Anak kecil yang mudah marah atau merengek adakalanya boleh menguji tahap kesabaran ibu bapa. Bagaimana untuk mengendalikan amarahnya? Secara tidak sedar, ramai ibu bapa yang kerap melakukan kesalahan dengan sengaja membiarkan, memarahi, menghukum malah ada yang sanggup memukulnya semata-mata mahu si anak diam.
Kemarahan seorang anak kecil berbeza puncanya berbanding kemarahan orang dewasa. Sebagai ibu bapa jadilah penyejuk hati bagi anak-anak yang sedang marah sehingga mereka dapat memahami kesalahannya sendiri dan belajar cara yang betul untuk mengatasi emosi.
Berikut beberapa tip yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa untuk membantu meredakan emosi anak-anak yang sedang marah.anak seorang pemarah, anak suka marah, anak mudah marah, anak mudah meradang, anak naik angin, anak kerap marah.
PRIHATIN PERASAAN ANAK
Seorang anak memiliki keinginan yang kuat untuk melakukan sesuatu namun seringkali kemampuan tidak sekuat keinginannya. Kekecewaan diluahkan melalui kemarahan. Faham perasaan si anak, kenali kesukaannya, faham apa yang diinginkan dan tidak diinginkan, waktu tidur dan sebagainya. Jika anda cuba perkenalkan perkara baru kepadanya usah terlalu memaksa.
KOMUNIKASI
Kadangkala apa yang cuba disampaikan oleh anak kepada ibu bapanya ‘tidak sampai’ sehingga menimbulkan kekecewaan pada si anak. Tanda protes ditunjukkan dengan cara marah, merengek, merosakkan sesuatu dan sebagainya. Sentiasa luaskan komunikasi bersama anak. Anggap anak-anak sebagai sahabat dan begitulah sebaliknya.
PELUKAN
Kadangkala kemarahan seorang anak disebabkan kurangnya kasih sayang atau perhatian daripada ibu bapa. Kian membesarnya anak-anak atau kerana jadual semakin padat, interaksi antara anak dan ibu bapa semakin berkurang. Pelukan dan belaian kasih sayang ibu bapa amat diharapkan saat ini. Biasakan memeluk atau mencium anak-anak sebelum ke tempat kerja atau saat mereka sakit.
LARANGAN YANG LOGIK
Kata-kata seperti ‘Jangan’, Tidak boleh’ dan seumpamanya sering membuatkan anak merasa tidak dipercayai atau terbatas pergerakannya. Sebagai ibu bapa ‘wajib’ memberi alasan yang logik kepada anak mengapa kita melarangnya melakukan sesuatu. Contohnya melibatkan hal yang boleh membahayakan dirinya. Jelaskan risiko-risiko jika dia masih berdegil untuk melakukannya.
MENUNJUK TAULADAN
Ibu bapa harus menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak seperti cara yang betul untuk mengatasi emosi. Ibu bapa yang sering marah-marah atau tidak mampu mengawal emosi akan mudah mempengaruhi sikap anak-anak. Jika anda mula hendak merasa marah berusahalah untuk tidak menunjukkannya di hadapan anak-anak.
SENTIASA TENANG
Jika anak meragam atau marah-marah di tempat umum, sebagai ibu bapa kita haruslah sentiasa berada dalam keadaan tenang serta tidak mudah melatah. Elakkan daripada memarahinya semula atau memukulnya di khalayak ramai. Cara mudah yang boleh dilakukan ialah membawanya ke tempat yang lebih sunyi agar dapat meredakan kembali emosi.
Sumber: ragamanak.com
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI