperti pekerja hospital dan ahli keluarga di rumah.

“Individu yang didiagnos sebagai tibi terpendam kemungkinan akan menjadi tibi aktif dengan kadar pertambahan satu peratus setiap tahun berbanding mereka yang sihat hanya satu peratus bagi tempoh 10 tahun.

Ads

“Individu dikelaskan sebagai tibi terpendam selalunya akan dipantau selama dua tahun,” jelasnya.

Ibu Anak Dua Tak Sedar Dijangkiti Penyakit Tibi. Alami Masalah Demam Berpanjangan & Batuk Berkahak

Menurut Dr Ahmad Izuanuddin, semua orang berisiko menjadi pembawa tibi terpendam terutama apabila terdedah dengan pesakit tibi tanpa disedari.

Apabila pesakit batuk, individu berdekatan menghirup oksigen tercemar dengan partikel kuman tibi dan membawa masuk ke dalam paru-paru.

Oleh kerana sistem imun masih kuat dan pengambilan vaksin BCG membuatkan kuman itu hanya terpendam.

Jelasnya, suntikan BCG mampu mengurangkan dan menghalang risiko jangkitan tibi, sekali gus mengelak komplikasi kronik, tibi meningitis.

Pengesanan dan pengasingan

Menariknya, apabila manusia terdedah dengan partikel udara mengandungi kuman tibi dan kemudian menjalani ujian saringan, penyakit ini tidak dapat dikesan positif sebaliknya mengambil masa empat hingga enam minggu.

Pengesanan penyakit tibi dilakukan menerusi ujian kahak dan imbasan sinar-X.

Mengulas mengenai ahli keluarga yang menetap bersama pesakit tibi, beliau berkata, golongan itu berisiko sebagai pembawa tibi terpendam kerana sebelum pesakit disahkan positif tibi, ahli keluarga sudah terdedah dengan kuman berkenaan dalam tempoh panjang.

“Apabila pesakit disahkan menghidap penyakit tibi, kita akan mengasingkan pesakit sekurang-kurangnya dua minggu di rumah kerana dibimbangi mereka menyebarkan jangkitan.

“Kemudian, kita meminta kerjasama ahli keluarga untuk ke klinik kesihatan menjalani ujian saringan untuk mengesan sama ada mereka sudah mendapat jangkitan tibi aktif atau tibi terpendam.

“Sekiranya mereka dikategorikan tibi aktif, rawatan akan diberikan, manakala individu dalam kategori tibi terpendam akan dipantau kesihatannya.

“Ahli keluarga tidak seharusnya mengasingkan pesakit tibi kerana penyakit ini bukan disebarkan melalui perkongsian peralatan makanan yang bersih.

Ads

“Sebaliknya, pendedahan secara langsung kuman disebarkan melalui batuk pada makanan atau menggunakan peralatan pesakit tanpa dibasuh terlebih dahulu.

“Selalunya jangka hayat kuman pada partikel yang melekat pada peralatan hanya bertahan selama 24 jam.

“Tidak dinafikan wujud stigma mengenai batuk kering hingga membuatkan pesakit tidak tampil mendapatkan rawatan. Ada yang bimbang mereka akan dipinggirkan, hilang pekerjaan dan sebagainya,” ujarnya.

Walaupun mampu mengancam nyawa tetapi tidak perlu bimbang kerana penyakit ini boleh dirawat. Apa yang penting kepatuhan pesakit menjalani rawatan dan tidak culas mengambil ubat.

Kata Dr Ahmad Izuanuddin, rawatan bagi penyakit tibi mengambil masa enam bulan dengan pengambilan empat ubatan seperti rifampicin, isoniazid, ethambutol dan pyrazinamide.

Rawatan terbahagi kepada dua fasa, intensif bagi tempoh dua bulan pertama dengan pengambilan keempat-empat jenis ubatan berkenaan. Manakala fasa sambungan pula (empat bulan selebihnya) perlu mengambil ubatan jenis rifampicin dan isoniazid saja.

“Bagi fasa pertama, kuantiti mikrobakteria selalunya lebih tinggi dan memerlukan pengambilan empat ubat untuk mengawalnya. Memasuki fasa kedua, kuantitinya berkurangan, jadi jenis ubatan turut dikurangkan.

“Tidak dinafikan, pengambilan ubatan mempunyai kesan tersendiri seperti perubahan warna air kencing, gangguan enzim hati dan ginjal, rasa gatal pada kulit, loya dan muntah. Namun hanya segelintir pesakit melalui situasi ini.

“Dalam tempoh rawatan, kuman tibi akan mati dan hanya kurang daripada lima peratus kuman masih tinggal dalam organ. Justeru, apabila sihat saya menasihatkan pesakit supaya mengelakkan pendedahan langsung kepada pesakit tibi aktif kerana ia boleh mengaktifkan semula kuman yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Yayasan Paru-paru Malaysia, Datuk Dr Zainudin Md Zin berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sebanyak 10 juta kes baharu tibi dikesan pada 2017. Manakala, kematian akibat tibi pula dianggarkan sebanyak 1.6 juta orang pada tahun sama bersamaan 4,000 kematian setiap hari.

“Di Malaysia pula, terdapat 26,168 kes tibi dilaporkan pada 2017 dan 370 pula mengalami rintangan pelbagai ubat (rintangan rifampicin). Ini membuktikan tibi adalah satu masalah kesihatan serius di Malaysia.

“Jadi sempena Hari Tibi Sedunia yang disambut setiap 24 Mac, kita perlu menyebarkan kesedaran mengenai penyakit ini dan bahayanya bagi menangani ia daripada menular,” katanya dalam majlis Hari Tibi Sedunia 2019 peringkat IPR bersama slogan, Inilah Masanya, baru-baru ini.

Gejala

Ads

– Batuk berterusan melebihi dua minggu

– Batuk berkahak dan kadang kala berdarah

– Hilang selera makan dan susut berat badan

– Demam

– Sukar bernafas

– Berpeluh pada waktu malam

– Sakit dada

– Suara serak

Diagnosis

– Diagnosis makmal dilakukan melalui pemeriksaan kahak pesakit Tibi

– Cara pengkulturan M.tuberculosis dari kahak atau spesimen pernafasan lain untuk Tibi Pulmonari dan cecair atau tisu badan lain terjejas untuk Tibi luar pulmonari

– Ia mengambil masa dua hingga empat minggu untuk proses kultur dan mengenal pasti M.tuberculosis

Komplikasi

– Batuk berdarah

– Udara dalam paru-paru

– Baru-paru bernanah

Rawatan

– Penyakit tibi dirawat menggunakan ubat selama enam bulan berterusan.

– Dua bulan pertama : pengambilan isoniazid, rifamipicin, ethambutol dan pyrazinamide

– Empat bulan seterusnya: isoniazid dan rifamipicin

Sumber: Hmetro

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI