Ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan memasuki kelas prasekolah, TABIKA atau TADIKA kendalian kerajaan dan swasta ketika menghantar anak mereka bermula 1 Julai ini.
Selain itu, pengendali harus memastikan tiada penggunaan permaidani, tikar dan ‘skirting’ meja di kelas ketika operasi prasekolah, TABIKA dan TADIKA.
Peraturan itu antara prosedur operasi standard (SOP) dalam garis panduan pengurusan pembukaan semula prasekolah, TABIKA dan TADIKA oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perpaduan Negara.
Garis panduan ini disediakan dengan perbincangan bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum diluluskan pada 15 Jun lalu, melalui Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 53 Tahun 2020.
Garis panduan yang dilaksanakan ini terbahagi kepada pentadbir, guru dan pembantu pengurusan murid (PPM), ibu bapa atau penjaga, pengoperasian dan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
ARTIKEL BERKAITAN [Prasekolah & Tadika Dibuka Semula Mulai 1 Julai. Semua Wajib Ikut SOP!]
Ibu Bapa Digalakkan Hantar Anak Untuk Pembelajaran Lebih Lengkap
Ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk menghantar anak mereka ke prasekolah, TABIKA atau TADIKA bulan depan bagi memastikan kanak-kanak dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran asas sebagai persediaan untuk tahap pembelajaran seterusnya.
Pada masa sama, pengendali kelas prasekolah, TADIKA atau TABIKA juga harus menyediakan bilik kesihatan atau bilik sakit yang dijadikan sebagai bilik pengasingan untuk menempatkan murid yang didapati bergejala, sebelum dibawa pulang oleh ibu bapa atau penjaga untuk rawatan.
Kegiatan berkumpulan yang dijalankan membabitkan kanak-kanak ini ketika berada di prasekolah, TABIKA dan TADIKA juga tidak membabitkan sebarang sentuhan.
Pembabitan pihak luar dalam PdP secara bersemuka juga tidak dibenarkan dengan aktiviti PdP luar bilik darjah hanya boleh dilaksanakan di sekitar bilik darjah dengan mengamalkan penjarakan sosial dan tidak dibenarkan menggunakan kemudahan dan alat permainan luar.
Selain itu, lawatan sambil belajar dalam atau luar kawasan prasekolah, TABIKA atau TADIKA juga tidak dibenarkan.
Tempoh masa operasi seperti yang ditetapkan dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017) dan kehadiran murid ke prasekolah, TABIKA atau TADIKA semasa pembukaan semula bergantung kepada kapasiti bilik darjah dengan mengambil kira penjarakan sosial.
Bagi garis panduan yang lebih lengkap, pihak pentadbir, guru dan PPM serta ibu bapa dan penjaga boleh melawat laman web Kementerian Pendidikan di https://www.moe.gov.my/pemberitahuan/pengumuman/buka-semula-prasekolah
Sumber: Berita Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI