Semua ibu ayah nak anak mereka sihat. Tapi kalau anak berpenyakit, tolong jangan bagi mereka makan sebarang suplemen tanpa kebenaran doktor. Hari ini macam-macam jenis ubat yang di jual dipasaran didakwa boleh mengubat pelbagai jenis penyakit.
Ibu bapa mana yang sanggup melihat si kecil menanggung kesakitan hingga apa sahaja yang orang kata boleh mengubat penyakit anak dia akan cuba. Tetapi pesan doktor, janganlah sampai terlalu mudah percaya suplemen yang tidak tahu dari mana mampu menyembuhkan penyakit-penyakit kronik.
Baca kisah yang dikongsi oleh Pakar Dietetik Pediatrik, Ruqqayah Muhd bagaimana mudahnya peniaga ‘ubat’ yang didakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit ini mengambil kesempatan terhadap ibu ayah yang menghadapi kesulitan anak sedang sakit kronik.
Ibu pesakit saya datang membawa sebotol suplemen kepada saya. “Boleh ke saya nak bagi anak saya makan. Orang yang jual ni cakap boleh sembuh kanser anak saya.”
Saat itu saya rasakan membuak darah naik ke muka saya.
” Penjual suplemen tu siapa? Doktor onkologi ke?” tanya saya sambil menahan rasa geram.
” tu saya maghi tanya Cik Qay dulu. Tak berani beli.” tulus ibunya menjawab.
” Takpe. Saya lebih suka Ma tanya saya dari terus bagi anak makan. Suplemen ni kita tak tahu apa isinya. Kapsul putih macam ni mana pun boleh beli. Isi serbuk kayu, akar kayu pun boleh. Botol pun tak ada label. Macamana nak tahu apa kandungannya. Cop dan kelulusan KKM lagi lah tak ada kan.”
“Kalau makan tak jadi apa-apa tak apa. Tapi anak sekarang dah agak ‘ill’. Platlet rendah. Sembap tangan kaki perut sebab albumin rendah. Bacaan buah pinggang yang sedang elok takut makin teruk pula.” jelas saya.
“Orang boleh kata, boleh suruh jual itu ini dengan claim macam-macam. Ma dan abah yang kena kuat supaya tak ambil dan bagi pada anak. Anak tu anak kita. Kita yang kandung dia. Kita yang jaga dia. Jadi apa-apa kita yang sedih. Kita yang menyesal nanti. Jangan bila dah berlaku baru Ma nangis air mata darah. Tak guna dah. “
” Ada nak tanya apa pasal makanan, diet tanya saja. Mesej pun tak apa. Saya tolong mana yang saya tahu.” terang saya panjang lebar pada ibu pesakit pagi ini.
Dia berlalu dengan puas hati.
Kesan suplemen hingga anak maut
Saya marah. Saya geram dalam diam. Mudahnya orang cari duit zaman ini. Menggunakan kesulitan orang lain demi mengisi poket sendiri.
Semalam saya terima mesej seorang ibu arwah pesakit saya yang mengalami depresi setelah kematian anaknya.
Mati itu sudah pasti bagi siapa pun.
Tetapi dalam keadaan anak yang nampak stabil dan tiba-tiba datang kembali ke wad dalam keadaan ‘ill’ membuatkan tim perawat pelik. Sehingga hari ini tidak tahu bahawa anaknya disogok dengan pelbagai suplemen yang dikatakan menyembuhkan anak.
“Oh..lebam tu tanda nyah toksik.” Rupanya platletnya makin rendah.
” Muntah tu biasalah. Badan tengah cuba serasi dengan ubat.” Dia tidak tahu, muntah hitam bermakna sudah bercampur darah biasanya.
“Tak apa. Teruskan suplemen ni untuk anak. Tak payah pergi lagi hospital tu. Ubat hospital tu yang buat anak lagi teruk. Tunggu bagi habis suplemen ni dua minggu lagi baru pergi.”
Itu kata-kata penjual yang kononnya pandai dan arif lagi tahu.
Tetapi ibu ayahnya bawa juga anak ke hospital seperti dijanjikan. Bacaan hati dan buah pinggangnya mendadak naik dalam masa seminggu lebih.
Mungkin dek racun sampah yang membunuh dengan senyap. Mungkin juga keadaan anak yang semakin tidak sihat.
Sudah dimasukkan ke ICU pun masih dipujuk supaya terus diberi ubatan tersebut. Kononnya ubat hospital bawa mudarat.
Tanpa melihat. Tanpa memeriksa anak kecil yang bergantung dengan pelbagai mesin itu dia memberi konsultansi.
Mudahnya hidup begini.
Anak ini telah pergi.
Meninggalkan ibu dan ayah dengan kekesalan dan lara yang berpanjangan. Takkan mampu dapat diubati kesakitan yang mereka rasai walau seribu tahun lagi.
Ibu ayah mana pun akan sehabis daya mencari kesembuhan buat anak. Silap dengar nasihat, anak yang menerima padah.
Si penjual suplemen boleh bersukaria dan senang hati.
Mana dia tahu, hati lara seorang ibu yang jiwanya telah dibawa.
Tunggulah sampai di mahsyar nanti.
Tidak di dunia ini, di sana nanti pasti.
Ruqayyah Muhd.
Dietitian Pediatrik
Sumber: Medical Mythbusters Malaysia
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI