Kehamilan

Ibu Hamil Elak Ambil Kopi, Kafein, Air Berkabonat Berlebihan Kalau Sayang Bayi & Tak Nak Keguguran

Share

Keguguran berlaku bila semua atau sebahagian dari kandungan terkeluar atau dikeluarkan dari rahim pada usia kandungan kurang dari 22 minggu. Kandungan yang tidak menunjukkan perkembangan atau tidak lagi menunjukkan tanda-tanda hidup juga dirujuk sebagai keguguran jika berlaku kurang dari 22 minggu.

Keguguran berlaku kepada 8-20% ibu mengandung. Kebanyakan kes (80%) berlaku sebelum minggu ke 13 manakala 20% berlaku pada ibu yang kurang dari 22 minggu mengandung.

Sebab-sebab

Banyak faktor boleh menyebabkan keguguran dan selalunya ia berbagai (multifactorial) dan bertindih. Antaranya adalah:

Masalah genetik: 30% keguguran berlaku sebelum minggu ke-8 dan penyebab utama adalah masalah genetik. Embrio terhasil dari persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin. Masalah genetik merangkumi 40-45% dari sebab keguguran.

Masalah penyakit si ibu: seperti kencing manis yang tidak terkawal, masalah struktur dalam rahim (septum) atau fibroid (lihat fibroid)

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko keguguran

Usia ibu: ibu yang berumur (lebih tua) berisiko tinggi berbanding yang lebih muda
Pernah keguguran sebelumnya: jika keguguran sekali, risko untuk gugur lagi adalah 20%, dan jika pernah 2 kali gugur, risiko adalah 30%. Risiko meningkat kepada 43% kalau pernah 3 kali gugur atau lebih.

Merokok: merokok lebih dari 10 batang sehari (atau perokok pasif) boleh meningkatkan risiko

Alkohol: pengambilan alkohol semasa mengandung walaupun sedikit boleh menyebabkan keguguran.

Demam panas: melebihi 37.80C atau lebih boleh menyebabkan keguguran

Trauma: trauma (kemalangan) dibahagian rahim semasa mengandung boleh meningkatkan risiko. Ini termasuk juga rawatan amniocentesis dan chronic villous sampling (sila lihat)

Kafeine: pengambilan kopi atau bahan berkafein spt cola dan sebagainya berlebihan boleh meningkatkan risiko keguguran. Tidak digalakkan mengambil lebih dari 300mg sehari.
Sebab-sebab lain: risiko meningkat kalau si ibu tercemar dengan bahan seperti: jangkitan, sesetengah ubat-ubatan, stress fizikal yang berlebihan, radiasi dan bahan-bahan kimia.
Jenis

Ancaman keguguran (Threatened miscarriage) – ibu akan mengalami turun darah dan sakit di bahagian bawah perut. Pangkal rahim (servik) masih tertutup, dan saiz rahim sama dengan minggu mengandung. Di kebanyakkan kes, pendarahan akan berhenti sendiri dan kandungan boleh selamat dilahirkan cukup bulan. Ada juga kes dimana pendarahan menjadi lebih banyak (tumpah darah) dan akhirnya gugur. Majoriti kes tidak berakhir dengan keguguran.

Keguguran tidak dapat dielak (inevitable miscarriage) – keguguran tidak dapat dielakkan. Pangkal rahim terbuka, tumpah darah bertambah banyak dan sakit perut bertambah kuat.

Keguguran tidak lengkap (incomplete miscarriage) – bermakna kandungan telah gugur keluar tetap masih ada yang tertinggal lagi dalam rahim. Pintu pangkal rahim terbuka dan boleh tumpah darah yang banyak.

Keguguran lengkap (complete miscarriage) – kandungan telah keluar sepenuhnya. Keguguran berlaku sebelum minggu ke-12. Pendarahan dan sakit berkurang tanpa rawatan. Semasa pemeriksaan dilakukan (oleh doktor), pintu pangkal rahim sudah tertutup dan simptom-simptom mengandung sudah hilang. Ultra bunyi menunjukkan rahim tidak tertinggal janin.

Keguguran septik (septic miscarriage) – ibu yang keguguran dijangkiti kuman yang menjangkiti rahim. Simptom termasuk demam panas, mengigil, sakit perut, pendarahan faraj dan lendiran dari faraj (berbau busuk dan kental berwarna kuning)

Persembahan klinikal

Antara simptom adalah pendarahan (tumpah darah) dan sakit (di bahagian bawah perut) semasa awal mengandung (kurang minggu ke-12). Pendarahan yang sedikit dan rasa kurang selesa di bahagian perut boleh dianggap normal kepada kebanyakkan wanita yang mengandung, akan tetapi kalau pendarahan yang banyak dan sakit itu bertambah; pesakit dinasihatkan berjumpa doktor segera.

Diagnosis

Dalam kebanyakkan kes, ultra bunyi digunakan untuk memastikan kandungan tersebut masih bernyawa atau tidak (viable). Ultra bunyi juga penting dalam mengenalpasti lokasi kandungan itu (lihat ectopic pregnancy)

Rawatan

Pemerhatian (observation) – kebanyakan ibu yang mengalami keguguran tidak memerlukan rawatan, baik rawatan perubatan atau pembedahan. Jika keguguran berlaku sebelum minggu ke-13, dan si ibu stabil (tidak tumpah darah yang banyak atau tidak dijangkiti kuman), cukup sekadar pemerhatian sahaja. Selalunya janin tersebut akan keluar dari rahim dalam masa seminggu dua. Ada kalanya mengambil masa 3 hingga 4 minggu selepas itu. Apabila kandungan itu keluar, doktor selalunya akan membuat ultra bunyi untuk melihat tiada bahagian janin yang masih tertinggal di dalam rahim (incomplete miscarriage).

Rawatan perubatan– sesetengah kes, doktor akan memberi ubat pil untuk dimakan atau masukkan ke dalam faraj untuk mengeluar kandungan yang telah keguguran tersebut

Rawatan Pembedahan– prosidur ini dinamakan dilatation & curettage (D&C). Doktor akan membuka (dilatation) pangkal rahim (servik) dan membuat curettage (cuci) dalam rahim bagi mengeluarkan janin yang telah keguguran tersebut. D&C dilakukan jika si ibu tidak mahu menunggu janin keluar secara spontan ataupun terdapat banyak pendarahan atau jangkitan berlaku. Suatu kaedah lagi yang boleh digunakan adalah “MVA”, iaitu “Manual Vacuum Aspiration” atau kaedah menyedut janin yang agak mudah dilakukan.
Selepas keguguran?

Selepas keguguran, ibu dinasihatkan supaya tidak memasukkan apa-apa bahan (tampon) atau douching selama 2 minggu. Selalunya doktor menasihatkan tunggu 2-3 bulan sebelum cuba mengandung lagi. Tiada masalah mengambil kaedah perancang (termasuk IUCD) selepas keguguran. Doktor mungkin memberi ubat tambah darah dan antibiotik untuk mengurangkan kurang darah (lihat anemia) dan risiko jangkitan (keguguran septik).

Kredit: KKM portal

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa