Biasanya dalam sesebuah keluarga, akan ada nama panggilan manja untuk anak perempuan dan lelaki seperti baby atau boy. Tetapi elok ke tidak sebenarnya penggunaan nama panggilan ini?
Ada apa dengan nama panggilan manja
Menariknya, asal perkataan nickname atau nama panggilan ini adalah an eke name, yang bermaksud ‘nama lain’. Lama-kelamaan huruf n daripada an telah ‘mengembara’ dan menjadi perkataan a neke name, yang akhirnya berubah kepada ejaan moden nickname.
Selalunya nama panggilan wujud berdasarkan ciri-ciri fizikal atau watak tertentu pada seseorang. Sebagai contoh, masa zaman sekolah dahulu, ada rakan sekolah yang mempunyai keadaan gigi rongak, sekali gus dipanggil sebagai ‘Ongak’
Bahkan, ia bukanlah sesuatu yang pelik untuk seseorang itu mempunyai beberapa nama panggilan. Ini kerana anda mungkin memanggil anak dengan nama tertentu, manakala dalam kalangan rakan-rakannya memanggilnya dengan panggilan yang lain.
Nama panggilan manja atau panggilan mengejek?
Nickname ini biasanya digunakan sebagai panggilan mesra. Pun begitu, ia juga boleh menjadi panggilan yang menyakitkan hati.
Umumnya, situasi tersebut berlaku melibatkan kanak-kanak yang menggunakan nama tertentu kepada mereka yang tidak disukai atau sekadar untuk mengusik – kadangkala tujuannya tidak begitu jelas.
Bergantung kepada usia, perangai dan situasi anak, anda mungkin menyarankan mereka untuk mengabaikan nama panggilan yang berunsur ejekan itu atau menganggap ia sebagai gurauan.
Namun, jika panggilan nama itu berulang dan jelas merupakan percubaan untuk membuatkan anak berasa tertekan, sudah tiba masanya untuk bersemuka dengan guru atau pengetua.
Panggilan nama berunsur ejekan, cemuhan dan cacian boleh mengakibatkan parut dalam secara emosi pada kanak-kanak.
Ini kerana jika kita dikatakan sebagai sesuatu yang buruk berulang kali, lama-kelamaan anda akan mula mempercayainya.
Dalam sesetengah keadaan, nama yang diberikan mungkin kedengaran seperti merendahkan individu tetapi jika anda tahu sejarahnya, ia boleh menjadi lambang kasih sayang daripada mereka yang memanggilnya.
Contohnya seperti situasi yang dialami penulis sendiri ketika zaman diploma; di dalam kelas terdapat 3 individu bernama Ashikin, Asikin dan Asyikin – walaupun berbeza ejaan tetapi sebutannya sama.
Jadi untuk mengatasi keadaan itu, salah seorang rakan penulis dipanggil sebagai ‘Kechik’ atau lebih tepat ‘Chik’ kerana saiznya yang paling kecil.
Dalam keadaan ini, nama panggilan manja ini bertindak seperti social glue – yang merapatkan hubungan antara individu.
Apabila kita mempunyai hubungan yang baik dan merasakan kasih sayang, nama panggilan itu akan lebih mengeratkan ikatan yang terjalin seperti antara ibu bapa dan anak-anak.
Nilai nama panggilan kepada anak-anak
Mungkin dengan 3 sebab berikut, anda akan mula memikirkan nama panggilan yang bersesuaian untuk anak-anak:
1. Lambang kasih sayang
Nama yang digunakan sebagai panggilan ini tidak semestinya perlu mempunyai kepentingan. Tetapi ia harus merupakan nama yang akan mendekatkan kalian dan membuatkan individu yang dipanggil itu berasa disayangi.
2. Lebih peribadi
Nama panggilan ini adalah lebih bersifat peribadi dan menunjukkan rasa sayang.
Seperti ketika bersama pasangan, kita akan memanggil mereka dengan panggilan ‘sayang’ atau ‘abang’ – menunjukkan individu tersebut istimewa buat diri kita.
Maka keadaannya sama untuk anak-anak. Nama panggilan membuatkan mereka berasa diutamakan dan eksklusif di mata anda.
Individu lain dalam hidup anak akan memanggil mereka dengan nama sebenar, tetapi panggilan manja daripada anda adalah lambang hubungan unik kalian.
Ia juga akan mengingatkan betapa diri mereka adalah bermakna dan sangat istimewa di mata ibu bapa.
3. Menjadi kenangan
Percaya atau tidak, apabila anak-anak semakin dewasa, nama panggilan yang diberikan akan menjadi satu memori yang menyeronokkan untuk dikenang. Lebih-lebih lagi jika nama tersebut diberikan berdasarkan peristiwa yang melucukan.
Misalnya, anak semasa kecil agak pelat. Jadi agak sukar dirinya menyebut nama Farhah, yang akhirnya berbunyi ‘Aah’.
Nama panggilan manja untuk anak perempuan & lelaki
Di bawah merupakan beberapa nama panggilan yang sesuai untuk diberikan kepada anak-anak, seperti:
Jadi apakah nama panggilan manja untuk anak perempuan dan lelaki anda? Ayuh, kongsikan bersama kami!
Kredit: Hello Doktor
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!