Kelahiran terutama sekali secara pembedahan mempunyai risiko yang tinggi untuk terjadinya tumpah darah. Ibu ayah wajib untuk ambil tahu risiko yang mungkin boleh berlaku semasa selepas proses kelahiran tersebut.
Menurut Dr Mastura Mohd Mokhtar, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, KPJ Selangor, tumpah darah adalah salah satu komplikasi yang boleh terjadi semasa proses kelahiran sama ada kelahiran normal atau caesarean.
Caesarean telah dikenal pasti boleh menyebabkan pendarahan yang lebih banyak dari bersalin normal dengan anggaran maksimum darah yang keluar boleh mencecah 1L.
Manakala anggaran maksimum darah semasa bersalin normal adalah 500ml. Oleh itu seseorang wanita itu akan dikatakan telah mengalami tumpah darah sekiranya anggaran darah selepas bersalin melebihi 500ml untuk bersalin normal atau melebihi 1 liter untuk bersalin caesarean.
9 KEADAAN YANG BOLEH MENINGKATKAN RISIKO TUMPAH DARAH
Terdapat 9 keadaan yang boleh meningkatkan risiko terjadinya pendarahan selepas kelahiran kepada ibu.
#1 URI BAWAH
Uri bawah (placenta previa) yang dapat disahkan apabila kandungan tujuh bulan ke atas. Keadaan ini terbahagi kepada empat tahap. Tahap yang paling serius ialah tahap 3 dan 4. Hal ini biasa berlaku kepada ibu-ibu yang mempunyai parut pada dinding rahim akibat caesarean pada kelahiran terdahulu atau pembedahan fibroid, pernah melakukan D&C, kehamilan hasil kaedah IUI atau IVF, ibu mempunyai sejarah uri bawah pada kehamilan sebelum ini atau mempunyai sejarah infeksi/radang pada rahim (endometritis).
#2 URI LEKANG
Uri lekang (placenta abruptio) yang berlaku apabila uri lekang/tercabut sebahagian atau sepenuhnya dari dinding rahim lebih awal iaitu sebelum bayi lahir. Ia sering terjadi pada ibu yang mengalami masalah tekanan darah tinggi semasa hamil, Pre-eklamsia, mengalami trauma pada perut, sejarah uri lekang, air ketuban terlalu kurang disebabkan uri tidak sihat atau air ketuban pecah awal.
#3 URI MELEKAT
Uri melekat (placenta accreta/increta/percreta) berlaku apabila berlaku lekatan akar uri ke dalam otot rahim hingga ada kalanya sehingga ke dinding pundi kencing menyebabkan ia tidak boleh dikeluarkan secara normal.
#4 HB RENDAH
Ibu yang mempunyai tahap HB yang rendah mempunyai risiko pendarahan kerana rahim tidak kuat dan kurang upaya untuk mengecut dengan cepat.
#5 ANAK KELIMA KE ATAS
Ibu yang bersalin anak kelima dan ke atas kerana otot rahim sudah kurang kenyal dan kuat untuk mengecut secepat mungkin selepas bersalin.
#6 RAHIM MEMBESAR MELEBIHI KEBIASAAN
Pengembangan rahim yang lebih daripada normal semasa mengandung sama ada disebabkan oleh kehamilan kembar, polihidramnion iaitu air ketuban terlalu banyak atau saiz bayi terlalu besar (4kg ke atas).
#7 PENYAKIT BERKAITAN DARAH
Ibu menghidapi hemofilia atau trombofilia yang menyebabkan kegagalan darah membeku atau berhenti.
#8 RAHIM PECAH
Rahim pecah (uterine rupture) semasa proses bersalin bagi ibu yang melahirkan anak kelima ke atas , pernah melalui caesarean, jarak caesarean kurang daripada 18 bulan atau bayi tidak memasuki pelvis ibu semasa bersalin (obstructed labour).
#9 PROLONGED LABOUR
Prolonged labour di mana proses kelahiran berlangsung terlalu lama contohnya lebih daripada 12 jam . Ia boleh disebabkan oleh kedudukan kepala bayi yang tidak normal seperti occipo-transverse/occipito-posterior dan kes paksa salin/induksi. Keadaan ini juga boleh menyebabkan rahim tidak mengecut atau uterine atony selepas bersalin.
RAWATAN BAGI IBU TUMPAH DARAH SEMASA BERSALIN
Biasanya semasa kelahiran, rahim akan segera mengecut selepas bayi dan uri dikeluarkan. Pengecutan yang kuat ini bertindak menutup salur darah yang terbuka terutama di kawasan uri melekat pada dinding rahim. Namun bagi ibu yang menghadapi tumpah darah, salur darah yang terbuka tidak tertutup sepenuhnya kerana rahim yang tidak mengecut atau uri tidak berpisah sepenuhnya.
Bagi keadaan rahim yang tidak mengecut sejurus selepas kelahiran (uterine atony) doktor akan mengambil langkah untuk mempercepatkan proses rahim kembali kepada asal dan menghentikan pendarahan dengan beberapa langkah.
Tahukah anda? Tumpah darah atau postpartum hemorrhage boleh berlaku kepada 6 wanita bagi setiap 100 kelahiran.
PERSEDIAAN BAGI IBU BERISIKO TINGGI
Bagi ibu yang dikenal pasti berisiko tinggi untuk mengalami pendarahan, mereka perlu sentiasa berwaspada. Ambil langkah awal untuk menghadapi proses kelahiran dengan persediaan dari segi mental dan fizikal.