Bagi ibu bapa yang ‘berhajat’ untuk memakaikan pendakap gigi pada anak mereka yang ‘istimewa’ ada beberapa perkara yang perlu diambil tahu. Pendakap gigi untuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah disifatkan sebagai rawatan elektif untuk mereka. Indikasi dan kriteria untuk rawatan adalah sama dengan kanak-kanak normal.
Apa yang membuatnya berbeza adalan pelan rawatan dan perlaksanaan penjagaan pergigian yang akan diubah mengikut kemampuan pesakit, pemberian kerjasamanya dan penjagaan di rumah.
Perlukah kanak-kanak berkeperluan khas memakai pendakap gigi?
Terdapat beberapa faedah memakai pendakap gigi. Ianya termasuk:
*Memperbaiki susunan gigi dan kecantikan senyuman
*Memperbaiki kesihatan pergigian kerana gigi yang tersusun lebih mudah dibersihkan
*Memperbaiki pertuturan dan daya kunyahan dalam situasi di mana gigi hadapan tidak bersentuhan antara satu sama lain. Dengan pendakap gigi, posisi gigi boleh diperbetulkan dan fungsi gigi akan menjadi lebih baik
Seperti juga kanak-kanak normal, kanak-kanak berkeperluan khas tidak semestinya memerlukan pendakap gigi sekiranya mereka tidak mahu memakainya. Pendakap gigi mudah memerangkap makanan di celahan gigi. Ini akan meninggikan risiko penyakit pergigian seperti karies gigi sekiranya kebersihan mulut tidak dijaga sepanjang rawatan.
Mengapa Kanak-kanak Berkeperluan Khas Memerlukan Perhatian Khas Sepanjang Rawatan Pendakap Gigi?
*Sering mempunyai kefahaman yang rendah, tahap kebimbangan yang tinggi, tempoh tumpuan yang pendek dan daya toleransi yang terbatas
*Mempunyai pergerakan anggota yang tidak terkawal membuatkan mereka sukar untuk duduk di kerusi pergigian
*Mempunyai tahap kerjasama yang rendah
*Mempunyai refleks geg (rasa nak muntah) dan fobia kepada rawatan pergigian
*Mempunyai aliran air liur yang tidak terkawal
Apakah Jenis-jenis Pendakap Gigi Untuk Kanak-kanak Berkeperluan Khas?
Jenis rawatan yang diberikan untuk kanak-kanak ini tidak semestinya berbeza dari pesakit normal. Selalunya,rawatan adalah berdasarkan maloklusi (susunan gigi). Namun begitu, pakar yang merawat akan mengambil kira keupayaan kanak-kanak dan penjaga untuk menyelenggara pendakap gigi dengan selamat.
Berikut adalah jenis-jenis rawatan yang boleh diberikan:
*Pendakap gigi boleh tanggal
Pesakit akan boleh menanggalkan dan memasang semula pendakap gigi ini dengan sendirinya. Untuk memastikan rawatan ini berjaya, pendakap gigi mesti dipakai 24 jam kecuali ketika memberus gigi. Pendakap gigi boleh tanggal ini digunakan untuk merawat maloklusi (susunan gigi) yang mudah dan memerlukan pergerakan gigi yang sedikit. Pendakap gigi boleh tanggal ini juga berfungsi untuk menahan pergerakan gigi dan menjaga susunan gigi setelah rawatan selesai.
*Pendakap gigi untuk merangsang tumbesaran rahang(Pendakap Fungsi –Functional brace)
Pendakap gigi jenis ini digunakan untuk mempertingkatkan/merangsang tumbesaran rahang bawah pada kanak-kanak yang sedang membesar. Pendakap gigi ini sesuai untuk pesakit yang mempunyai rahang bawah yang kecil dan gigi depan atas yang menonjol ke luar (jongang).
Ads
*Penyelenggara ruang (Space Maintainer)
Penyelenggara ruang seringkali dipasang pada gigi geraham kekal pertama, di mana gigi susu bersebelahannya telah rosak disebabkan karies gigi atau perlu dicabut. Penyelenggara ruang akan menahan pergerakan ke hadapan gigi geraham kekal pertama dan mencegah berlakunya kesesakan (gigi berlapis kerana ruang tidak mencukupi untuk susunan gigi yang baik)
*Pendakap di atas kepala (Head brace)
Pendakap di atas kepala digunakan untuk menghadkan tumbesaran rahang atas dan dalam masa yang sama memperbaiki kedudukan gigi atas hadapan yang jongang. Pendakap di atas kepala ini sesuai untuk kanak-kanak yang masih membesar dengan kedudukan rahang atas yang ke hadapan dan gigi atas hadapan yang menonjol ke luar (jongang).
*Pendakap pada Tulang (Bone Brace)
Pendakap pada tulang pula adalah skru besi seperti pin kecil yang dimasukkan melalui gusi ke tulang rahang. Bagi pesakit dewasa, pendakap ini digunakan sebagai tambatan untuk memperbaiki gigi hadapan yang jongang. Pendakap yang tertanam ini digunakan untuk sementara waktu sahaja. Ianya akan dikeluarkan selepas rawatan selesai.
*Pendakap tetap untuk meluaskan rahang (Expanding brace)
Pendakap tetap ini digunakan untuk mengembangkan rahang atas bagi menyesuaikan dengan kelebaran rahang bawah. Kanak-kanak yang mempunyai rahang atas yang sempit dan terbatas untuk menempatkan kesemua gigi atas didapati sesuai untuk memakai pendakap ini.
*Pendakap tetap (Fixed brace)
Pendakap tetap diperbuat daripada logam. Pendakap ini jelas kelihatan logamnya dan dilekatkan pada permukaan gigi. Sekiranya kanak-kanak atau ibu-bapa bimbang mengenai pendakap logam yang jelas kelihatan ini, mereka boleh memilih untuk memakai pendakap seramik yang mempunyai warna hampir sama dengan gigi.
Apakah situasi di mana kanak-kanak berkeperluan khas ini perlu dirujuk kepada Pakar Ortodontik untuk rawatan yang melibatkan gabungan kerjasama Pakar Pergigian Pediatrik?
*Tabiat menghisap jari Tabiat menghisap jari boleh menyebabkan pengherotan susunan gigi dan alat pencegah tabiat (habit breaker) akan dipasang sebagai peringatan untuk memberhentikan tabiat tersebut
*Keterbatasan ruang untuk gigi tumbuh
Ketidakcukupan ruang sewaktu kegigian campuran perlu dipintas dengan mencabut gigi susu untuk membenarkan gigi kekal tumbuh. Sekiranya rahang atas sempit dan ruang tidak mencukupi, pelebaran rahang atas mungkin perlu.
*Gigi tidak tumbuh Sekiranya gigi terbenam di dalam tulang selepas waktu pertumbuhannya, pandangan dari Pakar Ortodontik atau Pakar Pergigian Pediatrik diperlukan untuk mencegah kerosakan kepada gigi lain. Ini boleh berlaku apabila gigi yang tidak tumbuh ini bergerak di dalam tulang dan melanggar akar yang menjadi penyokong posisi gigi lain
Ads
*Kehilangan awal gigi susu Penyelenggara ruang diperlukan untuk mencegah pergerakan gigi dan menyebabkan kesesakan(gigi berlapis)
*Kehilangan gigi Penyusunan gigi atau prosthesis diperlukan untuk memelihara estetik dan fungsi kegigian sedia ada
*Keadaan di mana rahang atas berposisi kehadapan,rahang bawah ke belakang dan gigi hadapan ke hadapan. Pendakap gigi yang merangsang tumbesaran rahang (functional brace) diperlukan untuk memperbaiki posisi gigi hadapan atas dan dalam masa yang sama memperbaiki rahang atas dan bawah
Sekiranya kanak-kanak Berkeperluan khas ini Memerlukan Pendakap Gigi, Apakah Perkara Penting yang Ibu Bapa perlu Ketahui?
Motivasi
Ibu bapa harus faham sebelum bertemu dengan Pakar Ortodontik, temujanji berkala dengan Pakar Pergigian Pediatrik adalah penting bagi pengawasan pertumbuhan gigi dan penjagaan kebersihan mulut. Ibu bapa juga mesti mengambil tanggungjawab untuk memastikan anak-anak mereka mencapai aras kebersihan mulut yang baik sebelum memulakan rawatan pendakap gigi. Penjagaan kebersihan mulut yang baik dan menghadiri temujanji lanjutan setiap 6 minggu adalah faktor penting dalam menjamin keberhasilan rawatan.
Harapan (Expectation)
Ibu bapa haruslah tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap hasil rawatan kerana sebahagian kanak-kanak berkeperluan khas ini berasa khuatir dan menghadapi kepayahan untuk menjalani rawatan pendakap gigi ini.
Ubat-ubatan
Kanak-kanak berkeperluan khas kadangkala memerlukan sedatif (ubat penenang) untuk menenangkan dan mendapat kerjasama mereka sewaktu rawatan dijalankan. Ini akan memerlukan pengendalian bersama dengan Pakar Pergigian Pediatrik.
Cabutan gigi
Gigi perlu dicabut untuk sebahagian kes bagi mengwujudkan ruang dalam mengatasi kesesakan dan mengurangkan penonjolan keluar gigi atas hadapan (jongang).
Jangkamasa rawatan
Ads
Pada kebiasaannya, rawatan pendakap gigi mungkin mengambil masa selama 2-3 tahun bergantung kepada keparahan maloklusi. Rawatan akan mengambil masa yang lebih panjang bagi kanak-kanak ini disebabkan kurangnya kemampuan untuk bekerjasama dengan rawatan
Kos Rawatan
Komplikasi dan lanjutan masa rawatan akan menambah kos rawatan secara keseluruhannya
Gigi bergerak ke posisi asal (Relapse)
Setelah selesai rawatan pendakap gigi ini, pesakit mestilah memakai alat penahan untuk memegang gigi di posisi yang baharu. Kegagalan mengikuti arahan pemakaian alat penahan akan mendorong ke arah pergerakan gigi kembali ke posisi asal. Pemakaian alat penahan pada waktu malam masih diperlukan selama pesakit mahu gigi mereka kelihatan tersusun
Perkara penting yang mesti di titikberatkan oleh ibu bapa serta halangan-halangan yang mungkin di hadapi sekiranya kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan rawatan pendakap gigi.
*Penjagaan kebersihan mulut yang baik Kebersihan mulut mestilah sangat baik untuk mencegah risiko pemakaian pendakap gigi. Kegagalan membersihkan gigi dangan baik boleh mendorong ke arah tompokan lesi putih, karies gigi, pembengkakan dan pendarahan gusi . Gigi mesti diberus setiap kali selepas makan dan sebelum tidur dengan ubat gigi berfluorida. Penggunaan berus gigi elektrik adalah digalakkan untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah neuromuskular.
*Pengambilan rekod Sekiranya pengambilan rekod pergigian memerlukan sedasi atau bius am, prosedur pergigian yang lain juga akan digabungkan untuk mengurangkan kekerapan temujanji klinik. Pengambilan acuan gigi (impresi) Proses ini selalunya tidak selesa tetapi boleh dijalani dengan baik oleh kanak-kanak biasa. Namun begitu, kanak-kanak yang bimbang mungkin tidak dapat menghadapi proses ini dengan hanya komunikasi yang baik.
Rawatan alternatif untuk menenangkan mereka termasuk memberi gas sedasi sedar nitrus oksida sahaja atau digabungkan dengan ubat penenang yang diberikan oleh Pakar Pediatrik Pengambilan radiograf (X-ray) Kanak-kanak berkeperluan khas akan selalunya takut atau panik apabila berdepan dengan mesin X-ray.
Bagi pesakit yang kurang memberi kerjasama, bermasalah neuromuskular atau kelainan upaya mental, untuk mendapatkan imej radiograf (X-ray) yang jelas agak sukar. Ibu-bapa juga boleh diminta untuk memegang filem X-ray ketika prosedur dijalankan kerana wajah yang dikenali bersama mereka boleh mengurangkan perasaan gelisah.
Rawatan
-Pelan rawatan boleh dinilai kembali bergantung kepada kerjasama pesakit berdasarkan peringkat rawatan yang sebelumnya
-Pendakap gigi boleh tanggal diutamakan berbanding pendakap gigi tetap untuk kanak-kanak berkeperluan khas kerana pendakap gigi jenis ini memerlukan permukaan gigi yang betul-betul kering, ketepatan posisi pendakap gigi dan jangkamasa rawatan yang lebih lama. Kadangkala ubat sedasi diperlukan untuk perlekatan pendakap gigi. Ubat-ubatan sialogog yang mengurangkan pengeluaran air liur untuk sementara waktu juga digunakan untuk mengekalkan kekeringan mulut.
-Pesakit dengan pendakap gigi tetap memerlukan motivasi yang tinggi untuk mengekalkan kebersihan mulut yang baik berbanding pemakai pendakap gigi boleh tanggal. Dalam rawatan pendakap gigi tetap, cabutan gigi boleh ditangguhkan atau dielakkan bagi mengurangkan jangkamasa dan memudahkan rawatan.
Aspirasi (bendasing tersedut masuk ke paru-paru) boleh terjadi pada pesakit yang kehilangan refleks perlindungan. Penjagaan teliti harus diambil kira untuk mengelakkan cebisan, air, air liur, darah dan bahagian dari pendakap gigi daripada termasuk kedalam salur pernafasan dengan menggunakan kapas kasa atau empangan getah. Perlekatan tidak langsung pendakap boleh mengurangkan kemungkinan bendasing masuk ke dalam paru-paru.
Pengekalan posisi gigi (Retention)
Pesakit perlu memakai alat penahan (retainer) selama mana pesakit mahu gigi mereka kelihatan tersusun. Alat penahan boleh tanggal akan memegang gigi di dalam rahang atas dan bawah.
Namun begitu, kerjasama yang baik sangat diperlukan. Alat penahan tetap akan dilekatkan di belakang permukaan gigi hadapan atas dan bawah bagi mencegah pergerakan gigi yang telah disusun kembali ke posisi asal, akan tetapi peletakan alat penahan tetap yang tepat mungkin melibatkan sedasi.
Tambahan pula, untuk membersihkan alat penahan tetap adalah sukar kerana ianya terletak di belakang gigi. Ini akan meninggikan risiko pereputan gigi di sekeliling alat penahan.
Kita rimas bila anak-anak berkejaran, menjerit dan melompat sana sini dalam rumah tapi tahukah kita, ini semua adalah fitrah anak-anak kecil. Mereka bukan terlebih hyper tetapi inilah lumrah mereka membesar.
Jadi biarkan sahaja mereka menikmati masa-masa indah mereka membesar. Menurut Pn Wawa Shauqi, Penulis Keibubapaan, hendak membesarkan anak bijak sememangnya memerlukan kesabaran yang tebal dalam diri. Tabahkan hati wahai mak ayah. Informasi yang dikongsikan oleh beliau ini, mak ayah perlu tahu dalam membesarkan anak.
Anak saya ni bila berseorang, adorable. Bila berdua, ya Tuhan. Rasa macam bela ahli Ninja Turtle.
Melompat, menjerit, menyakat, berkejaran, bertumbukan, bergulingan, bercakaran. Yang hairannya, muka diorang bukan main terhibur. Riuh bergelak macam takde apa digusti gitu.
Itu yang bila ada pm minta tips pasal anak punya perangai nakal, saya hanya mampu gelakkan diri sendiri. Sebab saya tau, kalau yang pm tu tengok sendiri perangai anak-anak saya, diorang pasti ternganga lalu timbul rasa menyesal bertanya.
Itulah anak-anak. Lagi-lagi anak jantan. Sampai ramai mak ayah yang salah fahan ingat anak tu hyper.
Sedangkan itulah fitrah anak-anak kecil. Badan sentiasa lapar untuk bergerak. Tenaga terlalu banyak dalam badan. Sabarlah ye mak-mak. Nak besarkan anak bijak, memang kena ada sabar yang tebal.
Walaupun tingkah laku mereka merunsingkan, tapi rupanya banyak kebaikan bila anak-anak berlasak begitu.
Ini saya kongsikan hasil bacaan mengenai Rough and Tumble Play.
Apa yang ibu bapa perlu lakukan? – Fahamilah fitrah anak bermain, galakkan anak buat aktiviti outdoor. – Design permainan yang sesuai. – Sediakan ruang yang sesuai untuk anak bermain. – Pantau dari jauh untuk mengelakkan pergaduhan dan kemalangan luar jangka. – Set boundaries: – Guna telapak tangan, bukan tumbukan. – Contact only allow below shoulder. – Tak melibatkan gurauan sentuh alat sulit. – Tak dibenarkan mengejek. – Stop bila ada yang tak happy.
Elakkan juga empat perkara ini ketika anak bermain: – Terlalu banyak campur tangan. – Terlalu banyak larangan. – Mengunci anak dengan gajet & TV. – Marah mereka keterlaluan.
Begitu banyak manfaat dan kelebihan anak lasak, jadi biarkan sahaja anak-anak kita aktif dan menikmati waktu-waktu mereka. Kita pantau sahaja.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak muntah selepas makan? Adakah keadaan tersebut kerap terjadi? Jika ya, mungkin si kecil alami penyakit ganjil gangguan ruminasi. Ikuti penjelasan lanjut tentangnya.
Jika si kecil kerap muntah atau mengeluarkan kembali makanan yang selepas beberapa jam waktu makan, terdapat kemungkinan mereka mengalami masalah gangguan ruminasi (rumination syndrome).
Selalunya, seorang kanak-kanak dengan keadaan ini akan makan secara normal, tetapi selepas 1 atau 2 jam, makan yang tidak dicerna akan masuk kembali ke mulut daripada tekak.
Situasi anak muntah selepas makan tersebut akan berlaku saban hari, setiap kali selesai waktu hidangan.
Perkataan ruminasi (rumination) berasal daripada lembu atau binatang yang melakukan proses mengeluarkan kembali makanan yang ditelan kembali ke mulut atau dikenali sebagai regurgitate. Ia proses pencernaan normal bagi haiwan tersebut.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Gangguan itu pernah dianggap sebagai penyakit ganjil yang menjejaskan kanak-kanak dengan ketidakupayaan mental.
Namun kini, pakar perubatan menyedari bahawa ia boleh dialami oleh mana-mana individu.
Seringkali keadaan tersebut berlaku pada bayi yang berusia antara 3 hingga 12 bulan dan kanak-kanak dengan gangguan kognitif.
Umumnya, sindrom tersebut adalah gangguan yang jarang berlaku sama ada kepada kanak-kanak, remaja, mahupun individu dewasa.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Fahami simptom penyakit ganjil gangguan ruminasi
Bercakap tentang keadaan muntah selepas makan, mesti anda membayangkan keadaan muntah yang bersepah itu, kan?
Tetapi gangguan penyakit ganjil ruminasi ini adalah berbeza daripada muntah biasa.
Muntah ruminasi, keadaan makanan tidak dicerna dan selalunya masih mempunyai rasa yang sama seperti kali pertama ia dimakan.
Individu dengan keadaan ruminasi akan melakukan proses regurgitate selepas makan. Ia berlaku apabila makanan yang ditelan naik kembali ke bahagian tekak dan mulut.
Masalah anak muntah selepas makan itu bukan dilakukan secara terpaksa atau tidak sengaja seperti muntah biasa.
Gejala lain yang boleh berlaku, termasuklah:
Mengalami masalah nafas berbau
Kehilangan berat
Senak atau sakit perut
Pereputan gigi
Mulut atau bibir kering
Gejala dan simptom yang dialami sama ada bagi kanak-kanak atau individu dewasa adalah sama.
Individu dewasa lebih cenderung untuk memuntahkan makanan yang kembali ke mulut daripada tekak. Manakala kanak-kanak pula akan cenderung mengunyah dan menelan kembali makanan tersebut.
Faktor yang menjadi penyebab kepada gangguan penyakit ganjil ini masih tidak diketahui. Tetapi terdapat beberapa perkara yang boleh menyumbang kepada perkembangannya, seperti:
Penyakit fizikal atau tekanan yang teruk boleh mencetuskan tingkah laku tersebut
Pengabaian atau hubungan yang tidak normal antara anak dengan ibu atau penjaga menyebabkan si kecil mengalami masalah berkaitan aspek keselesaan diri. Bagi sesetengah kanak-kanak mengunyah boleh memberikan ketenangan
Ia mungkin cara untuk kanak-kanak mendapat perhatian
Ia dipercayai sebagai manifestasi penyakit mental seperti kemurungan atau kegelisahan
Mengenal pasti gangguan ruminasi
Oleh sebab keadaan yang berlaku seakan muntah, penyakit ganjil ini selalu disalah diagnosis sebagai gangguan muntah, gangguan gastrik atau penyakit refluks gastroesofagus.
Untuk mendiagnosis gangguan ini, doktor mungkin akan bertanyakan keadaan seperti:
Apakah rupa dan rasa makanan yang di ruminasi? Adakah keadaan ia masih kelihatan sama dan terasa seperti sebelumnya?
Tempoh anak muntah selepas makan atau berlakunya regurgitate?
Adakah gangguan penyakit ganjil itu membangunkan anak daripada tidur?
Adakah anak mengambil ubat merawat refluks dan keberkesanannya?
Walau bagaimanapun, beberapa ujian darah dan pengimejan boleh dilakukan untuk mengenal pasti penyebab lain simptom muntah dan menilai tahap dehidrasi dan kekurangan zat makanan.
Merawat masalah anak muntah selepas makan
Untuk mengatasi masalah penyakit ganjil ini akan tertumpu kepada perubahan tingkah laku anak.
Beberapa pendekatan boleh digunakan seperti:
Mengubah postur anak semasa dan selepas makan
Menggalakkan lebih banyak interaksi antara anak dan ibu semasa makan, memberikan lebih perhatian kepada si kecil
Mengurangkan gangguan semasa menyusu
Menjadikan waktu makan lebih santai dan menggembirakan
Mengubah fokus anak ketika dia mula mengalami ruminasi
Memberikan sesuatu yang masam atau pahit di lidah ketika dia mula muntah
Menjalani psikoterapi bagi ibu dan/ atau keluarga mungkin dapat membantu meningkatkan komunikasi dan menangani rasa negatif disebabkan tingkah laku dan penyakit ganjil tersebut.
Tidak terdapat sebarang ubat yang boleh digunakan untuk mengatasi gangguan ruminasi ini.
Tidak menjejaskan keadaan fizikal
Berita baiknya, gangguan ruminasi ini tidak mendatangkan masalah yang besar kepada keadaan fizikal individu.
Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menyebabkan masalah pada esofagus. Bagi sesetengah remaja dengan sindrom ini, ia boleh menyebabkan penurunan kecil berat badan.
Anda disarankan untuk melakukan rundingan dengan doktor untuk mengenal pasti gejala dan psikologi tingkah laku bagi menghentikan gangguan ruminasi daripada berulang.
Masalah gigi dan kanak-kanak itu memang sinonim. Gigi berlubang dan juga karies gigi sering menjadi kerisauan ibu dan ayah. Justeru amat penting untuk mula menjaga kesihatan mulut dan gigi si kecil sejak dari awal usia.
Biasakan diri dengan membawa anak-anak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan berkala, jadikan rutin memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan gigi anak rosak juga harus dielakkan.
