Pertumbuhan otak bayi sangat sensitif terhadap bekalan makanan daripada umur kehamilan 5 bulan hingga umur bayi 2 tahun. Bekalan makanan perlu seimbang, berkhasiat dan berzat, mengadungi karbohidrat, protin dan lemak serta logam dan vitamin.
Apakah makanan terbaik untuk otak bayi?
Kekurangan makanan dan kebuluran kepada ibu akan menyekat pertumbuhan jasad dan otak bayi, menyebabkan bayi ringan timbang berat ketika lahir. Saiz otaknya kecil dan kurang pertumbuhan dendrites, kurang myelination dan kurang sel glial (sel sokongan otak).
Akibatnya bayi mengalami kerencatan mental khususnya kelemahan intelek, IQ rendah, lemah pertuturan bahasa dan matematik membawa kepada prestasi rendah di sekolah. Sangat penting ibu hamil makan bahan-bahan berzat dan berkhasiat, tambah protin (lauk-pauk) 10 – 15 gm setiap hari.
Bayi bergantung sepenuhnya pada penyusuan ibu
Selepas lahir bayi bergantung sepenuhnya pada penyusuan ibu. Sangat penting ibu sihat dan pemakanannya lebih berkhasiat dan berzat untuk proses pemulihan dan penyusuan. Suplemen-suplemen vitamin dan logam kalsium juga iron (besi) perlu digandakan. Amalan pantang makanan dan jamu perlu dibasmi kerana mengganggu pengeluaran susu.
Susu ibu adalah sumber pemakanan bayi yang terbaik untuk pertumbuhan otak. Ia mengandungi segala bahan dan zat makanan – karbohidrat, protin dan lemak, logam serta vitamin yang diperlukan untuk pertumbuhan jasad dan otak bayi.
Apabila bayi mencapai umur 6 bulan
Apabila mencapai umur 6 bulan , di samping susu ibu bayi perlu tambahan zat besi untuk pembentukan sel-sel darah merah yang membekalkan oksigen kepada otak. Titisan vitamin drops yang mengandungi vitamins dan logam besi boleh diberikan.
Dalam dua tahun pertama umur bayi ketika mana pertumbuhan myelination pada jalur-jalur axon giat berlaku dalam otak bayi penting sekali makanan bayi mengandungi lemak dan minyak dengan kandungan Omega 3, DHA dan Omega 6.
Teruskan memberi minyak ikan seperti cod liver oil
Amalan kita memberi minyak ikan saperti cod liver oil perlu diteruskan. Bahan-bahan tersebut juga banyak didapati dalam ikan makerel (mackerel), kembung, tenggiri dan salmon. Selepas umur satu tahun bayi boleh diberi susu lembu yang mengandungi protin dan lebihan lemak. Dan mulai 2 tahun ke atas makanan anak perlu mengandungi protin dan lemak daripada daging, ayam, ikan dan sayuran.
Sumber: Dr Hamid Arshat, Kelab Timang