“Ibu Ayah Sedang Work” Sebulan Bergelar Yatim Piatu, Anak 3 Tahun Anggap Ibu Bapa Keluar Bekerja

Share

Hanya menyangka ibu ayahnya pergi bekerja, Aulia Izzatunnisa Mohd Izwan, 3, dari Felda Lok Heng Selatan di sini masih tidak tahu ibu bapanya, Saidatul Khadijah Mohd. Shahridin dan Muhammad Izwan Mansor telah meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing bulan lalu.

Pasangan itu maut ketika dalam perjalanan pulang selepas membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Nenek kanak-kanak itu, Absah Abdullah, 61, berkata, cucunya masih menganggap ketiadaan ibu bapanya di rumah adalah di­sebabkan mereka keluar bekerja.

Katanya, tambahan pula sebelum ini ibu bapanya memang jarang bertemu kerana arwah menantunya, Muhammad Izwan sedang mengikuti pengajian jarak jauh di peringkat ijazah sarjana dan hanya dapat bersama ketika cuti panjang.

“Kami cuba jelaskan kepada­nya tetapi dia masih budak lagi dan mungkin tidak mengerti apa yang terjadi kepada ibu bapanya.

“Dia hanya sebut ibu dan ayah work sedangkan kedua mereka telah menghadap Ilahi. Kami juga dapat lihat kesayuan di sebalik wajahnya bila melihat sepupu­nya yang lain bermanja dengan ibu bapa masing-masing,” katanya.

Keluarga itu ditemui ketika menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyerahkan sumbangan.

Hadir sama ialah wakil Universiti Teknikal Malaysia Melaka yang menyerahkan sumbangan kepada waris Mohd Izwan selaku alumni.

Pasangan itu maut apabila kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux. Ketika itu Aulia Izzatunniza turut berada dalam kereta, namun hanya cedera.

Ujar Absah, ketika ini cucunya itu tinggal bersamanya dan menganggap ia adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang.

Tambahnya, dalam kejadian itu kaki kanan cucunya retak dan perlu disimen, namun kini beransur baik.

“Allah lindungi Aulia kerana ketika kejadian dia berada di pangkuan ibunya. Dia dirawat selama tiga hari di hospital sebelum dibenarkan balik.

“Awalnya memang dia tidak boleh berjalan sendiri kerana kakinya yang bersimen dan perlu dibantu. Doktor sarankan begitu agar membantu proses penyembuhannya,” katanya.

Kredit: Kosmo

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa