Ibu Bapa Mangsa 2 Beradik Rentung Masih Trauma. Polis Beri Ruang Ambil Keterangan

Share

Polis belum mengambil keterangan ibu bapa kepada dua beradik yang rentung dalam kebakaran di Kampung Simpang Tiga, Gombak, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, buat masa ini polis memberi ruang kepada ibu bapa mangsa yang masih trauma.

“Kita kena faham perlu kasihan ibu bapa tengah dalam keadaan susah macam itu. Atas dasar kemanusiaan bagilah peluang mereka masih trauma. Kita tak duduk tempat dia kita tidak tahu.

“Hospital sedang menguruskan post mortem (bedah siasat) jenazah dan sebagainya sebelum dikebumikan kelak ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN [“Jumpa Kakak Dekat Almari baju, Adik Sebelah Katil..” Datuk Reda Cucu Pergi Serentak]

[“Mangsa Cuba Keluar, Tapi Pintu Jeriji & Terkunci.” Dua Beradik Maut Rumah Terbakar]

Menurut Zainal Mohamed, setakat pukul 10 pagi ini, jenazah dua beradik masih dalam urusan pihak hospital.

Katanya, beliau akan berjumpa dengan ibu bapa berkenaan namun sedang menunggu kebenaran pihak hospital untuk proses siasatan lanjut.

Kebakaran kira-kira pukul 3.30 pagi yang melibatkan tiga kediaman itu mengorbankan nyawa d Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, di rumah mereka.

Jenazah dua beradik itu ditemukan di bilik utama rumah berkenaan selepas operasi pemadaman selesai.

Sebelum ini media melaporkan nenek mangsa yang ingin dikenali sebagai Normala, 48, berkata, ketika kejadian, anak perempuan dan menantunya tidak membawa kedua-dua cucunya keluar kerana mereka dipercayai sedang tidur.

“Saya dimaklumkan kejadian kira-kira 4 pagi dan ketika kejadian anak saya dan suaminya pergi keluar makan pukul 3 pagi kerana anak saya yang mengandung mengidam nak makan,” katanya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dilapor perlu mendapatkan laporan polis sebelum menentukan sama ada ibu bapa mangsa melakukan kecuaian hingga menyebabkan mangsa maut dalam kebakaran di rumah mereka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, dilaporkan berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung kebakaran itu untuk sama ada ibu bapa mangsa melakukan kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana cuai.

Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menggariskan mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak.

Seksyen 31(1)(a) menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Kredit: UTUSAN

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

 

Published by
Wan Amy