Apa yang dikongsikan oleh seorang doktor gigi, Dr Azila Mohd Kassim menerusi Facebook Happy Baby Foods Malaysia tentang seorang pesakit kanak-kanak yang mengalami masalah karies gigi yang teruk.
Kanak-kanak ini sudah menahan sakit hampir 3 hari dan turut menyebabkan bengkak di kawasan muka dan mata.
Dah 3 Hari Anak Mengadu Sakit Gigi Atas
Kisah tadi tak lengkap. Saya kongsikan semula yg versi penuh.
Sebab inilah kami #adminhbfm asyik cakap pasal kebersihan oral. Asyik cakap pasal ORAL STIMULATION. Asyik cakap tak apa anak meraung melalak sebab gosok gigi. Asyik cakap kena bersihkan sejak anak dlm pantang. Asyik beritahu BAWA ANAK CHECKUP BILA ADA 1 batang gigi naik. Tak payah tunggu penuh gigi dia bru bawak. Tak payah bg alasan nurse KK tak cakap pun kena check gigi, itu bukan anak nurse kk tu, itu anak awak, kena sendirilah cakna 😅
Tapi bila cakap, ada pulak tak percaya. Kata “eleh mana ada bebudak sakit gigi teruk teruk”
So ambillah pedoman dan iktibar ini!
——————————————————————————————————
“Ini doktor Azila ke?” Aku menjawab “ya, saya..”.
Beliau bertanya lagi “Boleh jumpa doktor terus di klinik tak?”
Kepala aku ligat berfikir, seingat aku berderet temujanji aku pagi ini.
Maka aku jawab sambil tersenyum “Cik, boleh terus telefon klinik untuk temujanji”.
Tiba-tiba dia menarik seorang budak perempuan kecil lantas ditunjukkan mukanya pada aku.
Astaghfirullahalazim.. tergamam aku, terus aku cakap “Naik atas terus, saya periksa”
Setelah masuk di bilik surgeri, begini ceritanya. Ibu bapa muda ini memberitahu anaknya sakit gigi belah kanan atas mulai 3 hari lalu.
Hari pertama :
Mula-mula mereka membawa ke klinik gigi A. Setelah doktor tersebut memeriksa katanya ada gigi geraham susu yang berlubang besar.
Lubang sudah mengenai saraf, maka perlu buat rawatan saraf. Tetapi doktor tersebut tidak membuat rawatan saraf (pulpotomi) pada kanak-kanak.
Doktor klinik gigi A memberi ubat tahan sakit dan antibiotik.
a) Syrup Amoxycillin 3ml 3 kali sehari.
b) Syrup Paracetamol 3ml 3 kali sehari.
Hari kedua:
Pada hari tersebut ibu bapa membawa anak ke klinik gigi B. Mereka mencari klinik gigi yang membuat rawatan saraf kanak-kanak iaitu pulpotomi.
Tidak pasti kenapa doktor tersebut tidak buat rawatan pulpotomi terus, kerana beliau memberi temujanji untuk rawatan pulpotomi. Aku berfikiran mungkin temujanji doktor tersebut penuh.
Muka Jadi Bengkak, Diagnosis Sebagai Facial Cellulatis
Doktor klinik gigi B memberi pula ubat tambahan :
a) Syrup Metronidazole 8ml 3 kali sehari.
Mereka pulang, tiba-tiba malamnya muka anak menjadi bengkak sebegini (rujuk gambar).
Umur pesakit 5 tahun. Kasihan sungguh, wajahnya.. pipi bawahnya bengkak sehingga tertarik kelopak mata kanan bawah. Tertutup mata kanan pesakit !
Keadaan ini di diagnosis sebagai “FACIAL CELLULITIS”.
Sesi soal siasat oleh doktor Azila dijalankan seperti biasa. Hasil temubual dengan ibu bapa adalah :
Sering memberi makanan manis iaitu ‘kinderjoy’ setiap pagi. Pesakit juga kerap makan makanan yang manis-manis belaka.
Tidak mengamalkan rutin wajib memberus gigi anak setiap hari.
Tidak membawa anak untuk jumpa doktor gigi secara berkala.
Kisah pesakit ini telah mendapat ‘consent’ ibu bapa untuk disiarkan.
Ini bertujuan memberi peringatan berguna buat ibu bapa lain supaya tidak mengabaikan kebersihan gigi anak kecil kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku, hanya kerana gigi tidak dibersihkan setiap hari dan pengambilan makanan manis.
Ramai ibu bapa tidak faham.
Tidak faham bahawa memberi makanan minuman manis adalah musuh utama mulut anak. Ini mengakibatkan gigi rosak.
Tidak faham bahawa bersihkan gigi anak itu penting. Jangan sampai gigi anak berkaries, mengadu sakit baru jumpa doktor gigi.
Adakah kita mahu anak kita berkeadaan sebegini? Kerana sikap kita yang sambil lewa gigi anak rosak, gusi bengkak kemudian muka bengkak.
RAWATAN KECEMASAN PESAKIT
Setelah saya berbincang dengan doktor Pakar Pergigian Kanak –Kanak, pesakit saya ini :
Saya preskripsi :
a) Syrup Augmentin 5.3ml 2 kali sehari.
b) Syrup Paracetamol 5.3ml 4 kali sehari.
(Dos ubat – ubat yang diberi mengikut berat badan pesakit)
UBAT YANG DOKTOR GIGI BERI SEBELUM INI DIHENTIKAN SERTA MERTA.
Pemantauan berkala oleh ibu bapa, selagi anak boleh makan dan minum, tidak perlu pergi Bahagian Kecemasan Hospital.
Kebetulan ketika itu cuti umum 2 hari Ahad hingga Isnin.
Hari ketiga iaitu Selasa, pesakit berjumpa aku semula. Alhamdulillah.. muka sudah surut bengkak.
Gigi geraham susu yang menyebabkan bengkak tersebut, terpaksa aku cabut.
KENAPA DOKTOR CABUT GIGI TERSEBUT?
Jawapannya : Agar gigi berkaries tersebut tidak menjadi punca infeksi, bengkak BERULANG SEMULA. Sekiranya terjadi situasi begini ia boleh MEMBAWA MAUT!
KENAPA ?
Saya terangkan di sini.
Gusi yang bengkak, bakteria boleh merebak kedalam otak. Keadaan dikenali sebagai SEPSIS.
Sepsis adalah keadaan dimana jangkitan disebarkan melalui darah disebabkan sistem pertahanan badan perlu bekerja lebih masa untuk melawan jangkitan.
Bahan kimia yang dikeluarkan dalam aliran darah untuk melawan jangkitan mencetuskan tindak balas keradangan di seluruh badan sekali gus ia merosakkan sistem organ.
Malah sepsis boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti masalah buah pinggang, paru-paru, otak dan jantung hingga menyebabkan kematian.
HUBUNGAN ANTARA SEPSIS DAN JANGKITAN GIGI
Apabila berlaku jangkitan gigi, ia boleh menyebabkan pulpa (gigi bahagian tengah) dijangkiti.
Pulpa ini adalah bahagian gigi yang mengandungi saluran darah, tisu penghubung dalam saraf besar.
Jika jangkitan berlaku, bakteria boleh keluar dari gigi ke tulang atau tisu bawah.
TANDA-TANDA JANGKITAN DALAM MULUT.
Nafas busuk.
Rasa pahit dalam mulut.
Demam.
Sakit gigi.
Gigi lebih sensitif.
Gusi bengkak.
Kelenjar bengkak pada leher.
Bengkak rahang.
Sekiranya anda atau anak anda mengalami tanda-tanda diatas, sila SEGERA ke hospital untuk rawatan yang sepatutnya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah menyayat hati seorang ibu mempertahankan hak pendidikan anaknya, seorang kanak-kanak autisme yang dipinggirkan selepas insiden di sekolah. Ketahui kronologi, perjuangan dan tindakan pihak berkuasa.