Ibu bapa jangan takut-takutkan anak dengan ‘hantu,’ kesannya anak jadi penakut, boleh tinggalkan parut psikologi. Kenapa masih ada ibu bapa yang masih menakutkan anak-anak mereka dengan ‘ada hantu’ semata-mata untuk memudahkan urusan kekeluargaan.
Ibu Bapa Jangan Takut-takutkan Anak Dengan ‘Hantu’
Menurut Najmi Nawawi, teknik parenting dengan cara menakutkan anak-anak akan hantu akan memberi kesan buruk pada mereka. Ingatlah anak-anak mempunyai daya imaginasi yang sangat hebat. Cerita-cerita yang diada-adakan akan dibayangkan oleh anak-anak dengan 100% benar dalam minda mereka.
Kesannya Anak Jadi Penakut, Tinggalkan Parut Psikologi
Bahkan ia juga boleh membawa kepada kesan jangka masa panjang terhadap ‘psychological consequences’ khususnya ketakutan kepada tempat-tempat gelap secara melampau.
Ia umpama sebuah ‘psychological scars’ yang akan memberi kesan kepada anak sampai bila-bila seumur hidup mereka. Kasihanilah anak-anak, kenapa kita perlu takut-takutkan mereka dengan hantu, semata-mata untuk memudahkan urusan kerja kita.
Jika kita berterusan menakutkan minda kecil mereka itu dengan hantu, ia akan terus mempengaruhi minda ‘subconscious’ dan ‘unconscious’ anak-anak yang seterusnya boleh membawa kepada risiko penyakit mental yang lebih menyedihkan.
Kita tidak tahu kemampuan penerimaan anak-anak terhadap apa yang kita ceritakan kepada mereka. Lebih-lebih lagi cerita-cerita itu datang daripada mulut ibu bapa mereka sendiri.
Umpama melontarkan batu ke dalam laut, kita tidak tahu sedalam mana batu itu akan tenggelam. Maka berhati-hatilah dalam bercerita atau menakutkan anak-anak.
Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari. Kerana antara kesan menakutkan anak dengan hantu ialah insomnia, tidur dengan tv terbuka dan lampu tidak ditutup. Masalah dalam akademik kerana anak gagal untuk fokus di dalam kelas dan banyak lagi.
Ibu bapa perlu kreatif dalam mendidik anak-anak. Banyak lagi cara lain untuk pastikan anak mendengar kata, tolong jangan guna cara takutkan anak dengan hantu.
Cara Mengelakkan Anak Takut Hantu
Takut hantu adalah salah satu ketakutan yang biasa dialami oleh kanak-kanak. Cerita-cerita seram atau pengalaman yang menakutkan boleh menyebabkan mereka merasa takut, terutama pada waktu malam. Berikut adalah beberapa cara yang boleh ibu bapa lakukan untuk membantu anak-anak mengatasi ketakutan mereka terhadap hantu.
1. Elakkan Cerita Seram
Elakkan menceritakan atau menonton cerita seram bersama anak-anak, terutama sebelum waktu tidur. Cerita-cerita ini boleh mencetuskan imaginasi mereka dan menyebabkan mereka merasa takut. Sebaliknya, pilih cerita yang positif dan menghiburkan.
2. Terangkan Apa Itu Hantu
Berbincang dengan anak-anak tentang hantu dengan cara yang sesuai dengan umur mereka. Jelaskan bahawa hantu hanyalah khayalan dan tidak wujud dalam dunia nyata. Memberikan penjelasan yang logik boleh membantu mereka memahami dan mengurangkan ketakutan.
3. Berikan Rasa Selamat
Pastikan persekitaran rumah adalah tempat yang selamat dan selesa untuk anak-anak. Biarkan mereka tidur dengan lampu malam jika perlu, dan pastikan mereka tahu bahawa anda sentiasa ada untuk melindungi mereka. Rasa selamat adalah penting untuk mengatasi ketakutan.
4. Gunakan Mainan atau Objek Kesayangan
Mainan atau objek kesayangan boleh memberikan rasa selamat kepada anak-anak. Biarkan mereka tidur bersama patung kesayangan atau selimut yang mereka suka. Ini boleh membantu mereka merasa lebih tenang dan kurang takut.
5. Ajarkan Teknik Relaksasi
Ajarkan anak-anak teknik relaksasi seperti pernafasan dalam atau meditasi ringkas. Teknik-teknik ini boleh membantu mereka menenangkan diri apabila mereka merasa takut. Latih mereka untuk mengambil nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan apabila mereka merasa cemas.
6. Bercakap Tentang Ketakutan
Dengarkan dan berbincang dengan anak-anak tentang ketakutan mereka. Jangan memandang ringan perasaan mereka. Bantu mereka mengenal pasti apa yang menyebabkan mereka takut dan bincangkan cara-cara untuk mengatasinya. Sokongan emosi dari ibu bapa sangat penting.
7. Gunakan Cahaya Malam
Jika anak anda takut gelap, gunakan lampu malam di bilik mereka. Cahaya yang lembut boleh membantu mengurangkan rasa takut dan memberikan rasa selamat. Pastikan lampu malam tidak terlalu terang sehingga mengganggu tidur mereka.
8. Buat Ritual Tidur yang Menenangkan
Cipta rutin tidur yang menenangkan dan konsisten. Aktiviti seperti membaca buku, mendengar muzik yang menenangkan, atau bercakap tentang hari mereka boleh membantu anak-anak merasa lebih relaks dan selesa sebelum tidur.
9. Elakkan Menakut-nakutkan
Jangan gunakan ketakutan sebagai cara untuk mendisiplinkan anak-anak. Menggunakan hantu atau cerita seram untuk mengawal tingkah laku mereka hanya akan memperburuk ketakutan mereka. Sebaliknya, gunakan pendekatan yang positif dan membina.
10. Dapatkan Bantuan Profesional Jika Perlu
Jika ketakutan anak anda terhadap hantu terlalu melampau dan menjejaskan kehidupan harian mereka, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional. Pakar psikologi kanak-kanak boleh membantu anak anda mengatasi ketakutan mereka dengan cara yang lebih berkesan.
Dengan pendekatan yang betul, ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka mengatasi ketakutan terhadap hantu. Sokongan, pemahaman, dan dorongan yang konsisten adalah kunci utama dalam membantu anak-anak merasa lebih berani dan yakin.
Sumber: Najmi Nawawi (Penulis Buku, Motivator)
Baca artikel lain juga: Marah Anak Melampau Boleh Datangkan Kesan Pada Otak, Anak Jadi Penakut!
Pergilah, Nanti Momok Ambil!” Jangan Buat Main Takutkan Anak, Besar Jadi Penakut
Biarlah Anak Nak Main Lasak Sikit, Panjat Sana Sini, Bimbang Nanti Anak Jadi Penakut!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tidak Mahu Susu Ibu Merosot Selepas Cuti Bersalin? Ikuti 8 Tip Ini
Semua ibu tidak mahu susu tidak merosot selepas cuti bersalin. Menjadi impian setiap ibu berkerjaya yang menyusukan bayi untuk mempunyai pengeluaran susu yang stabil walau pun sudah mula bekerja semula.
“Puas sudah Anis memerah tetapi penghasilan susunya semakin sedikit. Stok susu ibu perahan menyusut ekoran pengumpulan susu di pejabat yang semakin sedikit. Dahulu boleh mengumpul 20oz sehari, kini hanya mampu mengumpul 10oz atau kurang. Anis cukup risau jika perkara ini berlarutan kerana tempoh penyusuan eksklusif kepada bayinya masih panjang.”
Mungkin ada yang mengalami situasi yang dialami Anis. Menurut kaunselor laktasi, Faliyana Muda, kebanyakan ibu mengalami masalah untuk memerah payu dara setiap tiga hingga empat jam sekali apabila mula bekerja. Ia lazimnya dialami selepas cuti bersalin kerana tuntutan tugas dan kekangan masa. Hal ini dan beberapa faktor lain berkemungkinan besar menjadi penyebab penghasilan susu oleh payudara menjadi perlahan dan sedikit.
Menyedari risiko penghasilan susu yang bakal menjunam selepas kembali bekerja ibu-ibu yang menyusukan perlu lebih kreatif dalam menangani isu ini menggunakan pelbagai kaedah.
- MIND SET
Elakkan daripada merasa perlunya tempat spesifik untuk memerah.
- KEMUDAHAN
Gunakan kemudahan yang ada seperti nursing cover yang boleh menutup bahagian dada ketika memerah. Maka sesi memerah tidak dirasakan sesuatu yang membebankan ibu-ibu kerana boleh memerah di mana sahaja.
- ALAT BANTU
Menggunakan peralatan bantuan memerah seperti Freemie iaitu alat untuk menakung susu ibu yang boleh digunakan dengan mana-mana pam yang mempunyai tubing. Dengan adanya alat ini dan pam payudara yang boleh dicas, proses memerah masih boleh dilaksanakan dengan bebas tangan semasa ibu bekerja.
Kebanyakan ibu mengalami masalah untuk memerah payudara setiap tiga hingga empat jam sekali apabila mula bekerja kerana kekangan masa & tugas.
- ELAK EMOSI CEMAS
Emosi cemas dan tertekan perlu dijauhi sebaliknya cari jalan penyelesaian dengan tenang. Misalnya sekiranya tidak boleh memerah kerana suntuk masa atau perlu berkursus, cuba cari jalan untuk melakukannya dengan cara lain. Misalnya memerah semasa berkursus tanpa perlu ke surau dengan cara memakai nursing cover, jaket atau menutupnya dengan tudung.
- STIMULASI PAYUDARA
Lakukan stimulasi pada payudara. Perlu difahami penghasilan susu bergantung kepada supply and demand. Permintaan tinggi akan menyebabkan penawaran (penghasilan susu) meningkat. Cara untuk mengelakkan penghasilan susu ibu merudum ialah dengan sentiasa memberi stimulasi payu dara sama ada dengan menyusu secara terus ataupun memerah.
- PERAH TIGA JAM SEKALI
Wujudkan sesi memerah yang konsisten setiap tiga jam sekali dan jangan hanya memerah apabila merasa payudara sudah penuh. Sesi perahan yang dilakukan bukan semata-mata untuk mendapatkan susu ibu perahan tetapi adalah satu cara memberi signal kepada otak supaya menghasilkan lebih banyak susu.
Proses untuk menghasilkan susu baru tidak akan nampak dalam jangka masa singkat. Perlu diketahui, sekiranya hari ini ibu menambah sesi perahan, peningkatan penghasilan susu tidak akan dapat dilihat keesokannya. Ia akan mengambil masa seminggu atau dua minggu bergantung kepada individu.
- SOKONGAN
Dapatkan sokongan daripada orang terdekat seperti suami, ibu bapa, rakan-rakan, adik beradik, pengasuh dan majikan. Beri penjelasan dan penerangan kepada orang di sekeliling supaya mereka memahami dan menyokong amalan penyusuan susu ibu yang sedang anda lakukan.
- FIKIRKAN SESUATU YANG INDAH
Fikirkan yang indah dan keseronokan semasa memerah. Tinggalkan segala masalah buat seketika. Relaks dan perahlah payu dara dengan gembira. Tatap gambar dan video bayi anda semasa memerah bagi membantu hormon oksitosin iaitu hormon kegembiraan yang membantu penghasilan maka susu bertambah. Elakkan stres kerana ia boleh menyebabkan penghasilan susu merosot.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Percaya Tak, Mama Papa Boleh Guna Cara Ini Untuk Mudahkan Anak Anda Tidur
Kanak-kanak diketahui sebagai kelompok umur yang begitu aktif terutamanya jika mereka telah mula pandai berjalan dan mula meneroka apa yang terdapat di sekelilingnya. Keaktifan kanak-kanak kecil ini memberikan sedikit kesukaran kepada ibu atau bapa untuk menidurkan mereka sebentar atau napping.
Baca Selanjutnya: Pelukan Pertama Yang Ditunggu 11 Tahun. Bayi Lahir Selepas 6 Tahun Dibeku
Untuk pengetahuan ibu bapa, napping bayi anda sebenarnya tidaklah begitu sukar. Ia akan menjadi mudah jika digabungkan antara rutin harian kanak-kanak yang tepat bersama-sama dengan kekerapan komunikasi. Jadi, apakah caranya untuk memudahkan anak anda nap atau tidur sebentar? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Pastikan rutin harian yang konsisten setiap hari
Rutin harian memainkan peranan yang penting untuk perkembangan kanak-kanak. Ini kerana ia akan memberikan rasa selamat dan emosi yang stabil kepada mereka. Sekiranya anda boleh menidurkan anak anda pada waktu yang sama setiap hari, waktu tidur mereka akan menjadi lebih mudah memandangkan jam tubuh (body clock) mereka akan membuatkan mereka terlelap pada waktu yang boleh dijangkakan.
