“Kakak (arwah) sempat campak anak bongsu yang ada bersamanya di tempat duduk penumpang hadapan ke belakang sebelum disambut anak sulungnya bagi menyelamatkan anaknya,” kata Syaidatul Fatihah Mohd, 30.
Syaidatul Fatihah menceritakan kemalangan maut yang menimpa kakaknya, Surawati Mohd, 33, dua hari lalu.
Sekelip Mata Yatim Piatu
Dalam kejadian 5 pagi itu, Surawati bersama suami Muhammad Noor Idham Ramli, 31, meninggal dunia apabila kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan – Seremban, dekat Keratong.
Kejadian menyebabkan tiga anaknya, Aryan Rizqy, 6, Areesh Razeen, 4, dan Arfan Rakeen, 2, menjadi yatim sekelip mata apabila ibu bapa mereka meninggal dunia.
Menurut Syaidatul Fatihah, kejadian berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Pulau Duyong ke rumah ibu bapa Muhammad Noor di Felda Lui, Jempol, Negeri Sembilan.
“Kami (ahli keluarga) semua tidak tahu mereka bertolak awal sehari ke sana.
Ads
“Kakak memaklumkan mereka akan bertolak esok ke rumah mentuanya kerana anaknya tidak bersekolah malah keluarga abang ipar pun tak tahu lima beranak itu bertolak awal,” katanya ditemui di rumah keluarganya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang.
Menurutnya, ahli keluarga hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas dihubungi Hospital Muadzam Shah, Pahang 7 pagi hari kejadian.
Katanya, susulan itu ahli keluarganya segera ke hospital terbabit bagi melihat keadaan lima beranak itu.
Ads
“Kami dimaklumkan kakak dan suami meninggal dunia dan hospital minta kami datang ambil tiga anak saudara yang cedera.
Ibu Sempat Campak Adik Ke Belakang
“Menurut Aryan Rizqy, ketika kereta hilang kawalan dia masih sedar dan ibunya sempat campakkan Arfan ke tempat duduk belakang bagi menyelamatkan anak bongsunya itu.
“Aryan Rizqy sempat menyambut adiknya sebelum Perodua Myvi dinaiki berlanggar dengan lori,” katanya.
Ads
Katanya, jenazah abang iparnya dibawa ke Felda Lui untuk dikebumikan manakala jenazah kakaknya dibawa pulang ke Gong Merawang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang.
“Tiga anaknya turut dibawa pulang bersama kami kerana mereka lebih rapat dengan ahli keluarga di sini.
“Bagaimanapun, kami akan berbincang dengan ahli keluarga abang ipar mengenai penjagaan tiga anak arwah ini,” katanya.
Sebelum ini Metro melaporkan pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki merempuh lori model Isuzu di lokasi terbabit.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Noor dari arah Kuantan menuju ke Seremban masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.
Masih panjang umur! Itulah yang berlaku kepada empat sekeluarga setelah ditemui selamat oleh bomba dalam bilik air di tingkat atas sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Jalan Setia Perdana, Bandar Setia Alam, dekat Shah Alam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, bomba menerima panggilan pada 2.18 pagi dan tiba di lokasi sejauh 18 kilometer itu pada 2.37 pagi.
“Sewaktu bomba sampai, kita dapati kebakaran di tingkat bawah rumah teres dua tingkat dan bomba dimaklumkan ada mangsa, namun tidak tahu jumlahnya.
“Jadi, pasukan dibahagi kepada dua, satu penyelamatan, satu lagi pemadaman. Pasukan penyelamatan buat pemadaman untuk memasuki ke rumah atas dan mencari mangsa,” katanya.
Ditemui berpelukan dalam bilik air
Bomba menemui empat sekeluarga (suami isteri serta dua anak) di dalam bilik air di bilik tidur utama dalam keadaan berpelukan dan basah disebabkan peluh serta hampir sesak nafas.
“Namun, usaha pantas pihak bomba berjaya menyelamatkan semua tanpa sebarang kecederaan serius.
Tiada kedengaran suara mangsa
Hafisham berkata, ketika kerja mencari dan menyelamat, tiada kedengaran suara jeritan meminta tolong atau tangisan kedengaran.
“Mangsa diam saja, kami bertawakal dan berserah pada Tuhan supaya kami dapat temui mereka dalam keadaan selamat dan dimaklumkan keluarga berkenaan kini dirawat di sebuah hospital swasta berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, kerja pemadaman kebakaran selesai sepenuhnya pada 4.20 pagi.
“Operasi membabitkan 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dengan bantuan BBP Kapar dan BBP Sungai Pinang,” katanya.
Dalam tak sedar rupanya semakin membesar si kecil ini. Tengku Ismail Leon Petra dikhabarkan genap dua bulan semalam. Ibu melahirkan rasa syukur dan kasih sayang buat putera kesayangan.
Rihana Oksana Gorbatenko melalui momen sebagai ibu yang indah. Sentiasa memberikan kemaskini tentang perkembangannya di Instagram, wanita jelita ini berkongsi perkembangan terbaru Tengku Ismail Leon Petra.
Sentiasa positif dalam setiap posting, pemegang Ijazah Sarjana dalam Pengurusan yang juga pakar dalam pemasaran antarabangsa ini menyatakan kasih sayang buat si kecil dan akan melalui apa sahaja buat anaknya.
“Saya sedang menulis dan saya tidak dapat menahan air mata dari mengalir…dan saya rasa tidak perlu untuk menahannya, kerana ia adalah tangisan kegembiraan dan kesyukuran!
BANGGA DARAH MALAYSIA MENGALIR DALAM ANAK
“Saya masih tidak percaya yang saya menerima begitu banyak mesej yang baik daripada anda semua. Daripada seluruh pelusuk dunia! Dan sudah tentu saya mahu beritahu kepada semua rakyat Malaysia: anda semua berjiwa besar, kerana menerima dan menyokong saya – seorang wanita dari negara asing dan membesar dengan budaya berbeza.
“Saya sangat bangga darah Malaysia mengalir dalam anak saya dan saya akan lakukan apa sahaja untuk dia membesar selayaknya dengan kasih anda semua. Dalam hidup saya, saya terpaksa menghadapi pelbagai jenis kejahatan, tipu daya dan hasad dengki.
TERUS MEMBESAR & BAHAGIA SI CILIK DUNIAKU
“Tetapi anda meyakinkan saya bahawa masih ada kebaikan di dunia ini. Kalaulah saya berpeluang, saya mahu memeluk anda semua dengan kegembiraan . Sokongan dan dorongan anda semua amat berharga bagi saya. Mesej masuk tidak henti-henti, saya akan terus berkongsi kisah hidup saya dengan ikhlas dan jujur. Semoga Allah memberkati anda semua, kawan-kawanku!
“P.S. Hari ini genap 2 bulan umur Leon. Terus membesar dan bahagia si cilik duniaku.”
Dalam posting sebelum ini, Rihana turut berkongsi tentang kelahiran puteranya itu pada 21 Mei 2019.
MOMEN MENJADI IBU
“21 May 2019 – the Day, when my life was divided into “before” and “after”. Everything that I was told about the changes occurring with a woman after the birth of a baby is true. This love is special.
“These feelings are completely new. I am greatful to Allah and my husband for our son. Now there are three of us. Thank you for choosing our family, Tengku Ismail Leon Petra Bin Tengku Muhammad V Faris Petra.”
Sebelum ini, Astro Awani melaporkan penceraian talak tiga antara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dengan Rihana Oxana Gorbatenko pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah.
Mahkamah Syariah Kelantan telah pun mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002.
Seorang pengasuh direman selama empat hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dipercayai mengalami kecederaan ketika diletakkan bawah jagaannya di Taman Putra, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata wanita berusia 43 tahun itu ditahan kelmarin selepas ibu mangsa membuat lapora polis pada Jumaat lalu.
“Berdasarkan laporan itu, ibu mangsa mendakwa menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan di muka dan pulas pada kedua-dua telinga.
“Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam anak asuhan berusia antara tiga bulan hingga dua tahun.
“Suspek juga mempunyai dua anak kandung yang tinggal bersama, iaitu masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 16 tahun serta lapan tahun.
“Ketika kejadian, suspek didakwa meninggalkan mangsa dan keluar rumah. Kecederaan mangsa dipercayai berpunca daripada anak asuhan yang lain menggigit muka bayi itu,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Anak bongsu menyusul pergi sebulan selepas isteri dan anak sulung terkorban kemalangan jalan raya. Seorang bapa sekali lagi diuji apabila anak bongsunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hanya sebulan selepas kehilangan isteri dan anak sulung dalam kemalangan.