Ibu yang mengalami keguguran tidak boleh memandang ringan soal berpantang. Sama seperti ibu yang melahirkan, anda juga harus berpantang. Penting untuk anda menjaga kesihatan di dalam pantang agar pulih seperti biasa.

Berpantang dengan cara yang betul membolehkan anda hamil untuk kali seterusnya dengan kemungkinan tiada sebarang masalah. Ikuti perkongsian terapis bertauliah dan pengasas ELLEEN Confinement & Ladycare, Ilyani Mohd Ghazali, tentang tip berpantang selepas mengalami keguguran.

Berapa Lama Harus Berpantang?

Tempoh berpantang yang ideal jika seorang ibu mengalami keguguran pada trimester pertam adalah selama 30 hari. Selama tempoh tersebut juga, hubungan intim perlu dielakkan kerana ibu masih dalam proses pemulihan. Sekurang-kurangnya seseorang wanita disyorkan berpantang selama dua minggu selepas disahkan keguguran, sama seperti tempoh cuti sakit yang dikeluarkan oleh pihak hospital.

Jika mengalami demam teruk atau terdapat pendarahan yang berpanjangan serta lelehen berbau pada faraj selama tempoh itu, rujuklah masalah anda kepada doktor. Hadkan pergerakan. Jangan terlalu aktif dan buat kerja berat sekurang-kurangnya sebulan selepas anda mengalami keguguran.

Dalam tempoh berpantang, emosi si ibu sangat sensitif dan perlu dijaga. Oleh itu ibu perlu berada dalam suasana yang tenang, positif serta mendapat sokongan penuh dari orang terdekat terutamanya si suami.

IKLAN

Pantang Cara Tradisional

Ketika berpantang, berurutlah seluruh badan. Tetapi jangan pula dibuat urutan sengkak rahim pada awal tempoh berpantang. Jika masih mahu melakukannya, si ibu perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 hari selepas keguguran. Ibu juga dibenarkan untuk bertungku seluruh badan setiap hari selepas habis tempoh pantang.

Buat juga rendaman faraj, bertangas kering (bermula pada hari ke 30 selama 14 hari), dan berbengkung dengan sapuan ubat barut (jika gugur pada kandungan yang sudah besar). Jika berada di tempat berhawa dingin, pakailah baju lengan panjang lengkap berstokin.

IKLAN

Angin berbisa mampu masuk ke badan wanita melalui ubun-ubun dan ibu jari kaki selepas bersalin. Tidak mengikut amalan ini mungkin akan membuatkan ibu mudah diserang angin sejuk sepanjang masa. Badan mudah lenguh dan kerap sakit pada pinggang, lutut dan tumit.

Seboleh-bolehnya tunggulah sehingga dua bulan sebelum mengangkat berat. Tabiat mengangkat berat ketika pantang gugur menyebabkan rahim menjadi lemah. Peranakan ibu mudah jatuh dan mengakibatkan ibu selalu diserang sakit pinggang. Paling merisaukan, risiko untuk keguguran berulang juga ada.

Walaupun tidak bersalin, keguguran menunjukkan rahim anda bermasalah. Pengambilan herba sesuai untuk merawat luka selepas prosedur D&C, memantapkan otot sekeliling faraj serta menyihatkan rahim. Jika betah mengamalkan herba, ibu berpotensi untuk meroyan. Selain itu, banyakkan duduk untuk menjaga rahim agar mudah sembuh untuk mengelakkan keguguran berlaku lagi.

IKLAN

Mahu Hamil Semula

Waktu selamat untuk hamil semula selepas keguguran ialah selepas tiga kali kitaran haid. Hal ini penting agar rahim anda benar-benar pulih untuk hamil semula. Setiap ibu yang mengalami keguguran akan mempunyai perasaan trauma dan risau untuk hamil semula. Sebelum melakukan hubungan intim bersama suami, seharusnya anda harus pastikan mental dan fizikal anda bersedia untuk sebarang kemungkinan. Jika mahu bersama dengan suami buat kali pertama selepas keguguran, wujudkan suasana romantik seperti di awal kehamilan agar anda berdua dapat mendalami momen itu tanpa perlu merasa stres.

Walaupun tidak melahirkan anak, pengorbanan anda ketika mengandung sebelum keguguran adalah pengorbanan yang besar. Pulihkan diri anda, baik mental dan fizikal sebelum membuat keputusan untuk hamil lagi. Jaga diri dan ikutlah saranan pakar untuk kembali sihat seperti biasa.

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI