Amalan pemakanan yang tidak sihat boleh menyebabkan anak susah makan. Jom ketahui cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tabiat makanan anak ini!
Tabiat pengambilan makanan anak
Memastikan anak mendapat makanan berkhasiat dan seimbang sudah menjadi 1 kemestian buat mereka yang bergelar ibu bapa. Dalam masa yang sama, sebagai ibu bapa, amat penting untuk anda memahami tabiat pengambilan makanan anak.
Ini kerana apabila anda mengetahui isyarat bahawa mereka sudah kenyang, ini sekali gus dapat mengelakkan amalan pemakanan yang tidak sihat seperti makan secara paksa.
Sebaiknya, biarkan anak makan mengikut selera mereka. Mulakan dengan menawarkan makanan dalam saiz hidangan yang lebih kecil dan menambahnya jika mereka meminta. Namun tidak dinafikan ada parents yang mungkin berdepan beberapa isu berkaitan amalan pemakanan yang tidak sihat.
Jangan bimbang, ada cara untuk mengatasinya.
Amalan pemakanan yang tidak sihat & cara mengatasinya
Bercakap mengenai tabiat pemakanan tidak sihat, ia boleh melibatkan tabiat makanan anak yang cerewet makan. Pastinya ibu susah hati apabila anak sering menolak semasa diberikan makanan yang bukan menjadi kegemaran mereka.
#1. Makan makanan tertentu
Untuk mengatasi amalan pemakanan yang tidak sihat ini, antara cara boleh dicuba adalah:
Tawarkan finger food
Sediakan makanan dalam potongan kecil yang memudahkan mereka untuk makan dengan sendiri.
Menjadi contoh
Sebagai ibu bapa berikan contoh terbaik dengan memakan pelbagai jenis makanan. Anda juga harus elak daripada memberikan komen mengenai makanan yang disukai atau tidak.
Saiz hidangan
Untuk makanan anak yang digemari, letakkan dalam jumlah kecil. Jangan lupa untuk turut menyertakan sekali makanan lain yang anda mahu perkenalkan kepada si kecil.
Terus tawarkan makanan baharu tetapi jangan memaksa
Dengan pendedahan berulang, kebanyakan anak dipercayai akan mencuba makanan baharu. Jika tidak, jangan terus memaksa. Percayalah lama kelamaan seiring dengan peningkatan usia, akan berlaku perubahan dalam tabiat pemakanan anak.
#2. Tidak makan sayur-sayuran
Anak tidak mahu makan sayur-sayuran adalah masalah yang paling biasa untuk terjadi. Apa kata ibu cuba strategi ini:
Pelbagai warna
Siapa kata sayuran hanya perlu berwarna hijau dan berdaun? Ibu, jadilah kreatif dengan menyediakan pelbagai sayuran berwarna dan bentuk seperti jagung, labu, lobak merah, bunga kubis, tomato dan cendawan butang.
Tambahkan dalam sos atau makanan
Anda juga boleh mencampurkan sayuran dalam sos atau makanan yang akan disediakan kepada anak. Sebagai contoh, kisar lobak merah dan cincang cendawan butang untuk dimasukkan ke dalam sos spageti bersama campuran ayam atau daging.
#3. Enggan mengunyah
Mungkin kedengaran agak pelik. Tetapi ia antara amalan pemakanan yang tidak sihat boleh terjadi pada si kecil. Untuk mengatasi keadaan ini:
Pantau keadaan anak
Ini untuk memastikan mereka mempunyai kemahiran motor yang diperlukan untuk mengunyah.
Perubahan tekstur
Adakalanya anak mungkin sudah terbiasa untuk terus menelan apabila sering diberikan makanan seperti bubur. Jadi secara beransur-ansur, lakukan perubahan pada tekstur makanan mereka.
#4. Mengambil masa lama untuk makan dan menyimpan makanan dalam mulut (rumination)
Kaedah yang boleh dicuba untuk mengatasi keadaan ini:
Tiada kemahiran
Si kecil mungkin tidak mempunyai kemahiran motor untuk mengendalikan makanan yang diberi. Jadi ibu boleh cuba untuk membantu dengan menyediakan makanan dalam saiz dan potongan yang kecil.
Kurangkan gangguan
Kadang-kala tabiat makanan anak berlaku apabila terdapat banyak gangguan persekitaran. Jadi sebaiknya, apabila tiba waktu makan, minimumkan segala gangguan daripada televisyen, barang permainan dan pastikan anak duduk dengan sebaiknya.
#5. Memilih makanan sendiri
Ia satu keadaan biasa apabila anak kecil yang berusia 18 bulan ke atas ingin lebih berdikari, termasuklah dalam aspek pemilihan makanan. Atasinya dengan:
Berikan pilihan kepada anak
Contohnya sama ada ingin makan nasi atau pasta. Elakkan daripada memberikan soalan terbuka, seperti, “Apa yang awak ingin makan?”
Tegas dalam membuat keputusan
Dalam mengatasi isu berkaitan tabiat pemakanan yang tidak sihat ini, anda perlu tegas dalam setiap perkara. Pastikan setiap ahli keluarga lain seperti pasangan mahupun datuk atau nenek turut melakukan perkara yang sama. Ini kerana jika anda tidak konsisten mungkin sukar untuk mengatasi masalah ini.
Berdepan keadaan anak sukar makan atau memilih dalam aspek pemakanan adalah satu cabaran buat ibu bapa. Walaupun ia boleh menimbulkan kerisauan, namun percayalah ia adalah keadaan normal yang dialami oleh kebanyakan ibu bapa lain dan seiring peredaran masa, ia akan selesai dengan sendiri.
Tetapi jika tabiat makanan anak mendatangkan kebimbangan, berbincanglah dengan pakar pediatrik untuk penyelesaian yang lebih baik.
_
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.