Cara yang disarankan adalah, tidurkan dan bangunkan mereka semula pada waktu yang tetap setiap hari. Bagi kanak-kanak yang nap dua kali sehari, mereka memerlukan 3 hingga 4 jam waktu tidur. Manakala bagi mereka yang nap sekali dalam sehari, tidurkan mereka sekitar 4 hingga 6 jam.
Habiskan tenaga anak anda sebelum mereka tidur
Memandangkan kanak-kanak sentiasa memiliki tenaga yang banyak, galakkan mereka untuk menggunakan tenaga yang ada sebelum mereka mula tidur. Ini akan membantu mereka untuk tidur dengan lebih relaks dan nyenyak pada waktu nap mereka.
Bagaimana caranya? Mudah sahaja. Bawa mereka pergi bermain di taman permainan, kelas-kelas untuk kanak-kanak atau boleh sahaja bermain di laman rumah pada waktu pagi. Percayalah, setelah mereka berasa letih, mereka akan lebih mudah tidur dan anda tidak perlu pening kepala untuk menidurkan anak anda.
Gunakan tempat atau ruangan tidur yang sama
Sekiranya anak anda tidur di biliknya sendiri pada malam hari, gunakan bilik yang sama untuk mereka tidur pada waktu siang. Ini membantu konsistensi mereka untuk tidur dengan lebih selesa. Elakkan daripada menidurkan mereka di hadapan televisyen atau di atas sofa kerana ia akan menyebabkan anak anda mendapat kualiti tidur yang buruk.
Amalkan rutin pre-nap
Pre-nap bertindak sebagai satu transisi atau pertukaran antara waktu aktif dan waktu nap anak anda. Rutin yang menenangkan ini akan memudahkan anda menidurkan anak anda tanpa perlu usaha yang lebih.
Anda hanya perlu mulakan dengan mengingatkan anak anda bahawa waktu tidur telah tiba. Kemudian, bawa mereka ke bilik tidur dan kurangkan pencahayaan bilik seperti menutup lampu dan menggunakan langsir tingkap. Peluk anak anda dan baca buku cerita pada mereka. Anda boleh juga menyanyikan sesuatu dengan suara yang perlahan. Semua ini akan memberikan ketenangan kepada anak anda dan mereka akan terlelap dengan lebih mudah.
Sekarang anda tahu, menidurkan anak anda bukanlah satu perkara yang sukar melalui penggunaan kaedah dan teknik yang betul. Kaedah ini bukan sahaja berkesan terhadap anak anda, tetapi mungkin juga boleh melelapkan anda bersama-sama anak anda. Alamatnya, tidak siaplah makanan tengahari di rumah sekiranya anda turut menyertai nap anak anda.
Sumber: Health Group
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Terapis Jelaskan Boleh Kalau Anak Nak Tidur Dalam Buaian Tapi Jangan ‘Overdose’!
“Buaian tak bagus, nanti otak anak bergegar”. Ya, penggunaan buaian memang boleh menyebabkan risiko “Shaken Baby Syndrome” ataupun bahasa kampungnya “otak bergegar” JIKA kepala bayi terhentak di lantai ataupun membuai terlampau laju sehingga leher bayi yang masih belum kuat itu terangkat dari atas ke bawah.
Menurut Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi isu tentang keburukan buaian terlampau banyak jika disebabkan kecuaian:
– Kes “Shaken Baby Syndrome”
– Kes bayi tercampak
– Kes buaian terputus dan bayi terjatuh
– Kes bayi turun sendiri buaian
– Kes bayi tersedak susu dan lemas
– Kes rangka buaian hempap bayi dll
Kalau nak listkan memang banyak dan bagi saya, kalau dah namanya CUAI apa-apa benda pun bahaya untuk bayi. Selimut pun bahaya untuk bayi sebab boleh menyebabkan risiko lemas.
Jadi, saya nak ceritakan apa yang orang tak tahu tentang kegunaan buaian untuk bayi.
Setiap anak adalah berbeza dan mempunyai keperluan sensori yang berbeza. Ada bayi yang tepuk-tepuk sikit dah tidur, malah ada bayi yang boleh tertidur dengan sendiri! Salah satu impian semua mak ayah termasuk saya. Tetapi, ada bayi yang buatlah macam-macam cara dari tepuk berjam-jam, menyanyi atau selawat, bagi puting tiruan, usap-usap kepala dan sebagainya selama berjam-jam tetapi anak tetap menangis.
Walaupun mata dah merah mengantuk tetapi tetap tak boleh tidur sampaikan mak ayah tak boleh tidur malam sebab “mengerjakan” bayi. Cara terakhir adalah dengan cara berdukung sambil didodoi, baru anak tidur.
Bila dah dodoi, masalah lain pula timbul. Anak menangis bila berhenti dodoi. Adakah sebab mak ayah tak ada bakat menidurkan bayi? Tidak, mungkin bayi anda dalam kategori “high need” disebabkan keperluan sensori, perhatian, sosial dan fizikal lebih dari bayi lain. Jangan risau, ia juga salah tanda bayi sangat peka dengan persekitaran dan bakal mempunyai EQ yang tinggi. (Nanti saya kongsikan tentang ini dengan lebih lanjut).
Mungkin ada yang akan kata:
“Alah, letak je dia dalam baby cot tu jangan manjakan sangat. Seminggu dua oklah tu”
Orang yang mengalaminya sahaja memahami betapa “perlunya” buaian dalam kehidupan anak. Sama juga dengan kes puting tiruan (topik lain).
Anak A, cara A. Anak B, cara B. Kalau kita dikurniakan anak “senang jaga” bersyukurlah dan jangan sesekali mengherdik mak ayah lain yang mempunyai anak “susah jaga” sebab banyak dosalah, banyak buat jahatlah dan sebagainya.
Bayi bawah umur 6 bulan tak pandai menipu ataupun manipulasi mak ayah lagi. Jika dia menangis, mesti ada yang tak cukup ataupun ada sesuatu yang dia nak beritahu. Kalau dia nak didodoi ataupun dibuai, memang itulah keperluannya. Menangis lama semasa anak bawah umur 6 bulan boleh memberi kesan negatif dalam perkembangan bayi.
KEBAIKAN BUAIAN UNTUK PERKEMBANGAN BAYI
Pendapat saya, tak salah guna buaian asalkan selamat dan sentiasa dipantau kerana penggunaan buaian adalah salah satu cara untuk merangsang deria vestibular (keseimbangan dan pergerakan) yang penting untuk skil motor kasar anak. Syaratnya tak boleh OVERDOSE sahaja (Baca sampai habis). Kelebihan buaian:
- MENENANGKAN BAYI
Dulu semasa bayi dalam rahim, 9 bulan bayi dalam kedudukan terawang-awangan. Kejap kepada di atas, kejap kepala di bawah dan berpusing sehinggalah saat bayi keluar dari rahim. Graviti di dunia nyata ini sangat berlainan bagi bayi umpama kita pergi ke planet lain, pasti kucar kacir dan ada masa rindukan graviti di bumi sebab susah nak bergerak.
Ada bayi yang cepat “move on”, keluar-keluar terus elok sahaja dapat sesuaikan diri dengan “planet” baru, ada bayi perlukan masa untuk “move on” sebab itu asyik nak berbuai macam dalam rahim ibu. Buaian memang terbukti boleh menenangkan bayi sebab mimik seakan-akan dalam rahim ibu buat bayi terkenang-kenang kenangan dengan ibu. (Rindu pula rasa)
- DERIA PERGERAKAN DAN KESEIMBANGAN
Kedudukan berbuai tak kiralah dengan menggunakan buaian tradisional ataupun buaian moden boleh memberikan bayi perasaan bergerak dan belajar untuk imbangkan badan setiap kali buaian bergerak.
- PERKEMBANGAN MOTOR KASAR
Kalau nak tahu, sebenarnya sejarah buaian gantung menggunakan kain sarong adalah berasal dari nenek moyang kita (South East Asia) dan memang terbukti berkesan boleh membantu menenangkan bayi dan bagus untuk merangsang perkembangan motor kasar.
Kini di barat pun dah banyak guna buaian untuk menenangkan bayi, sebab itu sekarang ada banyak produk buaian seperti rocker, bouncer dan sebagainya di pasaran antarabangsa. Jangan terkejut jika saya kata, buaian juga adalah salah satu alat terapi untuk anak mempunyai masalah perkembangan kanak-kanak (Rugi dulu nenek moyang kita tak “patent”kan )
Tetapi masalah yang timbul sekarang bila banyak penyalahgunaan buaian. Lepas itu nak kata
“Orang dulu ok je semua anak-anak guna buaian, jadi orang jugak. Sekarang ini semua benda tak boleh sebab ikut barat sangat”
Bawah ini saya bandingkan ya DULU VS SEKARANG:
- KEDUDUKAN BUAIAN
Dulu mak nenek kita guna buaian gantung dari siling yang statik dan kukuh, kalau buaian ada dekat ruang tamu di situ sahajalah anak akan dibuai. Kalau pergi tempat lain, anak dah biasa hanya “dibuai” guna henjutan kaki dan biasanya akan berhenti guna buaian bila anak dah pandai memanjat.
Tetapi di zaman moden, buaian boleh bawa di mana-mana sebab ada roda, jadi anak dah dimanjakan dimana-mana boleh dibuai. Dapur boleh, bilik pun boleh menyebabkan bayi menjadi terlalu bergantung kepada buaian sehinggakan pergi mana-mana kena bawa buaian.
- DURASI ANAK BERBUAI
Dulu mak nenek kita buai anak sambil duduk disebelah anak sampai anak tidur. Bila anak dah tidur, berhenti berbuai.
Zaman moden mak dah tak perlu duduk sebelah sebab dah ada buaian elektrik. Anak dah tidur berejam pun masih dalam keadaan berbuai. Menyebabkan “overdose” rangsangan vestibular. (Risiko anak mengalami masalah keseimbangan badan dan perkembangan motor kasar di masa akan datang).
- “ALARM CLOCK”
Kalau dulu buai berhenti dan anak terbangun pasti anak akan menangis umpama “alarm clock”. Maka, mak nenek kita akan terus berlari dapatkan anak sebab risau anak melasak dalam buaian.
Masalah sekarang bila guna buaian elektrik, dari anak belum tidur sampailah bangun tidur dalam keadaan sama berbuai menyebabkan “alarm clock” anak tak berfungsi menyebabkan mak ayah tak perasan anak dah terjaga dan melasak dalam buaian sampai terjatuh.
Nak bandingkan ada banyak lagi point, tetapi pokok pangkal masalah buaian adalah cara penggunaannya. Kalau nak guna tak ada masalah, tetapi pastikan selamat. Nasihat saya:
CARA GUNA BUAIAN DENGAN BETUL
- Jangan guna “overdose”, maksimum 2 jam sahaja sehari supaya anak banyak masa “tummy time” di lantai. Guna buaian bagus, tapi kalau 12 jam sehari anak berbuai tak belajar untuk kuatkan otot-otot untuk meniarap dan merangkak tak elok juga.
- Elakkan guna buaian waktu malam untuk elakkan risiko anak lemas di dalam buaian tanpa kita sedar. Jadikan rutin waktu malam tidur di tilam.
- Kalau nak guna buaian tradisional, cari rangka yang paling stabil (ada 4 point). Kalau tak ada roda lagi bagus.
- Letakkan lapik atau tilam lembut di bawah dan tepi buaian untuk elakkan kepala anak terhantuk di lantai.
- Sentiasa “update” ketinggian buaian dan lantai.
- Elakkan membuai bayi semasa marah atau stress sebab boleh menyebabkan risiko terbuai terlalu laju bila anak menangis.
- Elakkan letak bantal, selimut, anak patung dalam buaian semasa anak belum reti mencapai barang sebab risiko anak lemas. Cukup sekadar mainan gantung sahaja.
- Selain daripada berbuai atas dan bawah, boleh pelbagaikan pergerakan kanan, kiri, depan dan belakang.
- Elakkan bergantung kepada buaian elektrik dan tinggalkan bayi tanpa pengawasan.
Kalau yang nak guna cara tradisional WAJIB guna tips di atas. Kalau yang belum ada buaian dan memerlukan buaian, saya lebih sarankan guna “bouncer” moden yang lebih selamat untuk membantu bayi. Cara guna sama seperti dia atas, maksimum 2 jam sahaja sehari.
Kesimpulannya, guna buaian boleh jika guna dengan cara yang betul dan elakkan terlalu bergantung dengan buaian. Penting juga ajar bayi untuk “move on” dan berpijak di dunia yang nyata.
Sumber: Maryam Jamadi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI