Geramnya dengan anak yang buat perangai ni! Sampai satu tahap ibu ayah rasa tak boleh biarkan. Kena juga ajar bagi mereka faham dan ingat supaya lain kali tak buat lagi. Tapi pernah tak kita terfikir, emosi anak yang tak sama dengan pemikiran orang dewasa.

Menurut Pakar Psikiatri & Pensyarah UIAM, Dr Rozanizam Zakaria ada beberapa sebab anak kita buat perangai. Dalam fasa ini mereka memerlukan ibu bapa yang positif dan bukanlah yang selalu nak marah. Berikut perkongsiannya

“Memang sengaja dia nak buat perangai tu!”

Salam doktor, anak saya umur 2 tahun selalu buat perangai, mengamuk, tak nak dengar kata, kacau adik. Kalau saya marah dia menjerit. Kadang-kadang tak dapat control sampai terpaksa naik tangan. Macam mana nak handle? – Puan M –

Antara mesej yang sampai ke peti mesej Facebook saya dari ibu yang risau tentang masalah anaknya. Bukan satu, malah berpuluh mesej yang senada dengannya, sungguhpun banyak kali telah saya sebutkan yang saya tidak dapat menjawab semua persoalan-persoalan diutarakan kepada saya di mesej media sosial saya.

Sebelum kita pecah kepala fikir solusi ajaib kepada ‘masalah dunia’ ini, ayuh kita ambil kira perspektif asas tentang isu ini. Ini kerana dalam banyak keadaan, bagi saya persoalan yang lebih tepat bukan bagaimana, tetapi mengapa.

IKLAN

Ibu Ayah Stres Punca Anak Buat Perangai. Aura Negatif Terkesan Pada Mereka!

1. INGINKAN PERHATIAN
Kanak-kanak perlu bersaing untuk mendapat perhatian dari ibu bapa dengan anak-anak lain, kerjaya, urusan rumahtangga, gajet dan internet dan pelbagai lagi distraction yang menyebabkan kanak-kanak rasa tidak mendapat perhatian yang diingini. Adakalanya tingkah laku yang tidak disenangi itulah satu-satunya cara untuk mereka mendapat perhatian yang diinginkan.

2. CEMBURU DAN PERSAINGAN
Kanak-kanak pada usia 2-4 tahun mula belajar tentang konsep ‘my way, my things, myself’ dan kehadiran orang lain seperti adik beradik dan kawan-kawan adakalanya menguji wilayah mereka ini. Ini konsep yang sama seperti egocentricism yang saya kongsikan sebelum ini.

3. PERASAAN KECEWA
‘frustration’ adalah emosi yang tercipta bila mereka tidak dapat memenuhi keinginan mereka sendiri disebabkan ketidakmampuan mereka. Contohnya tak dapat ambil barang yang diingini, tak berjumpa dengan mainan yang dicari, tak dapat menonton cerita yang diingini.

IKLAN

4. PERASAAN TAKUT DITINGGALKAN ATAU BERJAUHAN DARI TEMPAT BERGANTUNG
Reaksi ini adalah tindak balas normal terhadap ketidak pastian mereka atau apa yang mereka pelajari dari pengalaman sebelumnya. Mereka tidak memiliki kematangan komunikasi untuk meluahkan perasaan mereka melainkan dengan tingkahlaku.

5. REAKSI NORMAL TERHADAP KESAKITAN, KELETIHAN DAN GANGGUAN EMOSI
Seperti mana orang dewasa, mereka juga mengalami situasi sebegini. Cumanya, mereka lebih kerap meluahkannya dengan tingkah laku. Jangan lupa orang dewasa pun ada juga berperangai sebegini.

Ibu Ayah Stres Punca Anak Buat Perangai. Aura Negatif Terkesan Pada Mereka!

IKLAN

6. KEHENDAK IBUBAPA YANG SUKAR DIPENUHI
Jangan letakkan jangkaan untuk anak-anak untuk berperilaku sempurna seperti dewasa pada setiap ketika (dewasa pun tak mampu penuhi kehendak ini). Adakalanya ibubapa perlu terima hakikat sesetengah tingkahlaku adalah kerana mereka masih kanak-kanak.

7. DRAMA IBU BAPA
Stress boleh berjangkit! Bila ibu bapa tidak mengurus emosi dengan baik, tekanan dan bebanan yang mereka hadapi singgah pada anak-anak. Drama mereka disambung oleh anak-anak dengan watak dan jalan cerita yang berbeza.

Banyak tenaga, suara, masa dan emosi dapat dijimatkan bila kita dapat kenal pasti punca dan selesaikannya dari puncanya dengan lebih rasional. Dalam hiruk pikuk cabaran mendidik anak-anak, ada ketika kita perlu mengambil beberapa langkah kebelakang dan berfikir…”kenapa agaknya anak bertuah ini jadi sebegini?” Mungkin jawapannya ada pada kita.

Kredit: Dr Rozanizam Zakaria

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI