Ibu Hamil Nak Puasa Tapi Takut Tak Larat. Dietitian Kongsikan Jenis Makanan Bantu Kekal Tenaga

Share

Kita dah mula berpuasa hari ini. Berpuasa bukan sahaja dapat menjana keperibadian seseorang, malah amalan tersebut banyak memberi kebaikkan dari sudut kesihatan seseorang. Puasa adalah satu rukun islam yang menjadi kewajipan oleh setiap muslim namun, ada beberapa golongan yang telah diberi keringanan oleh agama untuk tidak berpuasa.

Salah satu golongan yang dikecualikan berpuasa adalah wanita hamil. Ini adalah kerana fasa kehamilan ialah fasa yang mana terlalu banyak perubahan pada fisiologi badan sesorang itu seperti contoh hormon, paras gula, tekanan darah dan sebagainya. Perubahan ini sedikit sebanyak memberi kesan pada si ibu dan bayi yang sedang dikandung.

Oleh itu, Pn. Laila Fadhilah Omar yang merupakan Pegawai Dietetik di SALAM Shah Alam Specialist Hospital kongsikan beberapa tip pemakanan untuk wanita hamil yang berhajat untuk berpuasa pada tahun ini:

Perkara pertama yang perlu diambil berat adalah keadaan kesihatan si ibu. Rujuk kepada pakar yang merawat tentang status kesihatan si ibu terutamanya paras gula. Ini adalah kerana semasa tempoh kehamilan, si ibu sangat berisiko untuk mempunyai paras gula yang tidak stabil dan boleh didiagnos penyakit kencing manis semasa hamil.

Kena Pantau Paras Gula
Kencing manis semasa hamil sangat berkait rapat dengan pengambilan pemakanan yang betul dan tersusun. Mereka juga hendaklah sentiasa memantau paras gula dalam bacaan yang stabil. Jika penghidap kencing manis semasa hamil yang mempunyai paras gula yang tidak stabil dan berkeras untuk berpuasa, dikuatiri akan memberi kesan buruk untuk si ibu dan bayi.

Sumber foto: www.freepik.com

Wanita hamil yang ingin berpuasa dinasihatkan untuk tidak meninggalkan sahur. Selain dari hadis nabi yang menggalakkan untuk melewatkan sahur, wanita hamil juga digalakkan untuk mengambil pemakanan yang sihat dan seimbang ketika sahur.

Amalkan Suku-Suku Separuh
Sentiasa mengamalkan amalan pinggan suku-suku separuh yang mana porsi suku dari pinggan adalah makanan dari sumber karbohidrat seperti nasi, mee, bihun dan sebagainya, suku adalah lauk dari sumber protein seperti ayam, ikan dan telur manakala separuh pinggan adalah makanan dari sumber serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sumber foto: www.freepik.com

Selain itu, makanan tambahan (supplemen) yang dibekalkan oleh doktor juga mesti diambil bagi penambahan nutrisi dalam badan. Mengamalkan pemakanan seimbang ini boleh membantu memberi tenaga yang cukup selain membekalkan nutrisi yang diperlukan untuk si ibu dan bayi sepanjang berpuasa.

Baca Juga:

Doktor Kongsikan Simptom Kanser Payudara Ibu Perlu Tahu, Kena Selalu Buat Pemeriksaan Kendiri

“Baby Duduk Macam Mana Dalam Perut?”. Pakar O&G Kongsi Posisi Bayi Dalam Kandungan, Macam-Macam Ada!

Jangan Anggap Remeh, Ada Risiko Ginjal Rosak Kalau Kencing Kotor Waktu Hamil

Berbuka Dengan Buah Terlebih Dulu
Selain dari bersahur, wanita hamil juga perlu cakna tentang pengambilan pemakanan semasa berbuka. Antara tips semasa berbuka adalah tidak melewatkan berbuka dan berbuka dengan buah-buahan terlebih dahulu seperti mengambil 3 biji kurma, 1 biji buah epal, 1 potong betik atau buah-buah lain mengikut porsi yang ditetapkan.

Sumber foto: www.freepik.com

Buah-buahan mengandungi karbohidrat ringkas yang mana boleh memberi tenaga secara cepat setelah seharian tenaga dibakar semasa berpuasa. Pengambilan kuih-muih adalah tidak digalakkan kerana bimbang dengan kandungan gula dalam kuih tersebut boleh menyebabkan paras gula naik dengan cepat dan mendadak. Selain itu, kenaikan berat badan yang tidak terkawal ketika hamil juga boleh terjadi jika pemakanan ketika hamil diambil ringan.

Digalakkan juga untuk mengambil makanan berat seperti nasi dan lauk-lauk selepas solat maghrib. Sekurang-kurangnya tidaklah terlalu banyak makanan yang dimakan dalam satu masa kerana rahim yang semakin membesar akan menolak perut ibu dan akan menyebabkan ibu merasa pedih ulu dan berpotensi memuntahkan semula makanan yang dimakan. Amalan pinggan suku-suku separuh juga jangan dilupakan.

Risau Puasa & Kena Pedih Ulu Hati
Menyentuh mengenai pedih ulu hati, kebanyakan ibu hamil berisiko mengalami gejala ini terutamanya sewaktu trimester ketiga. Jika serangan ini berlaku ketika berpuasa dan menyebabkan si ibu muntah, lemah dan sebagainya, dinasihatkan untuk berbuka puasa sebelum kesan itu memudaratkan diri. Untuk mengelakkan serangan ini berterusan, wanita hamil dinasihatkan untuk mengelakkan mengambil makanan yang terlalu pedas.

Sumber foto: www.freepik.com

Ini adalah kerana makanan terlalu pedas adalah antara faktor yang menyebabkan pedih ulu hati. Selain dari makanan pedas, kafein juga perlu dihadkan kerana kafein adalah bersifat asid dan boleh memburukkan lagi pedih ulu hati yang dialami. Saranan pengambilan kafein semasa hamil adalah 200mg sehari.

Secara keseluruhnya, tidak dinafikan bahawa puasa Ramadhan mempunyai banyak kebaikan untuk semua muslim namun Allah tidak akan memberi bebanan luar dari kemampuan hamba-Nya.

Oleh itu, wanita hamil tidak perlu memaksa diri untuk berpuasa jika merasakan kebimbangan pada diri dan bayi. Sila dapatkan nasihat dari pakar terlebih dahulu sekiranya ingin berpuasa. Sama ada berpuasa atau tidak berpuasa, wanita hamil tetap perlu sentiasa mengambil berat tentang kesihatan diri dan kandungan.

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
Emy H