Keibubapaan

Ibu Bapa Pilih Kasih Pada Anak, Ini Hukumnya Seperti Dijelaskan UAI

Share

Ada ibu bapa tanpa sedar atau menyedari bahawa mereka sebenarnya pilih kasih pada anak-anak. Anak yang pandai lebih disayangi manakala anak yang kurang pandai selalunya kurang diberi perhatian atau dipandang sebelah mata.

Biarpun anak-anak masih kecil, tetapi mereka juga mempunyai perasaan. Jika dimarahi, tetap akan terasa walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi kecil hati dan sebagainya. Salah satu keadaan di mana ibu ayah mungkin tidak sedar yang kita sebenarnya sedang menyakitkan hati anak-anak adalah apabila kita bersikap pilih kasih.

Ibu Bapa Pilih Kasih Pada Anak

Adakah kita dibenarkan untuk pilih kasih antara anak-anak? Salah atau tidak jika kita melayan anak secara berat sebelah? Berikut adalah penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus berkaitan hal ini.

Ini Hukumnya Seperti Dijelaskan UAI

Apakah hukumnya ibu bapa yang pilih kasih kepada anak-anaknya? Hukum ibu bapa pilih kasih di antara anak-anak adalah dilarang oleh agama.

YANG DIMAKSUDKAN PILIH KASIH YANG DILARANG INI IALAH PADA PERKARA ZAHIR YAITU MELEBIHKAN PEMBERIAN NAFAQAH ATAU HADIAH ATAU SEUMPAMANYA DARIPADA YANG BANGSA ZAHIR KEPADA SEBAHAGIAN ANAK YANG DIA KASIH.

Ada pun hati lebih kasih kepada sebahagian anak maka ia tidak termasuk yang dilarang kerana hati manusia tidak boleh untuk menyamakan perasaan kasih kepada semua.

Telah diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir r.a. berkata :

انْطَلَقَ بِي أَبِي يَحْمِلُنِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ اشْهَدْ أَنِّي قَدْ نَحَلْتُ النُّعْمَانَ كَذَا وَكَذَا مِنْ مَالِي ، فَقَالَ : أَكُلَّ بَنِيكَ قَدْ نَحَلْتَ مِثْلَ مَا نَحَلْتَ النُّعْمَانَ؟ قَالَ : لَا . قَالَ : فَأَشْهِدْ عَلَى هَذَا غَيْرِي ثُمَّ قَالَ : ( أَيَسُرُّكَ أَنْ يَكُونُوا إِلَيْكَ فِي الْبِرِّ سَوَاءً ؟ قَالَ : بَلَى ، قَالَ : فَلَا إِذًا

Artinya : “Aku berangkat bersama bapaku kepada Rasulullah saw maka kata bapaku : Wahai Rasulullah. Sungguhnya aku telah memberikan pemberian akan Nu’man suatu dari hartaku. Lalu sabdanya : Adakah semua anak-anakmu kamu beri sebagaimana kamu beri kepada Nu’man? Kata bapaku : Tidak. Jawab Rasulullah : Bersaksilah atas ini oleh selainku kemudian berkata : Adakah kamu suka sekiranya semua anak-anakmu sama-sama berbuat baik kepadamu? Jawab bapaku : Ya. Kata Rasulullah : Kalau begitu jangan buat begini.” (Hadith Imam Muslim)

Dan pada riwayat yang lain Rasulullah saw berabda kepada bapa Nu’man :

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْدِلُوا بَيْنَ أَوْلَادِكُمْ

Maksudnya : “Maka hendaklah kamu takut akan Allah dan hendaklah kamu berlaku adil antara anak-anakmu.”

Menyebut tentang impak sekiranya kita pilih kasih pada anak, mereka mungkin akan mengalami beberapa keadaan ini:

– Kurang keyakinan diri
– Kemurungan
– Cenderung bertindak kasar atau agresif
– Mengalami gangguan pembelajaran
– Berpotensi untuk mempunyai masalah komunikasi dengan orang sekeliling

Selain itu, untuk anak-anak yang terlalu diberi perhatian pula mungkin akan:

– Mengalami masalah dengan adik-beradik yang lain kerana rasa iri hati
– Mudah merasa terkongkong
– Tidak pandai berdikari dan terlebih manja
– Sentiasa memberontak dan tidak pandai untuk bertoleransi dengan orang lain

Sebagai ibu ayah, sebaik-baiknya cubalah mengelak untuk mempunayi sikap pilih kasih ini kerana ia memberi efek yang negatif pada anak-anak. Selain mengganggu proses tumbesaran mereka, keadaan ini akan menyebabkan anak cenderung memberontak dan sentiasa berperangai negatif.

Sumber: Instagram Ustaz Azhar Idrus

 

Published by
Has