Kehamilan

Ibu Bakal Bersalin Wajib Tahu 3 Cara Kenali Kontraksi Bersalin.Barulah Tak Tertukar Dengan Kontraksi Palsu!

Share

Menjelang tarikh jangkaan bersalin dua minggu lagi, Shafini mengalami kontraksi. Dia fikir, masa bersalin sudah tiba sehingga mengambil keputusan ke hospital kerana panik. Setelah diperiksa, serviksnya belum terbuka. Selang beberapa hari, kontraksi tersebut datang lagi dan kali ini ia lebih tegang meski pun ritma tidak teratur. Sekali lagi dia ke hospital. Namun, doktor menyuruhnya pulang dengan alasan masa bersalin Shafini belum tiba.

Bagi anda yang bakal bersalin, kontraksi sebegini dikenali sebagai kontraksi palsu. Ia juga dikenali sebagai Braxton Hicks. Hal inilah yang berlaku kepada Shafini sebelum ini. Semakin hampir dengan tarikh jangkaan, kontraksi Braxton Hicks ini akan semakin kuat dan kerap. Kontraksi ini palsu sehingga menyebabkan sesetengah wanita menyangka proses kelahiran sudah bermula dan bakal bersalin dalam masa terdekat. Ada yang sudah ke hospital tetapi diarahkan pulang ke rumah kerana ia hanyalah Braxton Hicks.

 

KENALI KONTRAKSI BERSALIN

Ada yang mengatakan kontraksi bersalin adalah seakan-akan senggugut. Kontraksi bersalin adalah keadaan di mana otot uterus yang menguncup dan meregang. Ia digambarkan seperti rasa memulas yang bermula daripada bahagian belakang dan membawa ke bahagian hadapan abdomen. Ada juga yang mengatakan kontraksi bersalin adalah seperti tekanan pada bahagian belakang.

Semasa kontraksi, bahagian abdomen menjadi keras. Kontraksi membantu kelahiran dengan melembutkan bahagian atas uterus (fundus) untuk menguncup dan menebal manakala bahagian bawahnya meregang dan relaks. Keadaan ini membantu bayi meluncur dari dalam uterus ke laluan serviks untuk dilahirkan.

 

LANGKAH MENGIRA

Sebagai ibu kali pertama atau pertama kali bersalin secara normal, kontraksi sukar untuk dibezakan dengan perkiraan kasar. Maka, langkah-langkah tertentu perlu diambil untuk mengenal pasti kontraksi yang dirasakan. Antara langkah yang perlu diambil ialah seperti berikut;

1) Jangka masa
Anda boleh membezakan antara kontraksi hendak bersalin dan Braxton Hicks dengan cara mengira sela masa antara kontraksi pertama dan kontraksi kedua. Sekiranya ia menunjukkan bacaan masa yang berbeza dan tidak teratur, maka ia adalah kontraksi Braxton Hicks. Kontraksi sebenar akan berlaku dalam jarak masa lima minit dengan kontraksi berikutnya. Ia berlaku teratur dan setiap kontraksi berlangsung selama kira-kira 60 saat.

2) Catatan
Catat masa dan tempoh kontraksi berlangsung pada sekeping bertas untuk membolehkan anda mengenal sama ada kontraksi palsu atau sebenar.

Contoh catatan kontraksi bersalin adalah seperti berikut;

WAKTU TEMPOH KONTRAKSI

  • 10:00 PAGI 45 saat
  • 10:10 PAGI 45 saat
  • 10:15 PAGI 55saat
  • 10:20 PAGI 55 saat
  • 10:25 PAGI 60 saat
  • 10:30 PAGI 60 saat

3) 5 minit atau kurang
Sekiranya kontraksi seperti di atas iaitu berlaku pada sela masa lima minit sekali atau kurang, maka anda sedang berada dalam fasa kelahiran aktif. Jangan berlengah. Sila ke hospital dalam kadar segera kerana ia kontraksi bersalin yang sebenar sudah berlaku.

 


10 INFO MENGENAI BRAXTON HICKS

  1. Braxton Hicks adalah kontraksi yang tidak teratur, lemah dan tidak dijangka.
  2. Sekiranya posisi atau kedudukan boleh menghentikan kontraksi yang sedang dialami, maka ia adalah Braxton Hicks.
  3. Braxton Hicks tidak menyebabkan berlakunya sebarang pendarahan atau kantung air ketuban pecah.
  4. Ia adalah kontraksi uterus yang berlaku pada trimester ketiga kehamilan. Ia adalah normal bagi setiap ibu yang hamil. Malah ada yang mendapat kontraksi palsu ini pada trimester kedua lagi.
  5. Keadaan ini merupakan persediaan uterus untuk melalui fasa melahirkan kelak.
  6. Semakin kerap dan tegangnya Braxton Hicks yang dirasakan, maka semakin hampir dengan kelahiran. Dengan cara ini, mama boleh mengagak masa bersalin dan membuat persediaan mental dan persiapan material.
  7. Kebanyakan wanita melaporkan bahawa Braxton Hicks akan berlaku kerap sekiranya mereka tidak meminum air yang cukup.
  8. Bagi anak kedua dan seterusnya, Braxton Hicks akan mula dirasai lebih awal.
  9. Pergerakan ibu yang aktif juga boleh mencetuskan Braxton Hicks.
  10. Hubungan intim khususnya orgasm juga dikatakan penyebab berlakunya kontraksi palsu ini.

 

Published by
Shahar Najmi